K'jaan Muhyiddin di hujung tanduk
Pngumuman Biro Politik Umno semalam bahawa parti itu mempertimbangkan menarik diri daripada menyokong gabungan Perikatan Nasional (PN) dan akan mengenakan syarat baru jika ingin terus bekerjasama bukan satu ancaman sebaliknya satu keputusan matang, kata sumber parti itu.
"Umno yang menyokong kerajaan PN diketuai Muhyiddin Yassin sebelum ini berbeza dengan keputusan semalam yang berasaskan satu keputusan menyeluruh oleh parti itu.
"Ini kerana, Umno memberi sokongan kepada Muhyiddin hanya sekadar sokongan oleh wakil rakyat daripada parti itu. Tetapi, pengumuman untuk mempertimbang tarik diri daripada PN merupakan satu keputusan kolektif oleh parti itu.
"Maka, saya boleh memberi bayangan bahawa kerajaan Muhyiddin di hujung tanduk," kata sumber pucuk pimpinan tinggi itu kepada Malaysiakini.
Dia berkata demikian ketika menjelaskan perjalanan mesyuarat biro politik yang turut dihadiri oleh semua pengerusi Umno negeri kecuali pengerusi badan perhubungan Sabah, Bung Moktar, malam tadi di Kuala Lumpur.
Mesyuarat semalam dikatakan hampir sebulat suara menyokong keputusan Umno untuk mempertimbangkan kedudukan mereka di dalam PN. Namun, seorang pemimpin kanan meninggalkan mesyuarat tersebut yang sedang berlangsung atas alasan kecemasan.
“Kami percaya beliau tidak puas hati dengan isu yang dibangkitkan dengan ramai yang mengkritik pentadbiran Muhyiddin,” katanya
Sumber itu turut menyenaraikan beberapa perkara dalam masa enam bulan ini yang membuat Umno mengambil keputusan tegas.
"Sejak penubuhan kerajaan PN, Umno satu-satunya parti dalam gabungan itu menjadi lemah dan makin tiada hala tuju. Semua parti lain dalam gabungan PN merupakan pembangkang kecuali Bersatu.
"Selesai penubuhan kerajaan, Umno yang mempunyai jumlah ahli majoriti dalam gabungan dipinggirkan dalam kabinet. Dah lah hilang jawatan PM walaupun parti paling dominan...TPM pun tak bagi... jawatan kabinet semuanya kurang penting sahaja.
"Yang kalah hilang deposit dalam PRU14 diberikan jawatan menteri kanan. Tapi, Umno diperuntukkan menteri-menteri yang kurang penting sahaja. Yang dapat dua tiga kementerian besar pun, bukan (mereka yang) memegang jawatan penting atau ahli MT (majlis tertinggi Umno).
"Ini satu strategi untuk melemahkan Umno dengan memberi nyawa kepada pemimpin-pemimpin yang tidak sehaluan dengan pucuk pimpinan," kata sumber itu.
Untuk rekod, Umno diberikan sembilan jawatan kabinet dalam kerajaan PN yang ditubuhkan pada Mac lalu.
Namun, kabinet Muhyiddin tidak diterima baik oleh akar umbi Umno yang beranggapan pemimpin parti itu tidak diberikan kementerian penting.
"Di peringkat negeri, kami hilang kerusi MB Perak walaupun mempunyai kekuatan 25 Adun. Jawatan GLC, JKKK, ahli majlis semuanya dikuasai oleh Bersatu dan geng kartel.
"Terbaru, kami hilang jawatan ketua menteri Sabah sedangkan kami merupakan parti paling banyak memenangi kerusi DUN berbanding Bersatu. Lebih menyedihkan, Umno juga terpaksa berhadapan dengan calon bebas yang ditaja oleh pihak berkepentingan.
"Kesimpulannya, Bersatu semakin berkembang dengan kekuatan Umno. Manakala, Umno menjadi semakin terpencil," katanya.
Pada PRN Sabah, Umno menang 14 DUN berbanding Bersatu yang hanya mendapat 11 kerusi sahaja. Namun, Pengerusi Bersatu Sabah, Hajiji Mohd Noor yang dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah yang ke-16.
Lebih merumitkan keadaan, spekulasi bahawa pemimpin Umno dan BN tidak berpuas hati dengan agihan portfolio kerajaan negeri.
Ketika ditanya, apakah Umno akan kekal bersama PN jika Muhyiddin bersetuju dengan semua syarat baru yang dikenakan, ini jawapannya.
"Ia masih awal untuk diramalkan. Yang pasti sebahagian syarat akan dilihat sebagai 'agak berat' bagi Muhyiddin untuk persetujui.
"Mungkin, Umno akan meminta semua kerusi yang dimenangi oleh ahli parlimen Umno yang menyertai Bersatu.
"Tidak menolak juga kawasan parlimen kumpulan Mohamed Azmin Ali di mana Umno merupakan pihak lebih sesuai bertanding menentang PH pada pemilihan akan datang kerana mendapat undi kedua tertinggi pada PRU14.
"Sanggupkah Muhyiddin korbankan pemimpin dari Umno dan kumpulan Azmin untuk kekal sebagai kerajaan?
“Sebab itu saya kata kerajaan Muhyiddin di hujung tanduk. Apa pun, kita akan tunggu dan lihat perkembangan terbaru nanti selepas mesyuarat majlis tertinggi Umno pada 17 Oktober ini," katanya lagi.
Malaysiakini telah menghubungi Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan untuk mendapatkan reaksi dan maklum balasnya
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.