https://critoxium.com/shop/

Terkini

MN: Pas jadi pungguk rindukan bulan?


Oleh Aznan Bakar 

 MUAFAKAT Nasional (MN) iaitu gagasan kerjasama Pas dan UMNO yang diwujudkan sejak September 2019 sudah berkubur atau masih bernyawa?

Di pihak UMNO mereka mengatakan muafakat yang tercetus hasil daripada Piagam Muafakat Nasional yang dimeteraikan antara dua parti politik Melayu Islam terbesar di Malaysia semasa Himpunan Penyatuan Ummah 14 September 2019 itu sudah berkubur.

Sementara itu, Pas pula terus mengatakan mereka tetap menyokong gagasan itu walaupun sekarang ini sekutu utama mereka adalah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) melalui Perikatan Nasional (PN).

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataan pada Jumaat lalu jelas memberi gambaran bahawa mereka tidak akan mempertahankan MN.

Keputusan UMNO adalah bergerak secara solo. Meskipun Pas mahu mempertahankan muafakat itu, namun pada UMNO mereka tidak boleh berkompromi dengan sikap parti itu yang tetap mahu ‘mandi di beberapa kolam’.

Pada mereka keikhlasan Pas sudah hilang atau beralih arah sejak bersama Bersatu di bawah bumbung baharu PN.\Kerjasama Pas-Bersatu di bawah PN itu dilabelkan sebagai kerjasama politik yang dangkal tanpa mengambil kira keperluan rakyat sebagaimana semangat MN yang sebenar.

“Hanya dengan kembali kepada kerjasama asal, barulah keikhlasan Pas dapat dilihat. Inilah realiti politik yang perlu kita hadapi,” kata Ahmad Zahid.

Sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan juga mengakui kedua-dua parti itu sudah lama tidak duduk semeja. Antara Pas dan UMNO sudah tidak akan ada apa perbincangan apatah lagi kerja sama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ads by Kiosked

Malah UMNO juga tidak membenarkan apa juga kerjasama sama ada di peringkat negeri atau bahagian. Tidak sebarang autonomi akan diberikan kepada kepimpinan negeri dan bahagian untuk bekerjasama de­ngan Pas. Apa sahaja cadangan kerjasama perlu me­rujuk ketetapan Perhimpunan Agung UMNO 2021 pada Mac lalu.

Namun ia berbeza di pihak Pas apabila itu yang berkaitan dengan MN terus diperkatakan pada Muktamar Tahunan parti itu yang berlangsung di Kedah. Beberapa pemimpin utama Pas terus memberi bayangan bahawa muafakat itu masih hidup dan mereka masih berharap untuk mencapai persetujuan dengan UMNO menjelang PRU15.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man tetap dengan pendirian bahawa Pas tidak pernah mengisytiharkan pembubaran MN.

Begitu juga dengan Ketua Dewan Ulamanya, Datuk Ahmad Yahya yang menegaskan pemerkasaan MN adalah penanda aras mesti disasarkan oleh parti untuk menghadapi PRU15. Malah Dewan Ulama Pas sebulat suara menerima usul penyatuan ummah melalui MN.

Ketua Dewan Muslimat Pas, Senator Nuridah Mohd. Salleh juga yakin kerjasama MN dan PN menjadi ramuan kemenangan pada PRU15.

Beliau berharap kemanisan dalam MN dan PN yang telah dilalui dalam beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK), Pilihan Raya Negeri (PRN) dan pelbagai program kemasyarakatan diteruskan hingga mengecapi kejayaan pada PRU15.

Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari juga tidak berputus harap untuk terus menghidupkan MN kerana mahu memastikan kedua-dua parti itu tidak bertembung antara satu sama lain hingga menyebabkan perpecahan undi.

Pas katanya, memberi tempoh masa sehingga hari penamaan calon kepada UMNO untuk berunding mengenai kerusi yang akan ditandingi.

Antara faktor yang menyebabkan Pas bersungguh mahu meneruskan kerjasama dengan UMNO melalui MN adalah bagi mengelakkan pertembungan di 27 kerusi Parlimen. Jika itu berlaku ia bukan sahaja akan merugikan kedua-dua parti tetapi juga kepentingan Melayu-Islam di kawasan Parlimen terbabit.

Di pihak UMNO, walaupun menyedari permuafakatan dengan Pas itu mampu membawa momentum positif terutama dalam kalangan akar umbi, namun keengganan Pas untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu di dalam PN menjengkelkan mereka.

Pas dilihat masih ‘sayangkan’ hubungan dengan Bersatu walaupun gabungan antara kedua-dua parti itu tidak mampu membentuk kerajaan. Keberadaan Pas dalam kerajaan sekarang ini pun disebabkan adanya kerjasama dengan UMNO.

Dalam kes ini, Pas dilihat seperti pungguk yang rindukan bulan. Ketika UMNO secara terang-terangan mengatakan mereka akan bergerak solo dan tidak akan ada apa-apa kerjasama pada PRU15, Pas terus mencanangkan irama berbeza. Tetap mahu menghidupkan MN. Ibarat menunggu buah yang tidak akan gugur.

Namun dalam politik pelbagai kemungkinan boleh berlaku. Hari ini menjadi lawan esok boleh jadi kawan. Mungkin atas prinsip itu Pas tetap menunggu untuk ‘bersama’ UMNO hingga ke saat akhir.

Dalam UMNO sendiri pun ada suara berbeza berhubung kerjasama dengan Pas ini. Ketua Penerangan UMNO Bahagian Arau, Datuk Ismail Kassim misalnya masih berharap kepemimpinan parti mempertimbangkan semula keputusan untuk tidak bekerjasama dengan Pas dan Bersatu.

Walaupun kepemimpinan di peringkat bahagian dan negeri mengakui penetapan yang dibuat dalam perhimpunan agung, namun kata Ismail, wujud keperluan untuk melihat pertimbangan-pertimbangan khusus berhubung kerjasama tersebut.

Bagi Ismail kerjasama dengan Pas perlu jika mereka mahu memenangi banyak kerusi dalam PRU15 untuk membentuk sebuah kerajaan yang stabil.

Jika tanpa UMNO sekalipun, Pas sudah ada rakan untuk bersama-sama dengan mereka pada PRU15 iaitu Bersatu. Tetapi, jika menang sekalipun mereka tidak mampu membentuk kerajaan.

Pilihannya mungkin perlu bekerjasama dengan UMNO kerana akar umbi Pas menolak Pakatan Harapan (PH).

Sama juga dengan UMNO, kalau menang sekalipun mampu mereka membentuk kerajaan sebagai parti tunggal? Atau mereka kena kembali berpeluk dengan Pas dan Bersatu demi kuasa? Ia bukan sesuatu yang mustahil.

Seperti kata Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin Pas: “Bukan semua pimpinan UMNO menolak (penyatuan ummah). Jadi kita berharap ada sebahagiannya dibuka pintu hati mereka dan kita balik kepada agenda perpaduan ummah kita.”

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.