https://critoxium.com/shop/

Terkini

“Menganjing” PKR, Aktivis Kini Berdepan Saman


PKR kini mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap seorang aktivis media sosial selepas individu itu secara terbuka mengaku bahawa permohonannya untuk menyertai parti tersebut hanyalah sekadar gurauan dan bertujuan ‘menganjing’.

Timbalan Setiausaha Agung PKR, Aidi Amin Yazid berkata, parti itu memandang serius setiap permohonan keahlian kerana ia sepatutnya datang daripada individu yang benar-benar berkongsi nilai serta perjuangan parti.

Menurutnya, tindakan aktivis berkenaan bukan sahaja dianggap tidak bertanggungjawab, malah telah mencemarkan imej PKR apabila menggunakan logo parti dalam hantaran media sosial sebelum ini.

Justeru, PKR sedang meneliti langkah undang-undang bagi memastikan perbuatan mempermainkan proses keahlian parti tidak berulang pada masa hadapan dan tidak mencetuskan ketidakharmonian.

Isu itu tercetus selepas aktivis Tamim Dahri Abdul Razak sendiri mengaku bahawa permohonannya untuk menyertai PKR hanyalah sekadar bahan jenaka.

Beliau mendakwa pengumuman yang dibuat secara terbuka di media sosial hanyalah gurauan terhadap parti dan penyokongnya, malah secara sinis menyatakan mungkin akan menghantar borang keahlian PAS pula selepas ini.

Sebelum ini Tamim memuat naik dua hantaran di Facebook yang menyuarakan hasrat untuk menyertai PKR serta memaparkan tangkapan skrin permohonan keahlian dalam talian yang telah lengkap dihantar.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh menjelaskan bahawa setiap permohonan keahlian perlu melalui beberapa proses penilaian terlebih dahulu sebelum sebarang kelulusan diberikan.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.