Iran Tutup Pintu Rundingan Dengan AS, Anggap Diplomasi “Sia-sia”
Kerajaan Iran secara rasmi menutup pintu rundingan dengan Amerika Syarikat (AS), menyifatkan sebarang usaha diplomasi dengan kuasa besar itu sebagai "sia-sia" susulan siri pengkhianatan yang mendalam.
Anadolu Ajansi (AA) memetik Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, menegaskan pendirian tersebut dalam satu temu bual bersama PBS News pada Isnin, dengan merujuk kepada "pengalaman sangat pahit" yang terpaksa dilalui Tehran sebelum ini.
Menurut Araghchi, tindakan Washington yang terus melancarkan serangan ketenteraan meskipun ketika proses meja bulat sedang berlangsung, telah memusnahkan kepercayaan antara kedua-dua pihak.
Dia merujuk kepada insiden pada Jun tahun lalu, di mana tentera Israel dan AS menyasarkan kemudahan nuklear Iran ketika rundingan diplomatik sedang berlangsung di antara kedua-dua negara.
Malah, pusingan terbaharu rundingan nuklear di Geneva pada Februari lalu — yang diantarakan oleh Oman dan disifatkan sebagai "konstruktif" oleh kedua-dua pihak — turut berakhir dengan kekecewaan.
"Selepas tiga pusingan rundingan, dan selepas pasukan Amerika menyatakan kemajuan besar telah dicapai, mereka tetap memutuskan untuk menyerang kami.
"Sebab itu saya tidak fikir persoalan untuk bercakap atau berunding dengan AS akan berada dalam agenda kami lagi," tegasnya.
Kesinambungan penentangan di bawah pemimpin baharu
Araghchi turut mengesahkan bahawa pelantikan Pemimpin Agung baharu, Mojtaba Khamenei, merupakan isyarat "kesinambungan" doktrin penentangan Iran terhadap pengaruh AS dan Israel di rantau Asia Barat.
Dia menyifatkan strategi semasa Tehran adalah berteraskan prinsip mempertahankan diri yang sah mengikut laras undang-undang antarabangsa, ekoran siri pencerobohan yang dilakukan terhadap kedaulatan negara itu.
Amaran perang serantau dan krisis minyak
Mengulas mengenai gangguan bekalan minyak global yang semakin meruncing, Araghchi menafikan bahawa Tehran merupakan dalang di sebalik ketidakstabilan tersebut. Sebaliknya, dia menuding jari kepada tindakan provokasi AS dan Israel.
"Pengeluaran dan pengangkutan minyak menjadi perlahan disebabkan serangan dan pencerobohan mereka. Inilah sebabnya kapal tangki takut untuk melalui Selat Hormuz," katanya sambil menegaskan Iran tidak pernah menutup laluan strategik itu secara sengaja.
Dia turut memberi amaran keras bahawa sekiranya AS terus melancarkan serangan terhadap Iran, Tehran akan bertindak balas terhadap aset-aset Amerika yang berada di rantau tersebut.
"Memandangkan kami tidak dapat sampai ke tanah besar Amerika, kami terpaksa menyerang pangkalan, kemudahan, dan aset mereka di rantau ini. Akibatnya, perang itu akan merebak ke seluruh rantau," tambahnya lagi.
Kenyataan ini memberikan gambaran jelas bahawa fasa diplomasi antara Tehran dan Washington kini berada di titik paling rendah, sekali gus meningkatkan kebimbangan antarabangsa terhadap kemungkinan konflik bersenjata yang lebih luas di Asia Barat.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.