Bahasa kita kaya tapi ramai Melayu miskin jiwa
Oleh Arif Atan
Hairan sungguh menteri kita tegar guna bahasa Inggeris walau dalam sidang media bersama rakan sejawat dari negara yang bukan berbahasa rasmi Inggeris.
Walaupun menteri dari negara yang bukan bahasa ibundanya bahasa Inggeris ada khidmat penterjemah di sebelahnya, golongan elit politik Melayu masih mahu cakap Inggeris. Jiwa abdi.
Dalam dunia media pun begitu. Pemberita Malaysia termasuk orang Melayu ramai berangan macam berpijak di England. Walaupun menteri atau Ketua Pengarah Kesihatan dalam sidang media tentang Covid-19 memulakan sidang media dalam bahasa Melayu, soal jawab kemudiannya sebahagian besar dalam bahasa Inggeris. Jiwa lupa diri.
Padahal, hal yang dibangkitkan seputar perkara dalam negara ini. Yang bertanya pun warganegara Malaysia dari Bernama bukan agensi berita Reuters, Agensi atau AFP.
Yang menjawab pula seorang pemimpin dari negara yang ada bahasa rasmi dan bahasa kebangsaannya sendiri, malah orang Melayu dari 'parti Melayu' Umno, PPBM lagi. Sudahlah kalau cakap Melayu pun bersepah jauh beza dibandingkan dengan Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong yang juga Presiden 'parti Cina' MCA.
Sama juga sikap ramai orang Melayu. Ya, termasuk anda yang sedang baca ini. Apabila bertemu dengan orang Cina dan India yang merupakan warganegara Malaysia, cenderung mahu guna bahasa Inggeris. Mengapa? Adakah anda menganggap mereka bukan rakyat Malaysia? Oh, tidak!
Saya lama perhatikan, hatta kalau berselisih dengan orang Cina, India semasa merentas denai hutan atau mendaki bukit pun, ramai orang Melayu cenderung menyapa "good morning" sepatutnya "selamat pagi"!
Kadang-kadang kalau orang Cina dan India itu mula menyapa "selamat pagi", orang Melayu akan menyambutnya "good morning" juga. Kalau sekumpulan Melayu itu ada lima orang, kelima-limanya sambil lalu itu menyebut "good morning" atau "morninggg". Agaknya, apa yang terlintas di fikiran orang Cina dan India yang mula menyapa dalam "bahasa Malaysia" itu tadi?
Padahal, mereka bukannya rakyat ratu British, Ratu Elizabeth II dan bahasa nenek moyang mereka pun bukannya bahasa Inggeris.
Namun, peliknya sikap sebahagian besar orang Melayu, mereka mahu juga 'speaking' atau guna bahasa sekerat ular, sekerat belut walaupun orang bukan Melayu itu lepasan Sekolah Kebangsaan yang fasih berbahasa Melayu dan sudah bergenerasi jadi warganegara Persekutuan Tanah Melayu seterusnya Malaysia.
Pelik ramai orang Melayu itu pula kemudiannya menjalar kepada rasa hairan lagi takjub apabila berdepan dengan orang bukan Melayu yang lancar berbahasa Melayu!
Sepatutnya, kita pelik dengan siapa saja bergelar warganegara Malaysia tetapi tidak tahu cakap Melayu bukannya pelik tengok orang Cina dan India fasih cakap bahasa Melayu yang sudah menjadi bahasa kebangsaannya sebagai seorang warganegara Malaysia sejati!
Lagi satu, ramai orang Melayu kalau terjumpa pelancong atau orang asing lebih-lebih lagi orang berkulit putih terus mahu guna bahasa Inggeris. Padahal, bukan semua "orang putih" itu bahasa ibundanya bahasa Inggeris. Orang Jerman, Belanda, Rusia ada bahasanya sendiri. Di negara mereka sendiri pun, tak sibuk cakap Inggeris sama ada ketika bersembang mahupun atas urusan rasmi.
Peliknya, ramai orang Melayu ucap "selamat pagi" atau "terima kasih" kepada orang asing itu pun tak mahu walaupun orang asing tadi awalnya sudah menyapa dalam bahasa Melayu isyarat dia tahu cakap Melayu atau berminat mahu cakap Melayu.
Sayang seribu kali sayang, sebahagian besar orang Melayu sendiri membunuh minat orang asing untuk terus berbahasa Melayu. Bahasa Melayu kita kaya tetapi sayangnya ramai orang Melayu miskin jiwa.
Ada ramai YouTuber dari Korea Selatan misalnya pandai cakap Melayu. Lihat di ruangan komentar berduyun-duyun orang Melayu yang kagum dengan anak muda Korea itu yang pandai cakap Melayu tetapi mereka menulis dalam bahasa Inggeris atau bahasa Melayu dengan ejaan bersepah macam tulis WhatsApp untuk kawan!
Di China pun, ada ramai mahasiswa yang tahu cakap Melayu malah arif tentang budaya Melayu lantaran ada Jabatan Pengajian Melayu tetapi apabila mereka turun ke Malaysia, orang Melayu sendiri layan mereka dalam bahasa Inggeris atau bahasa rosak bercampur Inggeris.
Belum lagi bercakap soal seni budaya. Lagu Melayu asli yang indah senikata dan tarian Melayu tradisional yang sopan gemalai tidak diketengahkan sebab orang Melayu sudah ramai tidak menghargai warisannya sendiri.
Seorang sarjana Perancis, Dr. Laurent Metzger antara yang mempersoalkan sikap orang Melayu dalam soal berbahasa.
Beliau berpijak di bumi Malaysia sejak tahun 1970 dan sudah tentu menguasai bahasa Melayu. Dalam "Nilai-nilai Melayu: Satu Sudut Pandangan Orang Luar", Metzger menyebut:
"... bahasa Melayu jauh lebih kaya dan lebih tepat daripada bahasa Inggeris dan bahasa Perancis. Walau bagaimanapun ramai pengguna Melayu langsung tidak menggunakan kekayaan dan ketepatan tersebut sehingga mereka menggunakan satu perkataan yang diambil daripada bahasa Inggeris pula.
"Sebenarnya bahasa Melayu memang kaya dan tepat oleh sebab terdapat pelbagai perkataan untuk sesuatu konsep, misalnya "berbincang". Ada "wawancara", "temu bual", "temu ramah" misalnya dalam media, "temu duga" yang digunakan dalam bidang pekerjaan.
"Sekurang-kurangnya terdapat empat perkataan yang jelas dan tepat, akan tetapi malangnya seringkali perkataan "interviu" yang juga dieja sebagai "interbiu" sering kali didengar atau dibaca di media Melayu, baik di Malaysia mahu pun di Singapura.
"Para pemerhati tidak dapat memahami bahawa satu bahasa yang cukup kaya dengan perkataan yang tepat langsung tidak digunakan tetapi terus mengambil perkataan asing."
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.