https://critoxium.com/shop/

Terkini

Pengiktirafan UEC dan seluar pendek


Pembocoran laporan dalaman PKR, Analisis Strategik PRU16 sungguhpun dikatakan boleh melemahkan semangat anggota parti sebelum merempuh medan perang, tetapi sekurang-kurangnya memperlihatkan pimpinannya berpijak pada bumi dan tidak terbuai dalam khayalan.

Hakikatnya, analisis tersebut tidak jauh berbeza daripada jangkaan umum, yang boleh disimpulkan dengan peribahasa “yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran”.

Secara kasar, PKR-Pakatan Harapan (PH) masih gagal menawan hati pengundi Melayu, pada masa yang sama sedang kehilangan sokongan pengundi bukan Melayu, yang menganggap dirinya dikhianati.

Memetik ungkapan popular dalam kalangan netizen Cina, “Dengan undi kami Anwar Ibrahim akhirnya diangkat menjadi Perdana Menteri, namun segala dasarnya digubal untuk memikat hati Melayu”.

Itupun belum lagi “Perdana Menteri Palestin”, dilabelkan sebagai sindiran bagaimana PMX memberi reaksi yang lebih pantas dalam isu Gaza berbanding isu yang berlaku di tanah air. Dan sudah tentu masyarakat bukan Melayu lebih terkesan jikalau isu tempatan yang tercetus itu melibatkan kaum atau agama dirinya.

Persepsi terhadap PMX berbeza

Sememangnya persepsi masyarakat Cina terhadap PMX jauh berbeza berbanding persepsi masyarakat Melayu terhadap PMX. Rata-rata masyarakat Melayu menganggap Kerajaan Madani didominasi DAP, dan PMX digambarkan seolah-olah terlebih bertolak ansur, sehingga gagal membela Melayu dan mempertahankan Islam.

Pada masa yang sama, masyarakat Cina pula menganggap haknya kian terhakis, dengan peratusan kemasukan pelajar Cina ke universiti awam yang semakin menjunam sebagai buktinya.

Malah, mereka mengadu kebebasannya kian terkongkong, dengan sekatan ke atas amalan gaya hidupnya, melalui kod etika pakaian, garis panduan konsert yang semakin ketat, sekatan arak dan judi, dan sebagainya.

Lantaklah jikapun ada ahli akademik yang berkongsi pengamatan bahawa “kebangkitan pelampau kanan (far-right) merupakan fenomena global”; atau pemimpin pendapat yang mengetengahkan naratif kononnya “Kerajaan Madani telah cuba sedaya upaya untuk mengimbangi keperluan kelompok yang berbeza, tatkala berdepan dengan badaian gelombang pelampau kanan tempatan”.

Realitinya, kebanyakan manusia hanya mendengar apa yang mahu didengarnya.

Kita sedia maklum, perbahasan di media sosial bukannya seminar ilmiah, yang menelusuri konteks sejarah, menyemak fakta, memberi gambaran menyeluruh dengan sebolehnya.

Sebaliknya, ia lebih merupakan gelanggang pertarungan propaganda, sarat dengan percubaan untuk membentuk persepsi berdasarkan fakta yang dimanipulasikan, disampaikan dengan nada yang yakin dan suara yang lantang, semata-mata untuk menumpaskan pandangan yang berbeza.

Justeru itu, sama ada teori akademik mahupun naratif propaganda yang memihak PMX, PH mahupun DAP, dengan mudah ia dipatahkan dengan mesej yang singkat dan kasar, “Dulu boleh bela babi, sekarang dah tak boleh dah!”.

Faham-fahamlah bagaimana hujah ini diperkembangkan kepada kebimbangan Cina sama ada babi boleh dimakan atau tidak pada masa depan, sebagaimana masyarakat muslim melanjutkan kegusaran dari penganjuran “Oktoberfest” (atau Rain Rave sekarang) hinggalah “parti seks bebas” pada masa depan.

Bacaan DAP terhadap masyarakat Melayu meleset

Barangkali sesetengah pemimpin atau penyokong Melayu PH akan memberi reaksi spontan, “Cubalah PN kalau tidak berpuas hati dengan PH.” Namun respons emosi sebegini tidak membawa Malaysia ke mana-mana, tanpa kita merungkaikan punca masalahnya.

Ketepikan bab reformasi atau pendemokrasian instistusi negara, misalnya pemansuhan akta draconian, pengasingan kuasa peguam negara dan pendakwa raya, had tempoh jawatan perdana menteri dan sebagainya buat sementara. Tulisan ini lebih tertumpu untuk menyentuh bab politik identiti yang mencungkil sentimen Cina.

Pemimpin DAP boleh dipersalahkan, andainya kita hanya mahu menuding jari. Kesilapan ini berasal daripada bacaan pemimpin DAP terhadap masyarakat Melayu yang meleset. Petik isu UEC (Sijil Peperiksaan Bersepadu), pemimpin DAP menganggap rintangan kepada pengiktirafan UEC selama ini adalah politikus yang rasis dan ektrem. Itu sebabnya DAP agak optimis untuk menjanjikan pengiktirafan UEC andainya PH menawan Putrajaya.

Di luar dugaan, bantahan mengombak dalam komuniti Melayu, sehingga pemimpin Melayu dalam PH pun teragak-agak ketika menyatakan pendirian.

Realitinya, kurang daripada 20% pelajar Cina merupakan lepasan UEC, dan kebanyakan pemegang UEC mengambil peperiksaan SPM pada masa yang sama.

Jikalau dinilai secara objektif, barangkali agenda ini bukan keutamaan paling terdesak buat komuniti Cina. Namun disebabkan DAP menggunakan isu ini untuk menyerang MCA sekian lama, ditambah pula kedahagaan komuniti Cina terhadap “pengiktirafan” di atas bumi ini, maka kebuntuan isu UEC menjadi senjata yang memakan tuan apabila DAP menggantikan MCA sebagai parti pemerintah dalam PRU14 pada 9 Mei 2018.

Kes kompaun seluar pendek

Bukan sahaja pemimpin DAP, tetapi majoriti komuniti Cina cenderung untuk mentafsir komuniti Melayu-Muslim secara mudah, misalnya mengklasifikasikan Melayu sebagai liberal atau konservatif; berfikiran terbuka atau terbawa-bawa dengan fahaman sempit, tanpa menghalusi spektrum ideologi yang berlapis-lapis.

Komuniti Melayu mungkin tidak perasan bahawa antara hujah DAP ketika berdepan dengan pengundi Cina dalam PRN6 pada Ogos 2023 adalah “hak pemakaian seluar pendek”.

Hujah “anti rasuah” yang dijaja ketika PRU15 terpaksa disorok, setelah DAP membentuk kerajaan persekutuan bersama UMNO di bawah satu bumbung pada November 2022.

Justeru itu, kes kompaun ke atas seorang wanita bukan Islam lantaran pemakaian seluar pendek di tempat awam Kelantan diperah sehabis-habisnya untuk mengerah undi Cina.

“Gelombang Hijau” pada asalnya merujuk kepada dasar PAS, tetapi apabila dasar Islamisasi datang daripada Kerajaan Madani, maka PMX dituduh “lebih hijau daripada PAS”.

Pemimpin atau penyokong PH yang bertanggapan bahawa “komuniti Cina terpaksa mengundi PH kerana PAS”, tidak harus terlepas pandang perkembangan selepas PRN6.

Pada asalnya, PMX disifatkan sebagai pemimpin yang menjadi benteng kepada Gelombang Hijau, namun apabila tercetusnya kontroversi “Minggu Solidariti Palestin”, pengenalan “Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi”, peruntukan RM200 juta ke Gaza dan sebagainya, imej Anwar ketika memimpin Abim (Angkatan Belia Islam Malaysia) kembali di depan mata masyarakat non-muslim.

Tidak ramai non-muslim yang mentafsir inisiatif-inisiatif tersebut sebagai usaha Kerajaan Madani di bawah pimpinan PMX untuk melunturkan unsur fanatik dalam kalangan sesetengah muslim yang agresif.

Lebih-lebih lagi, apabila tularnya rakaman penggunaan “replika senjata” di sekolah, terus disimpulkan bahawa PMX sedang menyuburkan ektremisme dalam institusi pendidikan.

Kesenjangan pemahaman antara komuniti berbeza

Kesimpulannya, kesenjangan pemahaman antara komuniti yang berbeza, bukan sahaja meletakkan PMX dalam dilema, malah PH di hujung tanduk. Perdana Menteri boleh datang dan pergi, kerajaan boleh naik dan tumbang, cuma siapa yang menemukan perbezaan di titik pertengahan? Siapa pula yang akan menjahit semula hubungan masyarakat yang dirobekkan?

“Tak kenal, maka tak cinta” adalah kalimat romantik, sebelum bertembung dengan realiti yang menyaksikan “tak cinta sebab dah kenal”. Malangnya, kita mengenali antara satu sama lain melalui suapan maklumat media sosial yang berdasarkan perhitungan algoritma. Sama ada algoritma “mengesahkan” prejudis kita, atau kita diperdayakan khayalan fantasi diri kita.

Kekurangan pengamatan yang lebih bernuansa, halus, terperinci terhadap komuniti lain, menjadi cabaran masyarakat Malaysia. Situasi dikeruhkan pempengaruh yang memperbesar-besarkan sebahagian fakta, tanpa mengikut nisbah sebenarnya, demi “like” dan “share”. Ia berlaku di merata-rata tanpa mengira kaum dan agama, menyumbat semula orang lain ke dalam bingkai stereotaip sedia ada.

Akhirnya, sebarang perubahan digagalkan dengan asakan kiri dan kanan. Dan ia bukan lagi soal “yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran” oleh PKR-PH sendiri, sebaliknya apa yang mahu dikejar bersama rakyat Malaysia sebenarnya?

LIM HONG SIANG merupakan bekas wartawan.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.