https://critoxium.com/shop/

Terkini

Propaganda Siber dan Politik Kebencian Dalam Era Media Sosial


Saya mula menulis selepas dibuli oleh laskar siber. Akaun palsu yang diwujudkan untuk memaki dan mencaci pengguna media sosial yang bersuara. Membuli mereka hingga mereka takut dan diam.

Ini salah satu cara politik zaman moden. Dengan politik kebencian, kekerasan dan adu domba.

And social media amplifies it further.

Beberapa tahun lalu, sebuah majalah antarabangsa menyiarkan satu artikel tentang operasi propaganda politik di Malaysia.

Artikel itu memetik pengakuan seorang individu yang digelar media sebagai “Ratu Negara” dalam operasi propaganda siber.”

Pengakuannya memberi gambaran bagaimana black ops politik sebenarnya dijalankan dalam dunia digital.

Menurut laporan tersebut, rangkaian yang dibinanya menggunakan akaun-akaun palsu untuk mempengaruhi persepsi rakyat.

Gambar profil diambil daripada media sosial luar negara, identiti disusun supaya kelihatan seperti rakyat tempatan, dan akaun tersebut kemudian menyamar sebagai penyokong pihak lawan.

Dari situ, kenyataan-kenyataan yang bersifat rasis atau ekstrem akan dikeluarkan. Tujuannya bukan untuk menyokong sesiapa, tetapi untuk mencetuskan kemarahan.

Apabila emosi mula tercetus, tangkap layar akan disebarkan secara meluas sehingga terbentuk persepsi bahawa penyokong parti tertentu bersifat melampau. Dalam suasana politik yang tegang, persepsi seperti ini mudah sekali diterima sebagai kebenaran.

****************

Salah satu contoh yang dipetik dalam artikel tersebut berlaku menjelang pilihan raya kecil Teluk Intan pada tahun 2014, ketika undi komuniti India menjadi faktor penentu kepada keputusan pilihan raya.

Sekitar dua puluh empat jam sebelum hari pengundian, satu video mula tersebar melalui WhatsApp.

Dalam video itu, seorang individu mendakwa bahawa beliau telah diserang oleh seorang aktivis politik yang kononnya menghina ibunya dan agamanya. Naratif yang dibawa sangat emosional, menyentuh maruah, agama dan identiti kaum.

Namun menurut pengakuan yang dipetik dalam artikel tersebut, cerita itu sebenarnya tidak benar. Skrip ucapan telah disediakan terlebih dahulu dan video itu disusun untuk mencetuskan kemarahan komuniti India terhadap parti lawan pada saat akhir sebelum pengundian.

Pilihan raya tersebut akhirnya dimenangi dengan majoriti sekitar 500 undi sahaja.

*****************

Apa yang didedahkan dalam artikel itu menunjukkan bahawa dalam politik moden, peperangan tidak lagi berlaku hanya di pentas ceramah atau dalam bilik mesyuarat parti.

Sebaliknya, ia berlaku dalam ruang yang jauh lebih halus, iaitu dalam perang maklumat dan manipulasi emosi.

Sentimen kaum, sentimen agama dan kemarahan masyarakat sering dijadikan bahan bakar dalam operasi propaganda seperti ini.

Kadang-kadang cukup dengan satu video, satu tangkap layar, atau ribuan akaun palsu yang kelihatan seperti rakyat biasa untuk menyalakan api yang tidak pernah wujud sebelumnya.

Now, dari apa yang berlaku sekeliling kita hari ini. Bila ada provokasi sana sini, pengundi yang matang akan bertanya:

Adakah ini benar… atau sekadar satu lagi operasi hitam politik?

Moga Allah balas mana2 pihak yang sengaja buat adu domba melaga2kan kaum dan agama. Hanya kerana politik kuasa.

Salam hormat,

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.