'Bersatu retak' - mampukah bertahan sampai PRU16?
Oleh RAMLEE WAHAB
(Artikel ini dikarang ekoran sidang akhbar Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, berhubung konflik dalaman parti pada 3 Mac).
Politik Malaysia memang tidak pernah kurang babak dramatik. Tapi kali ini, getarannya dalam kem Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terasa sedikit berbeza.
Kalau hendak dibandingkan, mungkin ada aura sindiran ala filem klasik “Musang Berjanggut” — penuh mesej tersirat tentang kuasa, pengaruh, harga sebuah kepercayaan dan paling menonjol hilangnya moral kepimpinan.
Di belakang tabir, cakap-cakap dalaman makin kedengaran. Ada yang mula persoal: mampukah parti ini bertahan sampai PRU16?
Pernah seorang pemimpin kanan yang enggan dinamakan dikatakan mengakui suasana parti “tidak lagi sekukuh dulu”. Bayang-bayang kes mahkamah masih panjang, dan itu bukan perkara kecil dalam dunia politik. Dilema kepimpinan di peringkat negeri dan bahagian amat meruncing. Saban waktu berlaku peletakan jawatan oleh Ketua Bahagian dan AJK hingga akibatkan bahagian terbubar.
Ternyata ‘defisit kepercayaan’ di peringkat ekstrinsik dan intrinsik Bersatu telah membarah. Ambil iktibar dari filem arahan Allahyarham Tan Sri P Ramlee ‘Sumpah Orang Minyak’ (1958) – dagangan kain corak lama oleh Bang Selamat tidak laku. Tetapi dengan bantuan Si Bongkok mereka cipta kain batik corak baru, dagangan Bang Selamat laris di pasaran orang-orang kampong.
Moralnya, kerjasama dengan sesiapa pun, waima sahabat yang telah menjadi musuh sekalipun, jika boleh membuahkan faedah untuk semua, lakukanlah. Ego seharusnya dikesampingkan untuk mencapai matlamat bersama. Dalam konteks ini, kalimat ‘agree to disagree’ belum klise lagi.
Manakala di dalam Parlimen, berlaku insiden sindir-menyindir antara pihak kerajaan dengan pembangkang. Situasi menjadi bengang dan tegang, ‘ibarat membubuh garam pada luka’ apabila pihak kerajaan membangkitkan ke mana menghilangnya menantu presiden Bersatu.
Muhyiddin seringkali menangkis dan mengelak untuk menjawab. Implikasinya menjatuhkan imej peribadi presiden dan terpalit keseluruhan imej parti, kepimpinan tertinggi dan ahli-ahli akar umbi. Memang sukar dilakukan ‘damage control’ jika semulajadi diri Muhyiddin terpancar aura ‘defective credibility’.
Tolak perpaduan Melayu?
Wajar dibangkitkan isu pertemuan Hamzah dengan Zahid Hamidi yang dikaitkan dengan ‘Bangkok Move’. Muhyiddin sewaktu berucap dalam sidang akhbar Selesa 3 Mac lepas, telah menyelar tindakan Hamzah sebagai pengkhianat – konon perancangan Hamzah untuk menjadi timbalan perdana menteri dengan membentuk gabungan bersama parti lain (Umno).
Jika benar, Muhyiddin mesti kemukan bukti atau jika sebaliknya, sukar kelak untuk ‘mending the fences’ dirinya. Apa pula pandangan PAS terhadap Muhyiddin yang melempar tuduhan liar? Bukankah usaha Hamzah mahu bergabung dengan mana-mana parti besar itu wajar untuk memperkukuhkan gabungan PN?
Tapi nampaknya, Muhyiddin berasa janggal dan seolah-olah menghalang. Diukur nilai kenyataan tersebut, jelas membayangkan penolakan beliau terhadap penyatuan parti Melayu. Muhyiddin pamer sikap memilih-milih – sedangkan dalam situasi ‘bottleneck’ PN tidak punya ruang pilihan, melainkan menerima semua parti Melayu bergabung di bawah satu bumbung.
Terdengar desas-desus sebelum ini, ketokohan Muhyiddin kembali mahu dijulang sebagai presiden PN. Seterusnya mengangkat beliau sebagai perdana menteri. Jika diperbolehkan, mengapa tidak watak lain yang lebih muda dan bertenaga?
Watak baru yang dapat membawa kesegaran baru dalam jentera politik PN. Dalam isu ini, tidak wajar mana-mana pihak cuba menyempitkan ruang pemikiran; biarlah keterbukaan minda dan berlapang dada tanpa prasangka diraikan.
Sementara itu, dipercayai demi kelangsung penjabaran politik, PAS amalkan budaya politik matang dan sejahtera (BPMS), yang merangkumi sikap bersederhana, berhikmah, dan mengutamakan penyelesaian melalui dialog serta rundingan. Kemungkinan PAS akan menerima semua parti Melayu untuk memperkuatkan gabungan PN amatlah besar.
Isu Jana Wibawa masih menghantui
Untuk ‘refresh’ sedikit memori — program Jana Wibawa bernilai kira-kira RM6.3 bilion (56 projek) diluluskan ketika pandemik Covid-19 bagi mempercepatkan projek Bumiputera dan merangsang ekonomi.
Ia dilaksanakan secara rundingan terus ketika darurat. Selepas pertukaran kerajaan, SPRM memulakan siasatan.
Beberapa pemimpin Bersatu termasuk Muhyiddin didakwa atas pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram (Amla). Akaun terlibat telah dibekukan. Ya, prinsip “tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah” tetap terpakai. Tapi dalam politik, ‘persepsi’ rakyat, kadang-kadang lebih berat daripada keputusan mahkamah. Mereka yang terdiri dari para pengundi seolah-olah sudah memancang hasrat; siapa pemimpin berakhlak mulia dan sebaliknya.
Pengundi masa kini sudah amat berhati-hati memilih pemimpin mewakili mereka – pemimpin mestilah ‘sterile’ sekaligus bersih. Begitu juga ahli-ahli akar umbi sudah mulai sedar, parti dibebani oleh pemimpin yang terpalit kes-kes mahkamah dianggap sebagai “excessive baggage”.
Mahu jadi pemimpin, elak dari dibelenggu permasalahan peribadi yang boleh mencemarkan kredibiliti diri dan imej parti. Sudah barang tentu menimbulkan konflik dan menjadi sasaran para pengundi terutama dari kelompok penyokong PAS kelak adalah PN. Kerana presiden Bersatu dilihat sebagai tidak bermoral dan berintegriti.
Imbas kembali — selepas PRU14 (2018), Bersatu berada di pusat kuasa. Kemudian episod Langkah Sheraton (2020) mengubah landskap politik negara.
Watak-watak ‘slapstick’ melakonkan babak ibarat, ‘kokoknya berderai-derai, tapi ekor bergelumang tahi’. Demikian “sang musang berbulu ayam’ juga mengambil tempat dalam adegan politik dramatik.
Bertahun-tahun ‘si kitul’ mengasah lading dan lembing bakat – sudah sampai masa kini senjata-senjata tersebut direjam ke arah seteru yang bukan lagi sahabat tapi musuh. Musuh yang tidak boleh dijadikan ‘batu loncatan’ sebaliknya menjadi ‘batu penghalang’ bagi mereka mencapai impian tersembunyi.
Dalam tempoh yang sama, setiap langkah diambil, saban waktu mencecah tahun, rakyat melihat penuh minat dan menilai setiap pensejarahan. Kerana rakyat sudah celik dan minda mereka semakin cerdik. Mereka tidak lagi terkesima dan ternganga dengan watak-watak politik melakonkan adegan pelik dengan ungkapan retorik.
Pada PRU15 (2022), PN telah meraih 74 kerusi parlimen, menjadi blok pembangkang terbesar. Bersatu masih signifikan, tetapi bukan lagi pemain tunggal penentu kerajaan Persekutuan.
Kini cabaran mereka datang serentak:
● Tekanan kes mahkamah
● Isu pembekuan akaun parti sebelum ini
● Persaingan dalaman
● Keletihan penyokong akar umbi
Ini bukanlah senarai pendek.
Perjuangan silam vs realiti baru
Ada pengkritik dalaman yang melihat sebahagian pimpinan masih terperangkap dalam nostalgia kuasa — masih menyanyi lagu “zaman kegemilangan dulu”.
Masalahnya? Malaysia sudahpun berubah. Tapi ahli politik kekal jumud dalam lipatan sejarah.
Sayang sungguh, watak seperti Muhyiddin Yassin yang kononnya dianggap bijak dan tangkas berpolitik kerana mempunyai berpengalaman luas, masih terbuai dengan ‘old glory’ dan ‘mesen kira lama’. Muhyiddin seharusnya beralih ke era digital dan AI yang sesuai dengan zaman ini.
PRU15 menyaksikan lebih 6 juta pengundi baharu berusia 18–20 tahun dan pengundi automatik masuk ke dalam sistem. Generasi ini bukan sekadar dengar slogan. Mereka tengok konsistensi, integriti, dan kejelasan hala tuju.
Politik berasaskan sentimen semata-mata makin sukar bertahan tanpa naratif baharu yang lebih segar dan inklusif.
Sememangnya permasalahan timbul bila kesukaran ahli politik klasik mengadaptasi diri dengan situasi politik terkini. Peribahasa Inggeris ada menyatakan, "You can't teach an old dog new tricks". Tapi, masih boleh diusahakan jika mempunyai setiausaha yang hebat dan ketua penerangan yang tangkas. Namun, itu tidak berlaku, kedua-duanya, ‘ibarat harapkan pagar, pagar makan tanaman’.
Luka tidak mudah pulih
Dalam sejarah politik negara, kita sudah lihat bagaimana kes mahkamah boleh:
● Menghakis sokongan bandar.
● Melemahkan moral penyokong.
● Jadi peluru kempen pihak lawan.
Walaupun ada pemimpin yang mampu “survive”, proses itu panjang dan meletihkan. Apabila nama parti dan pemimpin dikaitkan dengan isu integriti kepimpinan di peringkat tertinggi parti.
Pertarungan sebenar berlaku di medan persepsi dalam Bersatu. Bukan mudah usaha barisan kepimpinan tertinggi, ketua penerangan pusat, ketua perhubungan negeri dan ketua bahagian termasuk semua AJK terpaksa berhempas-pulas melakukan ‘damage control’ – menangkis miskanil tohmahan dan kutukan yang kononnya dianggap fitnah. Tugasan ‘aftermath’ begini amat melelah dan meletihkan sekaligus membuang masa.
Lantas, medan pemulihan bahagian itu lebih kejam daripada mahkamah. Timbul beberapa persoalan besar:
● Apakah Muhyiddin mahu lakukan ‘reset’, ‘reconcile’ atau rehat ?
● Adakah Bersatu bersedia untuk lakukan ‘reset’ besar-besaran?
● Mungkinkah Muhyiddin mahu lakukan ‘reconcile’ terhadap Hamzah?
● Atau, Muhyiddin akan berehat dan digantikan oleh Azmin, Faizal Azumu atau Radzi Jidin?
Kalau mahu kekal relevan menjelang PRU16, beberapa langkah nampak sukar dielak:
● Penstrukturan semula kepimpinan.
● Naratif politik yang lebih segar.
● Disiplin dalaman yang kukuh.
● Pemulihan imej integriti.
Tanpa perubahan, bisik-bisik kebimbangan boleh bertukar jadi kenyataan.
Soal momentum
Dalam politik, momentum ‘ibarat ombak yang galak’. Bila ada, kita boleh meluncur jauh. Bila hilang, kita terkapai-kapai. Politik memang dinamik; berubah bentuk dan warna mengikut suasana kehidupan dan keadaan pemasyarakatan.
Bersatu masih ada struktur tapi kabur. Struktur yang kabur kemungkinan sudah hancur, ‘ibarat daun dimakan ulat'.
Memang masih ada kerusi MP. Meski cuma berbaki boleh dibilang dengan jari. Presiden masih ada reja-reja pengaruh, sekadar ‘berdehem dan batuk’ sahaja, dalam blok pembangkang. Tidak lagi berpengaruh sebagai Timbalan Pengerusi PN. Justeru, lakukanlah perubahan drastik kerana masa tidak menunggu sesiapa. PRN Johor dan Melaka boleh berlaku pada bila-bila masa pada penghujung tahun ini atau awal tahun hadapan.
PRU16 pula mungkin masih beberapa tahun lagi. Namun, jam randik politik sudah berdetik. Akhirnya, segala bergantung pada Bersatu menjawab:
● Adakah presiden dan MPT sanggup berfikir di luar kotak?
● Atau terus mendendangkan lagu lama sementara realiti bergerak ke hadapan?
Jawapannya belum pasti.
Tapi pentas politik Malaysia sentiasa bergolek dan bergolak – tersedia untuk menyambung babak pahit-manis seterusnya.
RAMLEE WAHAB ialah setiausaha Bahagian Bersatu, Sri Gading, Batu Pahat, Johor




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.