Boleh Jadi Pahala ,Boleh Jadi Dosa -Dr Rozaimi Ramle
Persoalan mengenai hukum membantu individu yang disabit dalam kes rasuah kembali menarik perhatian.
Pendakwah Dr Rozaimi Ramle menjelaskan secara umum bahawa soal membantu seseorang perlu dilihat berdasarkan maqasid atau objektif bantuan tersebut, termasuk sama ada individu berkenaan sudah menunjukkan keinsafan.
“Kalau kita nak bantu kita kena tengok adakah bantuan kita tu akan menyebabkan dia insaf ataupun dia telahpun insaf, atau dia akan teruskan benda-benda tak baik yang dia pernah buat dulu,” katanya ketika menjawab soalan ditanya hadirin.
Menurutnya, jika seseorang masih tidak menunjukkan keinsafan dan bantuan diberikan sehingga membolehkan perbuatan buruk diteruskan, ia boleh termasuk dalam perbuatan membantu dalam dosa dan permusuhan.
Namun katanya, keadaannya berbeza jika individu berkenaan sudah insaf, berubah dan benar-benar tidak berkemampuan.
“Jadi kita lah kena nilai sendiri orang yang salah itu dah insaf ke tak,” katanya.
Walaupun tidak merujuk kepada sesiapa, namun penjelasan itu muncul ketika UMNO sedang menggerakkan kutipan membantu Datuk Seri Najib bagi melunaskan denda RM50 juta yang menjadi antara syarat pengampunan bersyarat dan tahanan rumahnya.
UMNO menyatakan sumbangan berkenaan dibuat secara sukarela.
PAS pula tidak menghalang ahlinya menyumbang. Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata parti itu menyerahkan kepada ahli sama ada mahu memberikan sumbangan, malah beliau yakin jumlah diperlukan dapat dikumpulkan atas apa yang disifatkannya sebagai “mempertahankan prinsip keadilan untuk semua”.
Najib menjalani hukuman selepas disabitkan dalam tujuh pertuduhan melibatkan pecah amanah jenayah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berkaitan RM42 juta dana SRC International.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.