Liew Chin Tong: Generasi Z Perlu Bangkit Bentuk Masa Depan Malaysia
Dua ahli parlimen yang pertama kali dipilih dalam “tsunami politik” yang meruntuhkan penguasaan Barisan Nasional (BN) terhadap dua pertiga kerusi Dewan Rakyat selama enam dekad pada PRU12 8 Mac 2008 mengimbau perjalanan politik mereka serta masa depan Malaysia.
Menjelang pilihan raya negeri yang bakal berlangsung serta Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Liew Chin Tong berkata seorang bayi yang lahir pada 2008 kini sudah layak mengundi.
“Masa dan arus tidak menunggu sesiapa. Untuk politik progresif terus bertahan dan berkembang, kita mesti membuka ruang kepada mereka yang lahir pada tahun 2000an – Generasi Z – untuk bangkit dan berperanan, supaya kita dapat membina negara ini bersama-sama,” kata timbalan menteri kewangan itu.
Dalam satu hantaran di Facebook sempena ulang tahun ke-18 gelombang perubahan besar yang menyaksikan pakatan pembangkang ketika itu, Pakatan Rakyat, memenangi 82 kerusi parlimen serta membentuk lima kerajaan negeri, Liew mengimbau pengalamannya dipilih buat pertama kali sebagai ahli parlimen Bukit Bendera.
“Saya memenangi kerusi Bukit Bendera walaupun ramai pemerhati dan penjudi politik beranggapan saya sekadar ‘makanan meriam’ pembangkang.
“Kemenangan itu bukan sahaja manis, malah sangat bermakna kerana DAP dan PKR juga memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri yang mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri Pulau Pinang,” katanya, merujuk kepada pengambilalihan kerajaan negeri daripada pentadbiran BN yang dipimpin Gerakan, kini komponen Perikatan Nasional (PN).
Buat pertama kali dalam sejarah, BN kehilangan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.
Allahyarham Abdullah Ahmad Badawi kemudian menamakan timbalannya, bekas presiden Umno Najib Razak, sebagai penggantinya untuk menjadi perdana menteri keenam.
“Dalam dekad pertama, kita menyaksikan berakhirnya ‘negara satu parti’ Barisan Nasional pada 2018.
“Autoritarianisme gagal melindungi rejim lama,” kata Liew merujuk kepada tempoh pertama pentadbiran Pakatan Harapan di Putrajaya di bawah perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad, perubahan yang tercetus susulan protes besar-besaran terhadap skandal 1MDB.
Liew memenangi kerusi parlimen Kluang pada PRU13 namun pada PRU14 tahun 2018 dia tewas kepada Presiden MCA, Wee Ka Siong, ketika bertanding di kerusi Ayer Hitam.
Dia kemudian kembali ke Johor dan memenangi kerusi DUN Perling pada pilihan raya negeri 2022, sebelum menang kerusi Parlimen Iskandar Puteri pada PRU15.
“Namun, walaupun orde lama semakin pudar, orde baru masih bergelut mencari tapaknya.
“Malaysia masih melalui proses ‘pengubahsuaian’, iaitu proses pembinaan negara, tetapi saya tahu kita berada di kedudukan yang jauh lebih baik berbanding 18 tahun lalu, malah tiga tahun lalu,” kata ahli Parlimen DAP itu.
Secara berasingan, Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, turut mengimbau pengalamannya pertama kali menjadi wakil rakyat pada 2008 ketika dipilih sebagai Adun Pantai Jerejak.
“Pada waktu itu, saya sendiri tidak menyangka kami sedang memulakan perjalanan politik yang penuh gelora,” kata timbalan menteri pelaburan, perdagangan dan industri itu.
Antara lain, dia menyebut Liew serta sekumpulan ahli politik yang ketika itu masih baru tetapi kini telah meningkat naik dalam politik, termasuk Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, serta timbalan presiden PKR Nurul Izzah Anwar.
“Sepanjang 18 tahun lalu, peralihan politik negara kita amat luar biasa,” kata Sim, yang dipilih ke parlimen pada 2013 dan kini turut berkhidmat sebagai setiausaha politik di pejabat presiden PKR yang kini disandang Anwar Ibrahim.
“Daripada sebuah negara separa autoritarian yang diperintah satu parti selama 60 tahun kepada sebuah negara bebas dan demokratik (yang masih dalam proses pembinaan).
“Daripada ketakutan terhadap kemungkinan berulangnya peristiwa 13 Mei kepada peralihan kuasa secara aman serta beberapa kali pertukaran kerajaan.
“Semua ini merupakan kisah kejayaan yang patut dibanggakan dan menjadi pengajaran,” kata Sim.
Secara berasingan, Menteri Belia dan Sukan Taufiq Johari memberitahu Malaysiakini bahawa pelaksanaan Undi 18 merupakan langkah penting dalam memperluas penyertaan rakyat, khususnya dengan memberi suara langsung kepada golongan muda dalam proses demokrasi negara.
“Dalam memberi suara ini, usaha untuk meningkatkan kefahaman dan pendidikan politik terhadap pengundi muda perlu berjalan seiringan, agar ia dapat membantu mereka dalam membuat pilihan yang terbaik untuk negara,” kata ahli parlimen Sungai Petani itu ketika dihubungi.
Dilahirkan pada 1996, Taufiq baru berusia 12 tahun pada 2008 namun dia masih ingat saat bapanya, Johari Abdul, memenangi kerusi parlimen Sungai Petani buat kali pertama.
“Apa yang saya tengok gelombang perubahan yang mana rakyat nakkan suatu sistem yang lebih baik dan juga beberapa buah negeri yang dulunya dikuasai oleh satu parti saja tapi sudah berubah tangankepada parti-parti dalam PR (Pakatan Rakyat).
"Jadi kalau nak tahu apa yang saya ingat, saya ingat adalah gelombang perubahan rakyat ataupun gelombang rakyat yang inginkan perubahan itu sendirilah.
"Momen itu adalah ketika pengumuman kemenangan pada malam itu,” katanya.
Memandang ke hadapan, Taufiq berkata Kementerian Belia dan Sukan kekal komited terhadap agenda lebih luas memperkasa golongan muda, sambil menyatakan harapan ia turut membantu mereka membuat pilihan yang mereka percaya terbaik untuk diri mereka.
Parlimen ke-15 akan terbubar secara automatik pada 19 Dis 2027, justeru tarikh paling lewat untuk PRU16 ialah pada 17 Feb 2028.
Bagaimanapun, spekulasi semakin hangat bahawa pilihan raya mungkin diadakan seawal separuh kedua tahun ini, serentak dengan beberapa pilihan raya negeri yang dijangka bermula dengan Melaka dan Johor.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.