https://critoxium.com/shop/

Terkini

Pas Johor Sedia Pertimbang Kerjasama Politik Lain


Spekulasi mengenai kemungkinan perubahan landskap politik Johor mula hangat diperkatakan selepas PAS negeri itu menyatakan kesediaan menilai jajaran politik baharu jika kerjasama sedia ada berdepan masalah.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, Dr Mazri Yahya berkata politik sentiasa bersifat dinamik dan parti itu terbuka mempertimbangkan pilihan yang lebih sederhana serta tidak ekstrem demi memastikan kestabilan politik terus terpelihara.

Menurut beliau, walaupun Perikatan Nasional ketika ini dilihat sebagai satu blok politik yang kuat, PAS tetap bersikap terbuka sekiranya keadaan memerlukan pendekatan baharu.

Katanya, keutamaan parti adalah memastikan kepentingan rakyat terus terjaga dan kestabilan politik negeri tidak tergugat.

Dalam masa sama, Mazri menegaskan PAS sentiasa bersedia menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa.

Jentera parti katanya sentiasa berada dalam keadaan siap siaga bagi mempertahankan kerusi yang dimenangi selain menawarkan pilihan yang lebih baik kepada rakyat Johor pada masa depan.

Pada PRN Johor lalu, PAS hanya memenangi satu kerusi DUN iaitu di Maharani dan tidak mempunyai kerusi Parlimen di negeri itu selepas PRU15.

Sementara itu, cadangan Pakatan Harapan Johor agar Pilihan Raya Negeri dan Pilihan Raya Umum diadakan serentak turut mencetuskan perdebatan politik.

Ketua Pemuda Umno Johor, Noor Azleen Ambros mempersoalkan cadangan tersebut kerana perkara sama tidak dilakukan di negeri-negeri di bawah pentadbiran PH sebelum ini.

Beliau menegaskan Umno dan Barisan Nasional Johor tetap bersedia menghadapi sebarang pilihan raya dan bertekad mempertahankan semua kerusi yang dimenangi pada pilihan raya lalu.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.