Mesej politik di sebalik pelantikan Mojtaba Khamenei
Oleh ABDUL HALIM ABDUL RAHMAN
Adakah Sayyid Mojtaba Husseini Khamenei mewarisi kuasa daripada ayahnya (Syahid Sayyid Ali Khamenei) sebagai Pemimpin Agung Iran?
Selepas kewafatan Ali Khamenei yang dilaporkan terbunuh dalam serangan oleh Israel dan Amerika Syarikat, kedudukan Pemimpin Tertinggi Republik Islam Iran dilaporkan kosong selama hampir seminggu.
Kekosongan ini berlaku ketika Iran sedang berhadapan dengan konflik ketenteraan yang semakin memuncak di rantau Timur Tengah.
Peperangan yang tercetus bukan lagi bersifat antara Iran dan Israel sahaja. Dalam tempoh sembilan hari, konflik tersebut telah merebak ke beberapa kawasan strategik di Timur Tengah, termasuk wilayah yang menempatkan pangkalan ketenteraan AS serta jaringan operasi perisikannya.
Situasi ini menjadikan persoalan kepimpinan di Tehran bukan sekadar isu domestik, tetapi juga faktor penting dalam keseimbangan kuasa serantau.
Dalam perkembangan terkini, Majlis Pakar Republik Islam Iran (Assembly of Experts) secara rasmi mengumumkan pelantikan Mojtaba sebagai Pemimpin Tertinggi Iran yang baru.
Dia merupakan anak kedua kepada allahyarham Ali Khamenei. Keluarga Khamenei ini memiliki darah pertalian dengan Rasulullah melalui Saidina Hussein.
Pengumuman ini segera mencetuskan pelbagai reaksi di peringkat antarabangsa. Ada segelintir pihak mempersoalkan sama ada pelantikan ini merupakan satu bentuk pewarisan kuasa keluarga yang bertentangan dengan semangat asal Revolusi Islam 1979, yang menolak sistem monarki dan dinasti politik.
Namun, dari sudut perlembagaan Republik Islam Iran, proses pelantikan kuasa Pemimpin Tertinggi tidak berlaku melalui wasiat peribadi atau pewarisan keluarga. Sebaliknya, ia ditentukan oleh Majlis Pakar Kepimpinan, sebuah badan perlembagaan yang terdiri daripada ulama dan pakar yang dipilih melalui pilihan raya. Badan ini mempunyai mandat untuk memilih, mengawasi, dan sekiranya perlu menggantikan Pemimpin Tertinggi Negara.
Menurut laporan media rasmi Iran, Mojtaba, 56, dipilih melalui undi majoriti yang tegas dalam kalangan anggota Majlis Pakar, selepas beberapa siri perbincangan dan diskusi secara serius yang berlangsung dalam suasana krisis peperangan. Selain daripada Mojtaba, ada beberapa nama lain yang dicalonkan.
Mesej politik yang kuat
Kelewatan keputusan tersebut dilaporkan berpunca daripada keadaan negara yang sedang berada dalam situasi konflik peperangan. Ketika Iran berhadapan dengan tekanan ketenteraan dan politik daripada AS dan Israel, kestabilan kepimpinan menjadi faktor yang amat kritikal.
Beberapa laporan juga menyebut bahawa Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) memainkan peranan penting dalam menyokong kesinambungan kepimpinan, dengan melihat pelantikan Mojtaba sebagai langkah mengekalkan kestabilan struktur kuasa negara dalam keadaan darurat.
Dari sudut geopolitik, penulis berpendapat peperangan yang sedang berlaku bukan sekadar konflik ketenteraan semata-mata. Ia juga merupakan perang psikologi dan simbolik antara Iran dan blok Barat. Nama “Khamenei” sendiri telah menjadi simbol ketakutan kepada pemimpin barat selama beberapa dekad khususnya kerajaan Amerika dan rejim haram Israel.
Mengekalkan nama 'Khamenei' tersebut dalam struktur kepimpinan tertinggi Iran membawa mesej politik yang kuat: bahawa sistem Republik Islam masih berdiri teguh walaupun pemimpin utamanya telah gugur.
Sebelum pelantikannya, Mojtaba Khamenei sering digambarkan sebagai seorang ulama yang mempunyai hubungan rapat dengan pertubuhan elit negara, IRGC: Tentera Revolusi Islam. Dalam beberapa laporan tidak rasmi, beliau turut digelar sebagai antara tokoh berpengaruh di belakang tabir.
Namun demikian, dia tidak pernah memegang sebarang jawatan rasmi dalam struktur kerajaan sebelum ini.
Menurut beberapa sumber akademik dan keagamaan di Iran, Mojtaba mempunyai latar belakang pendidikan agama yang mendalam dan berkemampuan melakukan ijtihad dalam politik dan agama. Dia pernah menuntut ilmu selama puluhan tahun di madrasah dan institusi pengajian Islam di bawah bimbingan ulama-ulama besar yang faqih serta tokoh pemikir kontemporari.
Asas pemikirannya dalam ilmu-ilmu Islam dikatakan bersifat sistematik dan menyeluruh, serta menunjukkan komitmen yang kuat terhadap prinsip-prinsip Revolusi Islam.
Kesimpulannya, pelantikan Mojtaba Khamenei bukanlah hasil pewarisan kuasa keluarga melalui wasiat ayahnya. Ia berlaku melalui proses perlembagaan yang ditetapkan oleh majlis Pakar Republik Islam Iran, walaupun dalam suasana peperangan dan tekanan geopolitik yang luar biasa.
Dalam realiti politik Timur Tengah, keputusan ini bukan sekadar soal siapa yang memimpin Iran, tetapi juga mencerminkan bagaimana negara tersebut berusaha mengekalkan kesinambungan ideologi dan kestabilan politik ketika berhadapan dengan cabaran besar di peringkat serantau dan global. ABDUL HALIM ABDUL RAHMAN merupakan AJK Pendidikan & Dakwah Amanah Bukit Bintang, serta pemerhati politik Asia Barat.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.