Saya memang ‘tahi politik’ – Adam Adli
DARI jalanan, digantung pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) selama lima tahun sebelum dibatalkan, kemudian dijatuhi hukuman penjara oleh mahkamah kerana mengeluarkan ucapan berbaur hasutan, itu antara liku-liku dilalui ADAM ADLI ABD. HALIM. Beliau akhirnya dipilih sebagai Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) dalam pemilihan PKR tahun ini. Bersama wartawan Utusan Malaysia, MOHAMAD ATHIR ISMAIL dan ASLINDA NASIR serta jurugambar AFIQ RAZALI, Adam Adli berkongsi pendirian politiknya.
WARTAWAN: Saudara dianggap ‘tahi politik’. Setuju dengan gelaran itu?
ADAM ADLI: Saya memang ‘tahi politik’. Daripada tulisan-tulisan saya
sejak dahulu, saya panggil kita semua ini ‘tahi politik’. Kita adalah
orang yang mengikuti politik, terlibat dalam politik. Macam ada orang
‘tahi motor’, ‘tahi kereta’.
Bagi saya, biarlah jadi objektif. Duduk dalam gerakan pelajar, saya tetap menjadi objektif. Saya ada kecenderungan, seorang pengundi, pengkritik politik, mengikuti gerakan politik. Tapi saya tidak cemarkan pergerakan mahasiswa dengan kecenderungan politik saya. Saya rasa itu tidak adil, saya ada kesedaran tersebut.
Gerakan mahasiswa ketika zaman saya tersekat dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Jadi, kalau ada mana-mana mahasiswa yang berani untuk terlibat dalam politik, mengikut parti politik ataupun tidak, itu dianggap sebagai satu keberanian.
Semua orang ada hak untuk menyertai parti politik. Sudah tentu, tak dinafikan gerakan mahasiswa sebaiknya biar bebas, ada platform sendiri. Sebab itu diperjuangkan kesatuan mahasiswa yang diharamkan AUKU.
Tetapi, dalam keadaan yang mana platform sepatutnya boleh digunakan oleh mahasiswa itu tiada, jadi sebab itu ramai yang akhirnya memilih untuk bersama dengan parti politik.
Kalau ada lagi anak muda yang bertindak seperti saudara, bagaimana?
Teruskan, muda hanya sekali. Kena ada soul searching. Perkara
itu memang menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup. Umur 16 hingga
21 tahun, orang panggil zaman mencari identiti, banyak persoalan, banyak
perkara tak puas hati.
Dia melihat dunia di sekelilingnya, kenapa macam ini, apa ada untuk aku? Itu zaman memberontak. Kalau itu jalan untuk dia cari dirinya, itu jalan yang saya lalui dalam mencari diri sendiri.
Macam mana boleh jadi ahli PKR?
Saya sertai PKR sebanyak dua kali. Kali pertama pada 2010 tetapi tidak
diluluskan, tiada alasan. Waktu itu yang meluluskan untuk menjadi ahli
adalah ketua cabang, ketika itu adalah pemilihan. Tetapi, yalah, NFA
(tiada tindakan lanjut). Borang sampai tetapi NFA.
Waktu saya sertai secara rasmi yang membawa kepada hari ini adalah pada 2021. Saya daftar dengan borang lain pada 16 September 2021. Saya belum cukup setahun lagi secara rasmi dalam parti.
Tapi diangkat jadi Ketua AMK?
Ya, itu cabarannya, banyak cabarannya untuk sampai sini. Tetapi itulah
yang berlaku. Sebelum itu memang ada kawan-kawan dalam parti pun
terkejut. Itu perjalanan yang membawa saya kepada hari ini.
Pertama, dorongan kawan-kawan. Kedua, mungkin ada sedikit rasa macam you have to earn something. Kalau duduk dalam parti politik, orang akan tanya, apa yang kamu sudah buat? Apa bentuk kebaikan yang kamu hendak bawa?
Kalau dalam keadaan dirasakan perlu ada sedikit perubahan dan penambahbaikan, bagaimana you hendak buat perkara itu. You perlu memainkan peranan cukup besar untuk bawa akar umbi.
Tetapi rakan-rakan yang banyak buat kerja merasakan bahawa ada baik untuk saya bertanding sebagai Ketua AMK dan memberi sokongan. Saya cakap juga, saya baharu dalam selok-belok parti walaupun saya kenal parti.
Kenapa PKR?
Bagi saya, PKR adalah parti yang memberi ruang kepada semua orang. Tidak ada prejudis, pilih bulu dan sebagainya.
Setiap orang diberi ruang, rebutlah. Kerana sebagai sebuah parti yang bukan berasaskan…yalah pembangkang yang perjuangkan reformasi, saya yang hendak ke hadapan, harus jadi orang berani berkorban, menongkah harus.
Saudara anggap jawatan Ketua AMK sebagai rezeki, peluang atau sebaliknya?
Cabaran, amanah, tanggungjawab. Hari pertama saya tahu menang, saya
fikir, “Apalah yang aku buat ini? Kenapalah cari masalah?” Tetapi saya
tahu ada kesedaran bahawa kalau kita rasa yakin boleh pimpin, cubalah.
Cabar diri, berusaha. Alhamdulillah, diterima.
Orang anggap Adam Adli budak Anwar (Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim). Komen?
Biasalah, ‘tahi politik’. Tetapi tak ada apalah. Budak Anwar ke, siapa
ke, orang keliling biasalah cucuk-cucuk, kadang-kadang nampak macam
tegang. Bukan saya seorang. Kalau hendak bawa pendekatan tak mahu
lebarkan lagi jurang dan sebagainya, bagi saya begitulah.
AMK sebelum ini dikatakan sendu, tidak aktif. Jadi, apa yang saudara akan buat bila jadi Ketua AMK?
Itu pandangan orang tetapi untuk berlaku adil, kita kena sedar AMK
sebelum dipimpin saya berhadapan dengan situasi amat getir. Langkah
Sheraton, perpecahan, kehilangan anggota parti, cabang terbubar, bukan
mudah untuk lalui kegetiran sedemikian.
PKR sedia ke arah satu revolusi parti yang baharu, tidak lagi seperti dahulu sejak Rafizi Ramli jadi Timbalan Presiden?
Saya percaya, hala tuju parti adalah dinamik. Tujuannya sama, prinsipnya
juga kekal sama. Saya tak nampak prinsip masing-masing bercanggah. Tak
ada percanggahan dari segi prinsip, cuma cara dizahirkan dan pendekatan,
itu sahaja.
Saya yakin, masing-masing dalam mood pemilihan, sedikit sebanyak masih belum orang kata luka-luka tempur masih berdarah, satu dua luka mungkin jadi parut. Bagi saya akan ambil sedikit masa, yang kita sedar inilah bahtera, tanggungjawab yang kita ada.
Biasalah, mungkin orang nampak parti ini bising sikit, orang nampak itu kem sana, orang ini kem sini. Kali terakhir parti ini perpecahannya sampai ke tahap hampir menenggelamkan parti adalah Langkah Sheraton.
Tetapi, selepas itu banyak usaha dilakukan untuk memastikan parti ini kembali bangun dan usaha itu membuahkan hasil walaupun perit prosesnya. Sedikit sebanyak pada kali ini (Kongres PKR), tengoklah keadaannya, ada kebersamaan yang kita impikan.
Selepas ini saudara akan pastikan AMK seagresif Adam Adli?
Saya kena pastikan, saya seagresif AMK.
Siapa ‘Anwar Ibrahim’ selepas ini?
Susahlah. Anwar, susah hendak jumpa tokoh macam beliau. Akhirnya, tak
perlulah jadi Anwar Ibrahim, jadilah diri kita. Saya tak nampak ada,
dari dahulu lagi saya tengok sesiapa yang cuba hendak jadi Anwar
Ibrahim, tak jadi. Jadi diri sendiri, baru berjaya.
Prinsip tidak akan berubah, idealisme kekal sama. Yang berubah adalah pendekatan, pembawakan dan itu adalah perkara biasa dalam politik dan tak perlu runsing. – UTUSAN
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.