Muda, tak perlu jadi telur mengata lepang tak pandai duduk
Umum mengetahui keputusan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, anggota parlimen Muar dan parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) untuk keluar dari gabungan kerajaan perpaduan semalam.
Kami telah menjangkakan tindakan dan keputusan ini dari pihak Muda sejak dahulu lagi.
Tindakan beliau serta Muda semalam kononnya disebabkan Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim hari ini telah melanggar “garis merah” prinsip perjuangan mereka.
Dalam usaha negara kini menuju ke arah sebuah negara Malaysia Madani, sebagai seorang pemimpin Muda di peringkat nasional beliau harus bersama-sama membantu dan menggembleng tenaga membantu kerajaan dalam menyumbang idea-idea dan dasar bernas terhadap nasib golongan rentan serta belia, bukan hanya berperanan sebagai individu yang mencari salah kerajaan.
Kami ingin mengingatkan saudara Syed Saddiq supaya jangan “hanya pandai berkokok umpama ayam jaguh tapi hakikatnya, ekor bergelumang tahi”.
Umum mengetahui bahawa beliau sendiri terlibat dalam perbicaraan atas empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (Amla) di peringkat Mahkamah Tinggi.
Harus diingatkan ketika pilihan raya umum DUN di enam buah negeri yang lalu pun, Muda sendiri telah melanggar konsensus bersama gabungan perpaduan dengan meletakkan calon menentang parti-parti gabungan kerajaan.
Jika benar beliau membuat keputusan ini atas dasar prinsip, maka beliau juga wajib menzahirkan prinsip beliau yang sebenar.
Mengimbas kembali senario pilihan raya umum DUN Johor pada tahun 2022, atas sokongan dan semangat yang tidak berbelah bahagi dari penyokong tegar dan jentera-jentera Pakatan Harapan, Amira Aisya memenangi kerusi DUN Puteri Wangsa dan Syed Saddiq memenangi kerusi parlimen Muar pada pilihanraya umum ke-15 atas semangat yang sama.
Atas semangat itu, hari ini parti Muda mempunyai dua orang wakil rakyat.
Bayangkan jika penyokong PH tidak menyokong mereka, tentunya mereka bakal kehilangan deposit.Atas nama prinsip perjuangan, saya gesa semua wakil rakyat dari parti Muda perlu meletak jawatan dan kembalikan sokongan kepada rakyat semula. Ini barulah dikatakan berprinsip jitu.
Syed Saddiq tidak perlu mengatakan orang lain jahat untuk menyatakan dirinya baik.
Jika prinsip menjadi ukuran, maka prinsip beliau pasti lebih baik lagi.
Jadi ini masanya untuk membuktikan kononnya parti Muda membawa idealisme serta politik baharu dalam negara.
Pesanan saya kepada Muda dan saudara Syed Saddiq, jangan jadi ibarat “bintang di langit boleh dibilang, tetapi arang di muka tidak sedar”.
ABSHAR NURASYRAF ketua penerangan Angkatan Muda Keadilan Pulau Pinang.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.