https://critoxium.com/shop/

Terkini

Yb Awang Tarik Balik Tuduhan Ok, Tetapi jangan Biarkan Racunnya Dalam Fikiran Rakyat


1.Saya menghormati penyelesaian secara baik kes saman antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Solahuddin Hashim di Mahkamah Tinggi hari ini.

Berdasarkan laporan, penyelesaian itu dibuat atas terma yang dipersetujui kedua-dua pihak dan tindakan guaman ditarik balik. Turut dikemukakan kepada mahkamah ialah kenyataan awam yang dipersetujui bersama.

2.Tindakan PMX menarik balik samannya membuktikan tuduhan zalim dan pendendam terhadapnya adalah fitnah dan pembohongan.

Orang yang mahu membalas dendam akan mencari jalan untuk menghukum. Orang yang mahu menyelesaikan masalah akan mencari jalan untuk berdamai.

Namun, perkara yang lebih besar daripada kes mahkamah ini ialah tanggungjawab seorang Ahli Parlimen terhadap rakyat apabila sesuatu kenyataan politik yang dilemparkan akhirnya ditarik balik.

3.Saya berpandangan, YB Pendang wajar tampil kepada rakyat secara terbuka untuk menjelaskan perkara tersebut dan menyatakan kekesalan dan memohon maaf atas kenyataan meracuni pemikiran rakyat yang telah dibuat.

Tarik balik tuduhan Ok, tetapi jangan biarkan racunnya tinggal dalam fikiran rakyat.

4.Ahli Parlimen mempunyai ruang yang luas untuk mengkritik Perdana Menteri dan kerajaan. Kritiklah. Soal dasar kerajaan. Tegur kelemahan. Dedahkan jika ada salah laku.

Tetapi antara kritikan, tuduhan dan fitnah, ada garis yang mesti dihormati. Jangan kerana mahu menyerang seorang Perdana Menteri, akhirnya rakyat pula menjadi mangsa buli politik.

Kenyataan politik boleh ditarik balik, tetapi persepsi yang sudah ditanam dalam fikiran rakyat tidak semudah itu untuk ditarik balik.

Menabur tuduhan itu seperti menabur racun ke dalam telaga. Walaupun racun itu kemudian diakui dan ditarik balik, air yang sudah tercemar tidak serta-merta menjadi jernih.

5.Inilah masalah yang perlu kita renungkan.Satu tuduhan boleh tersebar dalam beberapa minit melalui ceramah, media sosial, TikTok, Facebook dan WhatsApp.Tetapi apabila kenyataan itu ditarik balik, berapa ramai pula rakyat yang akan menerima pembetulan?

Melempar batu hanya mengambil sesaat. Membersihkan kaca yang pecah mungkin mengambil masa yang lama.

6.Sebab itu saya berharap YB Pendang bukan sekadar menyelesaikan perkara ini dari sudut undang-undang, tetapi juga mengambil tanggungjawab moral kepada rakyat khususnya masyarakat melayu Islam.

Kalau tersilap, beranilah mengaku tersilap.Kalau kenyataan ditarik balik, jelaskan kepada rakyat secara meluas bahawa ia telah ditarik balik.

Kalau kenyataan itu telah menimbulkan persepsi yang salah, bantu rakyat membetulkan persepsi tersebut. Politik bukan pertandingan siapa paling kuat menuduh. Politik ialah soal siapa paling bertanggungjawab terhadap kebenaran.

7.Saya juga ingin mengingatkan rakan-rakan pembangkang.Jangan rendahkan kebijaksanaan rakyat dengan menyuapkan tuduhan tanpa asas, kemudian apabila dipersoalkan, kenyataan itu ditarik balik dan perkara dianggap selesai.

Rakyat bukan tong sampah untuk kita campakkan racun politik.

Rakyat berhak mendapat politik yang matang, beradab dan berasaskan fakta.

8.Pembangkang memang diperlukan dalam politik demokrasi. Tetapi pembangkang yang kuat bukan pembangkang yang paling banyak menuduh; pembangkang yang kuat ialah pembangkang yang mampu membuktikan setiap tuduhan yang dibuat dan berani bertanggungjawab apabila tersilap.

Akhirnya, saya berharap episod ini menjadi pengajaran kepada semua ahli politik kerajaan mahupun pembangkang.

Jangan tanam racun dalam fikiran rakyat dan kemudian biarkan rakyat mencari sendiri penawarnya.

Kita boleh berbeza politik. Tetapi jangan sampai kebenaran menjadi korban politik.

MAHFUZ OMAR
NAIB PRESIDEN
PARTI AMANAH NEGARA
KHAMIS 24 SEPT 2026
POKOK SENA,KEDAH DARULAMAN

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.