Pengukuhan nilai ringgit peluang terbaik urus semula liabiliti kewangan
Oleh Prof Madya Dr Muhammad Irwan Ariffin -
Kenaikan nilai ringgit baru-baru ini ke paras tertinggi dalam tempoh 30 bulan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menarik perhatian dan menimbulkan rasa teruja dalam kalangan rakyat.
Pengukuhan mata wang ini, dipacu penurunan kadar faedah Rizab Persekutuan AS, membuka pelbagai peluang dan cabaran untuk pengguna serta perniagaan.
Dalam menghadapi perubahan ekonomi ini, penting bagi rakyat mengambil langkah bijak dan proaktif supaya dapat memanfaatkan kekuatan baharu ringgit ini.
Salah satu manfaat utama pengukuhan ringgit adalah potensi penurunan harga bagi barang dan perkhidmatan diimport. Barang seperti perkakas elektronik, kenderaan dan produk mewah yang banyak dijual dalam nilai dolar AS mungkin akan menyaksikan penurunan harga dan menjadi lebih mampu milik untuk pengguna.
Kenaikan nilai ringgit juga mendorong kos perjalanan ke luar negara mungkin menjadi lebih murah. Mereka yang merancang percutian ke luar negara, terutama ke negara dengan mata wang disandarkan kepada dolar, akan mendapati ringgit mereka lebih berkuasa, sekali gus mengurangkan kos keseluruhan perjalanan dan menjadikan perjalanan lebih mesra bajet.
Bagaimanapun, pengguna perlu berhati-hati. Kenaikan nilai ringgit tidak semestinya serta-merta diterjemahkan kepada penurunan harga runcit, kerana firma dan syarikat mungkin memerlukan masa untuk menyesuaikan harga jualan mereka.
Memantau harga dalam beberapa bulan akan datang boleh membantu rakyat membuat pembelian tepat pada masanya dan memanfaatkan bajet mereka dengan lebih baik.
Dari segi inflasi, pengukuhan ringgit dapat mengurangkan tekanan kenaikan harga, terutama bagi produk import. Dengan kos import lebih rendah, kemungkinan inflasi akan kekal stabil pada paras rendah dan memberikan lebih ruang kepada pengguna menguruskan perbelanjaan harian.
Walaupun pengguna berpeluang mendapat manfaat daripada pengukuhan ringgit, sektor ekonomi berorientasikan eksport mungkin tidak mengalami nasib sama.
Pengukuhan ringgit menjadikan barang Malaysia lebih mahal untuk pembeli asing, boleh mengurangkan permintaan eksport. Ini menimbulkan cabaran kepada sektor industri seperti pembuatan, kelapa sawit dan elektronik, yang mana penurunan permintaan boleh menjejaskan peluang pekerjaan dalam sektor berkenaan.
Mereka yang bekerja dalam sektor berorientasikan eksport perlu menyedari risiko ini dan bersedia menghadapi kemungkinan kelembapan.
Satu lagi kesan positif daripada pengukuhan ringgit adalah potensi penurunan harga bahan api. Apabila harga import minyak menurun, pengguna dapat menikmati pengurangan kos pengangkutan yang akan memberikan kelegaan kepada bajet perbelanjaan harian.
Selain itu, perniagaan terbabit dalam pengangkutan dan logistik juga akan mengalami pengurangan kos operasi, sekali gus dapat meningkatkan keuntungan mereka.
Dari sudut pelaburan, situasi semasa menawarkan peluang menarik. Pengukuhan ringgit menjadikan aset luar negara seperti saham, bon dan hartanah lebih mampu milik untuk pelabur Malaysia. Penilaian semula portfolio pelaburan dengan memasukkan aset asing boleh membawa keuntungan jangka panjang.
Bagi mereka yang mempunyai pembiayaan perumahan atau pembiayaan peribadi, ini adalah masa penting memantau kadar faedah tempatan dan mungkin menyusun semula pembiayaan untuk mendapatkan terma lebih baik.
Walaupun ringgit sedang menunjukkan prestasi baik sekarang, pergerakannya pada masa hadapan mungkin di luar jangkaan. Memantau perkembangan ekonomi global seperti perubahan dasar monetari AS, turun naik harga komoditi global dan prestasi ekonomi serta hubungan perdagangan China akan menjadi faktor penting dalam membuat keputusan kewangan bijak dalam beberapa bulan akan datang.
Kesimpulannya, kenaikan nilai ringgit membawa satu peluang unik untuk pengguna. Sekarang masa terbaik membuat pembelian dirancang dengan teliti, menyesuaikan strategi pelaburan dan membuat persediaan untuk sebarang perubahan ekonomi mungkin berlaku.
Dengan perancangan teliti dan pendekatan proaktif, rakyat boleh memanfaatkan kekuatan ringgit sekarang untuk membawa manfaat kewangan berpanjangan dan menyokong kesejahteraan masa depan.
Penulis ialah Pensyarah Jabatan Ekonomi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.