Umno 'sekolahkan' Hadi: Takkan presiden PAS lebih arif tentang Umno
Sebarang usaha menggagalkan perpaduan Umno dengan mendakwa pandangan dan pendirian presiden mereka, Ahmad Zahid Hamidi, tidak mewakili parti akan gagal, kata Shahril Hamdan.
Ketua Penerangan Umno itu juga berkata jika Umno membuat sesuatu keputusan, ia dicapai melalui persefahaman dalam kalangan pemimpin parti, sama ada di peringkat lima pemimpin teratas atau majlis kerja tertinggi.
"Yang boleh bercakap untuk Umno tentulah pemimpin Umno, bukannya PAS.
"Jadi Presiden Umno-lah yang boleh bercakap bagi pihak Umno. Takkan Presiden PAS pula lebih arif hal Umno dan mengajar ahli Umno," katanya dalam kenyataan hari ini.
Penegasan Shahril itu dibuat bagi menjawab dakwaan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, yang mendakwa mereka terus mengadakan rundingan dengan Umno tanpa membabitkan Ahmad Zahid.
Abdul Hadi membuat dakwaan itu di Muktamar PAS ke-68 yang sedang berlangsung di Kota Sarang Semut, Alor Setar hari ini. Ia dibuat ahli parlimen Marang itu ketika Umno secara rasmi sudah menyatakan berkali-kali bahawa BN akan bergerak secara solo dalam PRU akan datang.
Menurut Abdul Hadi, Umno bukan hanya memiliki presiden tetapi juga mempunyai naib-naib presiden, majlis kerja tertinggi, dan bahagian-bahagian di seluruh negara.
Menurut Shahril Umno selama ini tidak pernah mencari musuh, namun dalam keadaan begitu mereka seakan-akan dimusuhi termasuk oleh individu-individu tertentu dalam PAS.
Usaha berbaik-baik dengan PAS, katanya, dilakukan sejak perhimpunan agung mereka pada 2020 tetapi apabila pilihan raya negeri (PRN) berlangsung di Melaka, parti terbabit memilih untuk menentang Umno.
Elak dampingi ‘pengkhianat’
Sementara itu, ahli MKT Umno Isham Jalil meminta Abdul Hadi untuk tidak menghina Ahmad Zahid kerana setidak-tidaknya ahli parlimen Bagan Datuk itu dilantik mengetuai Umno hasil pemilihan parti.
Dalam keadaan begitu, kata Isham, Ahmad Zahid sudah mendapat mandat daripada ahli Umno untuk bersuara dan membuat keputusan parti.
Apabila Ahmad Zahid dihina, katanya, ia bermakna seluruh ahli parti yang membuat pilihan tersebut juga dihina Abdul Hadi.
"Kamu (Abdul Hadi) pula menang tanpa bertanding. Entah dapat mandat ataupun tidak, wallahualam," katanya.
Kata Isham lagi, Abdul Hadi perlu faham bahawa amalan menghina orang lain termasuk dengan gelaran atau menggunakan bidalan binatang tidak diterima dalam ajaran Islam.
Sebagai seorang ulama, katanya, Abdul Hadi sepatutnya sedar akan larangan itu.
"Kalau Ahmad Zahid tidak boleh cakap mewakili Umno, kamu mahu siapa yang boleh cakap mewakili Umno?
"Kalau ikut logik tuan guru ini, kamu pun tidak boleh cakap mewakili PAS.
"Usahlah berdamping dengan pengkhianat dan kembalilah ke jalan yang lurus," tambahnya.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.