https://critoxium.com/shop/

Terkini

Keputusan PRU15 dijangka tergantung

 


PETALING JAYA: Kerajaan campuran atau pilihan raya semula adalah dua senario yang dijangka berlaku jika keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tergantung apabila tiada parti yang mendapat majoriti mudah atau sekurang-sekurangnya 121 kerusi Parlimen.

Meskipun Perlembagaan Persekutuan tidak menyatakan pembentukan kerajaan memerlukan majoriti mudah, situasi itu masih tidak selamat sekiranya Perdana Menteri yang dilantik gagal mendapat sokongan Dewan Rakyat ketika meluluskan rang undang-undang (RUU) dan usul undi percaya.

Justeru, pembentukan kerajaan campuran adalah langkah paling selamat demi kestabilan negara berbanding mengadakan semula pilihan raya umum (PRU) yang mengambil masa di samping menelan kos perbelanjaan berganda.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, pakar perlembagaan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, tidak dinafikan parti menguasai jumlah kerusi dalam Dewan Rakyat boleh membentuk kerajaan sekali pun tanpa majoriti mudah, namun mereka berdepan situasi sukar jika berdepan undi tidak percaya.

Katanya, pembentukan kerajaan menerusi pelantikan Perdana Menteri perlu mengambil kira situasi politik semasa bagi mengelakkan usul tidak percaya dan mengulangi ketidakstabilan politik berpanjangan sepertimana berlaku sebelum ini.

“Benar, Yang di-Pertuan Agong boleh melantik mana-mana ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri berdasarkan Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan, namun Seri Paduka perlu membaca suasana politik semasa sekiranya pemimpin itu kalah dalam undi tidak percaya di Parlimen.

“Jadi salah satu cara adalah menubuhkan kerajaan campuran. Itu pun kalau parti-parti terbabit tidak berlaga angin. Itu saja pilihan terbaik selain pilihan raya semula,” katanya.

Sebelum ini, veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li meramalkan parti politik yang bertanding pada PRU15 dilihat sukar mendapat majoriti mudah sekali gus membentuk kerajaan dengan tempias sama turut dirasai UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang sedang berdepan pelbagai masalah ketika ini.

Sebaliknya, keputusan PRU tergantung bukanlah satu perkara baharu apabila Pakatan Harapan (PH) selepas PRU14 yang menggunakan logo tiket PKR hanya menang 109 kerusi berbanding BN (79 kerusi) dan mereka kemudian bersama Parti Warisan Sabah (Warisan) membentuk kerajaan.

Dalam pada itu, Nik Ahmad Kamal berkata, parti menguasai kerusi dalam Dewan Rakyat boleh membentuk kerajaan sekalipun enggan membentuk kerajaan campuran namun perlu memeterai Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) dengan parti lain seperti amalan negara-negara lain seperti Kanada dan Australia.

“Pakatan secara CSA boleh berjalan dengan baik. Cuma kalau ada masalah sikit saja jika timbul isu hilang sokongan sepertimana Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) yang bila-bila masa boleh goyah,” jelasnya.

Katanya lagi, keutuhan sokongan parti itu dijamin menerusi Akta Anti Lompat Parti yang diluluskan baru-baru sekali gus dilihat menyekat ahli-ahli Parlimen melompat parti.

Sementara itu, pakar Perlembagaan dari Universiti Malaysia Pahang (UMP), Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, parti-parti politik tidak semestinya bergabung membentuk kerajaan namun mereka boleh bersetuju menamakan seorang calon Perdana Menteri.

Katanya, perkara itu berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang jelas menyatakan Yang di-Pertuan Agong boleh memutuskan Perdana Menteri berdasarkan pada hemat baginda seorang kemungkinan mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

“Sekiranya mereka bergabung sekalipun membentuk kerajaan, ia dibolehkan dengan syarat tidak melompat parti memandangkan kita baru sahaja meluluskan RUU Anti Lompat Parti yang mengatakan pilihan raya perlu diadakan jika kekosongan berlaku jika ada wakil rakyat menyertai parti lain,” katanya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.