Tubuh, pantau unit integriti dalam organisasi awam dan swasta
Oleh Mohd Prasad Hanif
INTEGRITI dan tatakelola dalam segenap bidang perlu diangkat lebih tinggi, sekali gus perlu inklusif pada kadar segera, tidak kira dalam sektor awam, swasta, institusi mahupun pertubuhan, bahkan menjangkau di peringkat individu.
Ini bermakna, sudah tiba masanya kajian terkini dilakukan sekali lagi bagi menggariskan set tindakan membina integriti dan tatakelola berkualiti sebagai budaya serta imej baharu Malaysia.
Antara langkah boleh diambil adalah menginstitusikan integriti dan tatakelola dengan sokongan khususnya organisasi, polisi, akta, pelan strategik, sistem audit serta sumber kuasa bagi melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan.
Dalam konteks ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan mahu memperkasa enjin ekonomi negara, iaitu komponen utamanya adalah jentera kerajaan.
Kelompok ini mesti bebas daripada isu tatakelola dan ketirisan penyelarasan. Seiring komitmen Perdana Menteri memperkenalkan Akta Tatakelola Sektor Awam dan Pelan Integriti, tindakan ini tidak boleh ditangguh lagi.
Apabila akta dan pelan itu diwujudkan sebagai panduan tatakelola serta antirasuah, skopnya mesti diperluaskan meliputi entiti awam dan swasta. Malah, perlu mencakupi koperasi, badan kebajikan, sukan, agama dan individu kerana ia menuntut pengurusan kewangan beretika serta pentadbir amanah. Setiap organisasi mesti dipantau rapat untuk memastikan bebas rasuah dan salah guna kuasa.
Dalam kajian Transparency International, peratusan rakyat Malaysia berpendapat, pegawai terbabit dalam rasuah adalah membimbangkan. Sebanyak 57 peratus responden percaya polis terbabit dalam rasuah, diikuti pegawai cukai (48 peratus) dan ahli majlis lantikan politik (48 peratus).
Lebih mengejutkan, 23 peratus rakyat ditemu bual mengaku memberi rasuah kepada pegawai awam pada tahun lalu. Statistik ini memaparkan sektor awam adalah paling terdedah kepada gejala rasuah dengan 63.3 peratus aduan membabitkan penjawat awam.
Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), seramai 2,163 penjawat awam ditahan kerana kesalahan rasuah sejak 2019 hingga 2023. Daripada jumlah ini, 1,347 (62.2 peratus) ditahan kerana meminta dan menerima sogokan, manakala 463 lagi membuat tuntutan palsu. Kini, hampir setiap hari ada tangkapan terhadap penjawat awam atas kesalahan rasuah.
Rasuah bukan sahaja mencemarkan integriti, malah memberi kesan negatif secara meluas terhadap ekonomi dan sosial negara. Penyalahgunaan sumber berlaku apabila dana sepatutnya digunakan untuk kepentingan awam seperti kesihatan, pendidikan dan infrastruktur tiris ke saku pihak tertentu. Rasuah juga menyebabkan ketidakcekapan dalam sektor awam, sekali gus menurunkan produktiviti.
Ekonomi tidak adil turut berlaku apabila individu atau syarikat tertentu, terutama berduit, diberi kelebihan, sekali gus meruntuhkan kepercayaan awam terhadap institusi. Ini menyebabkan harga barang dan perkhidmatan lebih tinggi apabila kos rasuah dipindahkan kepada pengguna.
Korupsi juga merosakkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan dan mana-mana institusi, selain menjejaskan kestabilan sosial serta menghalang pembangunan mampan.
Bagi mencegah rasuah di peringkat ahli Persatuan Institusi-Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM), pelbagai langkah diperkenalkan seperti pelaporan 'whistleblowing' melalui Sistem Pengurusan Aduan e-Whistleblowing (WBCMS) di Bank Simpanan Nasional (BSN).
Penggunaan teknologi bagi mengautomasi proses perolehan dan pembayaran juga membantu meningkatkan ketelusan serta menurunkan risiko rasuah. Contoh, permohonan dalam talian di institusi kewangan seperti Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) memastikan proses lebih telus serta pantas.
Selain itu, pengiktirafan antarabangsa seperti pensijilan ISO 37001:2016 Anti-Bribery Management System diperoleh beberapa ahli ADFIM menunjukkan komitmen institusi kewangan terhadap integriti.
Organisasi melaksanakan sistem teknologi dengan automasi dan jejak audit selamat juga akan meningkatkan kepercayaan pelanggan. institusi kewangan pembangunan (DFI) mempunyai tanggungjawab besar dalam mempromosikan integriti.
Kerjasama awam, swasta banteras rasuah
Kerjasama antara sektor awam, swasta dan masyarakat adalah penting dalam memerangi rasuah. Di peringkat antarabangsa, negara seperti Denmark dan Finland sering diiktiraf paling rendah kadar rasuahnya. Ini hasil kerjasama erat antara kerajaan telus, sektor swasta beretika dan masyarakat sivil aktif mengawal selia gejala rasuah.
Di negara ini, peranan sektor awam dalam menggubal undang-undang dan melaksanakan polisi antirasuah adalah penting. Namun, komitmen sektor swasta juga tidak kurang penting terutama dalam pemberian kontrak, tender dan pelesenan.
Masyarakat menerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan media berperanan utama meningkatkan kesedaran serta pendidikan kepada rakyat untuk menolak rasuah. Mereka juga berperanan sebagai pemerhati dan pemantau kepada gejala rasuah dalam kerajaan mahupun sektor swasta.
Kempen antirasuah oleh Presiden China, Xi Jinping contohnya adalah usaha paling besar dan intensif dalam sejarah. Lebih sejuta pegawai kerajaan, termasuk berpangkat tinggi, disiasat atau dihukum kerana rasuah.
Bagi kes berprofil, pesalahnya dijatuhi hukuman penjara seumur hidup, sekali gus menunjukkan komitmen China membanteras gejala itu di samping meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan.
Menurut Edelman Trust Barometer, kepercayaan terhadap institusi di China meningkat berbanding penurunan kepercayaan di kebanyakan negara demokrasi liberal. Ini boleh dijadikan inspirasi kepada Malaysia dalam usaha memperkukuh integriti dan memerangi rasuah secara menyeluruh.
Bagi memastikan pembangunan mampan bebas rasuah, Malaysia memerlukan sistem integriti komprehensif. Penubuhan unit integriti dalam setiap organisasi serta pemantauan prestasi unit ini adalah langkah awal penting. Malah, setiap tindakan mesti disokong kerangka formal dan polisi berfungsi sebagai asas dalam setiap keputusan, pemantauan bahkan penilaian.
Juga, penting bagi mengukur dan memantau pencapaian integriti dalam perkhidmatan awam, syarikat dan warga pekerja melalui kawalan audit, indeks serta laporan awam secara mandatori.
Langkah ini bukan sahaja akan memupuk amalan nilai murni, malah bakal menyuburkan budaya integriti dalam kalangan rakyat. Apabila integriti dan tatakelola diamalkan secara konsisten dan sistematik, ia akan menjadi kelaziman, seterusnya mengakar menumbuhkan budaya mencerminkan imej baharu negara.
Integriti dan tatakelola berkesan memerlukan kesungguhan politik, komitmen semua pihak berkepentingan serta sokongan padu rakyat. Pelaksanaan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 perlu diteruskan dengan lebih tegas.
Penulis adalah Setiausaha Agung Persatuan Institusi-Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM)
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.