https://critoxium.com/shop/

Terkini

PH patut dengar suara akar umbi dari awal


Beberapa hari ini kecoh berkenaan tindakan anggota parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan sehinggakan pemimpin Pakatan Harapan (PH) meminta dia mengosongkan kerusi tersebut.

Namun begitu, perkara begitu sukar dilakukan memandangkan Akta Antilompat Parti tidak terpakai dalam kes ini.

Terdapat budi bicara presiden parti dalam menentukan sokongannya kepada mana-mana blok (kerajaan atau pembangkang) kerana Muda bertanding menggunakan logo sendiri walaupun menggunakan jentera PH.

Saya pernah mengingatkan pemimpin PH berkenaan tindakan Muda yang sentiasa menjadi duri dalam daging semenjak parti itu ditubuhkan namun suara saya dibakulsampahkan dengan alasan saya tidak faham rentak politik.

Malah parti DAP dan Amanah yang begitu menyanjungi Muda juga turut mempertahankan Muda untuk bertanding di Puteri Wangsa walaupun kerusi itu sepatutnya milik PH.

Perkara ini boleh dielakkan sekiranya pimpinan pusat PH mendengar suara akar umbi, namun sebaliknya mereka menutup telinga apabila kami anggota parti melakukan protes ketika itu. Oleh itu, ini adalah pengajaran berguna buat pimpinan PH supaya mendengar pendapat pelbagai pihak termasuk kegusaran penyokong parti akar umbi mereka.

Apabila kejadian ini berlaku baru anda semua merasakan dikhianati oleh Muda sedangkan kami telah merasai pengkhianatan tersebut dengan tindakan Muda yang tidak menghormati electoral pact bersama PH apabila bertanding melawan PH berbanding pihak lawan.

Saya harap ini menjadi asbab utama kepada pemimpin utama PH supaya tidak memperlekehkan suara akar umbi.

Selain itu, saya juga harap tidak perlu lagi kita memanjangkan isu ini dengan meminta Muda mengosongkan kerusi seolah-olah ini satu pengkhianatan sedangkan pada awalnya Majlis Presiden PH membenarkan kerusi tersebut ditandingi mereka.

Apa yang anda perlu lakukan adalah menumpukan gerak kerja sebagai kerajaan dan jangan jadi kerajaan kuku besi seperti sebelum ini.

YUSLAINI AZMI ialah seorang aktivis politik.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.