https://critoxium.com/shop/

Terkini

Kekal dalam kerajaan, percaturan politik jangka panjang DAP


Oleh Dr Mukhtaruddin Musa -

 TINDAKAN Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menawarkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan susulan pengampunan bersyarat dikurniakan Yang di-Pertuan Agong terhadap Datuk Seri Najib Razak adalah simbol protes DAP terhadap keputusan berkenaan.

Ini bukan kali pertama pendirian pemimpin DAP bercanggah dengan tindakan atau keputusan institusi raja hingga mencetuskan polemik. Antara episod menonjol ialah krisis politik Perak pada 2009 apabila pemimpin DAP ketika itu berpendapat keputusan Sultan Perak berkaitan kedudukan Menteri Besar boleh dicabar melalui mahkamah.

Persoalannya, jika isu pengampunan itu cukup serius hingga Loke bersedia meninggalkan Kabinet, mengapa pengorbanan politik berkenaan berhenti pada Loke, sedangkan DAP memilih untuk terus kekal dalam kerajaan?

Dalam politik, berada dalam kerajaan bukan sekadar memiliki jawatan menteri. Kedudukan dalam pentadbiran memberikan akses lebih langsung kepada pembuatan dasar, reformasi dan penentuan keutamaan pembangunan. Keluar daripada kerajaan pula bermakna sebahagian ruang itu turut dilepaskan.

Pulau Pinang memberikan contoh menarik. Selepas Loke menawarkan peletakan jawatan, Penasihat DAP, Lim Guan Eng menonjolkan lebih RM21 bilion projek pengangkutan Persekutuan di Pulau Pinang yang menurut beliau diperjuangkan sepanjang Loke menerajui Kementerian Pengangkutan.

Antaranya ialah Aliran Transit Ringan (LRT) Laluan Mutiara sebanyak RM16.8 bilion; peluasan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (RM1.55 bilion); Penang Port (RM2.2 bilion) dan Swettenham Pier (RM500 juta).

Dari sudut persepsi politik, perbezaan kemajuan antara projek di Pulau Pinang dengan cadangan projek di negeri majoriti Melayu seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) di Kedah dan Projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) di Pantai Timur tetap membuka ruang kepada perbandingan. LPT3 misalnya, pada Julai 2026 dicadangkan dilaksanakan melalui kerjasama awam-swasta berikutan kekangan pembiayaan Kerajaan Persekutuan.

Kenyataan Guan Eng memperlihat nilai memiliki pemimpin kanan dalam Kerajaan Persekutuan. Berada dalam kerajaan membuka ruang lebih langsung untuk memperjuang keutamaan; berada di luar kerajaan mengecilkan ruang berkenaan. Sebab itu kos politik jika seluruh DAP meninggalkan kerajaan jauh lebih besar berbanding pengunduran seorang menteri.

Lebih besar daripada projek pembangunan ialah proses boleh mempengaruhi landskap politik untuk beberapa pilihan raya akan datang, iaitu kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh menjalankan kajian semula selepas tidak kurang lapan tahun daripada tarikh selesainya kajian terdahulu. Bagi negeri Tanah Melayu, kajian terakhir selesai pada 2018. Apabila kajian baharu dimulakan, ia perlu diselesaikan dalam tempoh tidak melebihi dua tahun.

Namun, proses persempadanan tidak berakhir pada SPR. Selepas melalui kajian, pameran, representasi dan siasatan tempatan, cadangan akhir dikemukakan kepada Perdana Menteri untuk dibentangkan di Dewan Rakyat. Cadangan itu memerlukan sokongan lebih daripada separuh ahli Dewan Rakyat untuk diluluskan. Di sinilah kekuatan di Parlimen mempunyai nilai strategik politik.

Isu ketidakseimbangan jumlah pengundi

DAP tidak mempunyai kuasa menentukan sempadan pilihan raya. Tanggungjawab kajian terletak pada SPR di bawah Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan dengan prinsip termasuk keseimbangan jumlah pemilih, kemudahan pentadbiran dan pemeliharaan hubungan setempat. Namun apabila cadangan akhir tiba di Dewan Rakyat, angka politik di Parlimen menjadi sebahagian daripada proses berkenaan.

DAP sejak sekian lama membangkitkan isu ketidakseimbangan jumlah pengundi dan prinsip representasi lebih seimbang. Maka secara strategik, DAP mempunyai kepentingan untuk memastikan persempadanan pada masa hadapan tidak menghasilkan struktur merugikan kedudukannya dan sejauh mungkin, selari dengan prinsip representasi diperjuangkannya. Ini tidak bermaksud DAP boleh menentukan keputusan SPR atau persempadanan baharu pasti menguntungkannya.

Hakikat cadangan akhir memerlukan kelulusan Dewan Rakyat menjadikan kedudukan dalam kerajaan dan kekuatan Parlimen sesuatu yang bernilai. Projek pembangunan mungkin memberi manfaat dalam satu penggal, tetapi sempadan pilihan raya boleh membentuk medan pertandingan bagi beberapa pilihan raya selepasnya.

Dalam politik jangka panjang, bukan sahaja penting siapa bertanding dan berapa banyak undi diperoleh; sama pentingnya ialah bagaimana medan pertandingan itu dibentuk.

Atas sebab itu, keputusan DAP untuk kekal dalam kerajaan wajar dilihat melangkaui soal mempertahankan jawatan Kabinet. Parti yang mempunyai strategi jangka panjang turut menilai sejauh mana kedudukannya membolehkan parti terbabit dalam pembentukan dasar, pembangunan, reformasi institusi dan proses politik yang memberi kesan lima atau 10 tahun akan datang.

Berada dalam kerajaan tidak bermakna DAP boleh menentukan semua keputusan. Namun dalam politik, akses, kedudukan dan kemampuan mempengaruhi proses tetap mempunyai nilai. Sekiranya semua menteri dan timbalan menteri DAP meninggalkan kerajaan, parti itu bukan sahaja kehilangan jawatan tetapi juga saluran langsung dalam pentadbiran.

Di sinilah bezanya politik simbol dengan politik struktur. Tawaran pengunduran Loke memberikan simbol pendirian DAP, manakala pengekalan wakil lain memastikan parti terus berada dalam proses pentadbiran dan politik.

Persoalannya bukan semata-mata sama ada tindakan Loke lahir daripada prinsip atau strategi. Kedua-duanya boleh wujud serentak. Persoalan lebih besar ialah mengapa kos politik untuk menunjukkan pendirian berkenaan berhenti pada seorang pemimpin?

Seorang boleh berundur untuk membawa simbol prinsip. Namun, parti mempunyai sebab untuk terus kekal apabila masih terdapat kepentingan politik jangka panjang yang mahu dipertahankan.

Loke boleh berada di luar Kabinet. Namun bagi DAP, berada di luar kerajaan ketika percaturan politik jangka panjangnya masih belum selesai mungkin menjadi harga politik yang terlalu mahal untuk dibayar.

Penulis adalah Ketua Penyelidik (Governans dan Polisi), Yayasan Strategik Lestari

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.