Seleksi misil canggih Iran kejutkan Barat
Oleh Ilah Hafiz Aziz
SERANGAN Israel dan Amerika Syarikat (AS) terhadap Iran, kononnya sebagai tindak balas terhadap perjanjian nuklear yang tidak diendahkan, sangat mengejutkan dunia disebabkan impak ekonomi jika perang itu berlanjutan.
Bagaimanapun, lebih menggemparkan, Iran tidak berdiam diri sebaliknya melakukan serangan balas bertalu-talu terhadap Israel dan beberapa pangkalan tentera AS yang berada di negara berdekatan mereka.
Biarpun Pemimpin Tertinggi, Ayatollah Ali Khamenei dan Ketua Supreme Ali Hosseini Khamenei terkorban dalam serangan itu, Iran tidak tunduk sebaliknya mengejutkan kuasa dunia dengan teknik dan teknologi perang terkini, sekali gus menandakan konflik di Asia Barat semakin genting.
Dunia mengetahui Iran sudah dikenakan pelbagai sekatan oleh negara-negara Barat untuk menghalang negara itu membangunkan teknologi tenaga dan pertahanan mereka.
Namun, gelombang serangan balas menunjukkan Iran mampu membina sendiri sistem misil malah berskala besar untuk mempertahankan kedaulatan negara mereka.
Masyarakat dunia juga terpegun melihat kehebatan pelbagai misil dan peluru berpandu Iran mampu sampai ke laman negara-negara yang 'menyimpan' aset negara AS.
Variasi peluru berpandu
Variasi pelbagai peluru berpandu termasuklah jenis hipersonik, balistik jarak sederhana (MRBM), peluru berpandu balistik jarak pendek (SRBM), roket pelancar (SLV), peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) dan peluru berpandu krus, yang dimiliki negara itu membuktikan Iran sebenarnya adalah kuasa besar pertahanan di Asia Barat.
Pensyarah Jabatan Kejuruteraan dan Aeroangkasa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Muhammad Hanafi Azami, menjelaskan misil dan peluru berpandu Iran dibahagikan secara teknikal mengikut kategori seperti bahan api, jarak, dan fungsi.
"MRBM direka untuk mencapai sasaran serantau seperti Israel, Eropah Tenggara, atau pangkalan AS berdekatan seperti Sejjil (1 dan 2), Khorramshahr (1-4/Kheibar), Emad, Ghadr (Siri H, F, S) dan Shahab-3. Fokusnya kepada serangan pantas dan tepat di medan tempur.
"Fateh-110, Zolfaghar, Dezful, Qiam-1 dan Haj Qasem, adalah peluru berpandu hipersonik dan MaRV (kepala peledak peluru berpandu balistik) yang berfokus kepada penembusan sistem pertahanan anti-balistik.
Sekatan ekonomi tidak jejas pembangunan teknologi pertahanan
"Fattah-1 dilengkapi dengan motor roket sfera pada kepala peledak untuk gerakan taktikal (manuver) luar angkasa, manakala Fattah-2 pula menggunakan teknologi Hypersonic Glide Vehicle (HGV) yang terbang lebih rendah dan lincah daripada balistik biasa.
"Peluru Berpandu Krus (Cruise Missiles) pula menggunakan enjin jet/turbofan untuk penerbangan altitud rendah. Antara yang dimiliki Iran digelar Soumar/Hoveyzeh (direka bentuk Kh-55 dari Russia), Paveh (sayap lipat) dan Abu Mahdi (anti-kapal).
"Jenis dwi-kegunaan juga digunakan Iran secara teknikal sebagai roket pengangkut satelit, tetapi mempunyai kaitan rapat dengan teknologi ICBM seperti Simorgh, Zuljanah, Ghaem-100 dan Safir," katanya.
Muhammad Hanafi menjelaskan, Fattah-1 dan 2 adalah peluru berpandu paling laju yang dimiliki Iran kerana kemampuannya boleh mencecah Mach 13 hingga Mach 15.
"Khorramshahr-4 pula memiliki peledak yang terberat manakala Sejjil dan Fateh antara yang paling pantas untuk dilancarkan kerana tiada 're-fuelling'.
"Iran juga memiliki Paveh dan Soumar antara yang paling sukar dikesan kerana profil terbangnya yang rendah," katanya.
Beliau berkata, sebahagian besar pertahanan Iran erasaskan peluru berpandu balistik SRBM dan MRBM yang bertujuan untuk melakukan serangan pantas dengan menyasarkan pangkalan tentera dan infrastruktur di seluruh rantau berkenaan.
"Peluru berpandu seperti Fateh-110, Zolfaghar, dan Qiam-1 sering digunakan untuk serangan tindak balas pantas. Ia menggunakan bahan api pepejal yang dioptimumkan untuk mobiliti dan membolehkan atur gerak pantas serta masa pelancaran lebih singkat, sekali gus mengurangkan masa bertindak bagi sistem pemintas.
"Misil ini juga lebih murah dan boleh dilancarkan serentak bagi menerobos pemintas-pemintas roket Israel dan AS," katanya.
Tambahnya, untuk mencapai sasaran pada jarak yang lebih jauh, Iran mempunyai Ghadr, Emad, dan Khorramshahr.
"Khorramshahr yang merupakan 'heavy-hitter' yang direka untuk kemusnahan maksimum, membawa kepala peledak besar seberat 1,500 kilogram (kg) dengan jarak jangkauan sehingga 2,000 kilometer," katanya.
Keupayaan senjata hipersonik yang sangat laju iaitu melebihi lima kali kelajuan bunyi yang dimiliki Iran sudah diberi perhatian dunia sejak ia diperkenalkan kepada Islamic Revolutionary Guard Corps (IRGC) pada 2023.
Sejak itu ia menjadi kebimbangan Barat kerana sifatnya sangat sukar dikesan dan dipintas malah kepala peledaknya didakwa mampu melakukan manuver dalam fasa akhir penerbangan, membuat trajektori tidak menentu. Ia sekali gus menyukarkan sistem radar dan pertahanan Barat untuk mengira laluan dan mengambil tindakan pemintasan.
Peluru berpandu jarak jauh
Anggaran jarak Fattah sekitar 1,400 kilometer (km), juga dilihat cukup untuk menjejaskan kepentingan Barat dan sekutunya di Timur Tengah, terutamanya Teluk Parsi, Israel, dan pangkalan Amerika Syarikat di rantau itu.
Mengulas perkara itu, Muhammad Hanafi berkata, melalui misil Fattah, Iran sudah banyak membangunkan model misil yang baharu dan lebih canggih.
"Ia terdiri daripada kenderaan kemasukan semula boleh manuver (MaRVs) yang mampu mengubah laluan penerbangannya pada fasa akhir, menjadikannya sangat sukar dipintas.
"Peluru berpandu ini mencapai kelajuan Mach 13 hingga Mach 15 dengan jarak antara 1,400 ke 1,500 km. Dengan memiliki sistem jarak sederhana ini secara operasi, Iran secara efektif meletakkan Israel serta rangkaian luas kemudahan berkaitan AS di Qatar, Bahrain, Kuwait, Arab Saudi, dan UAE dalam zon serangannya," katanya.
Tambahnya, walaupun Iran secara rasmi tidak mempunyai ICBM baharu, program peluru berpandunya sudah mencapai tahap termaju dengan beberapa sistem canggih dan roket angkasa mereka dijadikan sebagai dwifungsi untuk keupayaan ICBM.
Ia hasil daripada konflik serantau yang berlaku tahun 2025, menyaksikan Iran mempercepatkan pembangunan jarak jauh mereka.
Operasi Epic Fury cuba ranapkan Iran
Konflik berpanjangan antara AS dan Iran kini memasuki fasa baharu apabila Presiden Donald Trump memberi anggaran bahawa perang itu boleh diteruskan sehingga lima minggu.
Trump, dalam sebuah video berdurasi lapan minit yang dimuat naik di Truth Social, menyatakan negaranya mengambil bahagian dalam satu pertempuran besar dan Pentagon kemudiannya mengesahkan kempen perang bersama Israel itu dinamakan sebagai 'Operation Epic Fury'.
Sejak 28 Februari lalu, pesawat dan kapal tentera AS, bersama pasukan Israel, mula menyasarkan tentera Iran, termasuk tapak peluru berpandu, sistem pertahanan, fasiliti berkaitan nuklear, infrastruktur kawalan dan perintah, serta pasukan laut.
Iran kemudiannya bertindak balas dengan serangan peluru berpandu dan dron ke atas kedudukan AS dan sekutu di rantau itu.
Pasukan Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) menyatakan mereka sudah melancarkan serangan ke atas 27 pangkalan di Timur Tengah yang menempatkan tentera AS serta kemudahan tentera Israel di Tel Aviv dan beberapa lokasi lain di Israel.
Setakat ini, Iran juga melancarkan serangan balas di sembilan negara di rantau itu, Bahrain, Iraq, Jordan, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi, dan Emiriah Arab Bersatu (UAE). Selain itu, sebuah dron Iran juga menyerang landasan pesawat di pangkalan tentera United Kingdom di Cyprus.







Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.