Tebuk Atap & Unintended Consequences (kesan Luar Jangka).
Oleh Rafizi Ramli
Kemelut politik di Negeri Sembilan telah memasuki fasa baru, iaitu peperangan mulut di antara PH dan BN.
PH melihat tindakan BN cuba menjatuhkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Aminuddin Harun sebagai percubaan tebuk atap ala-ala Sheraton Move yang menjatuhkan kerajaan PH1.0.
UMNO cuba mempertahankan tindakan itu sebagai langkah berprinsip untuk melindungi institusi adat dan diraja di Negeri Sembilan.
Kini pimpinan UMNO seperti Khairy Jamaluddin menaikkan suhu perbalahan dengan mengingatkan bahawa budaya cuba menukar kerajaan di luar pilihanraya, atau dipanggil tebuk atap ini, dimulakan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam tahun 2008.
Episod terkini di Negeri Sembilan menunjukkan beberapa perkara yang ahli politik jarang ambil kira dalam membuat keputusan.
Ada satu konsep dipanggil “unintended consequences” atau “kesan luar jangka”.
Dalam dunia yang maklumat sampai melalui media sosial, setiap keputusan itu akan ditafsir mengikut lensa peribadi.
Pandangan orang ramai tidak boleh lagi dikawal oleh beberapa instrumen maklumat yang dikawal kerajaan atau orang berkuasa, seperti sebelum zaman media sosial.
Tujuan sesuatu tindakan diambil mungkin berlainan, tetapi bergantung kepada naratif yang akhirnya terbentuk, tindakan politik akan dinilai berlainan dari tujuan asal.
Kemelut terkini di Negeri Sembilan menunjukkan tanda-tanda awal kesan luar jangka, terutamanya kepada UMNO.
UMNO mungkin melihat tindakan mengambil alih kedudukan Menteri Besar Negeri Sembilan sebagai langkah natural untuk menguatkan kedudukan politik menjelang PRU16.
UMNO mungkin yakin BN adalah gabungan terkuat kerana PH dan PN ada masalah dalaman.
UMNO mungkin merasakan tindakan di Negeri Sembilan menjadi langkah pemula untuk menekan supaya pilihanraya negeri-negeri mula berlaku, mungkin bermula di Negeri Sembilan, Johor dan Melaka.
Dari kejayaan-kejayaan ini, akan membina gelombang untuk menang besar dalam PRU16 secara solo.
Itu mungkin matlamat-matlamat UMNO.
Tetapi kesan luar jangka yang tidak diteliti UMNO ialah tindakan di Negeri Sembilan ini mengingatkan orang ramai dan pengundi atas pagar kenapa UMNO dikalahkan ditempat tercorot (dari kalangan gabungan-gabungan yang bertanding) dalam PRU yang lalu.
Sebabnya ialah pengundi atas pagar lebih sukar dipengaruhi dan pandangan pengundi atas pagar itu menyebabkan kesan luar jangka.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.