Erti kemuliaan di sisi Allah
Oleh Prof Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi
M anusia adalah antara makhluk Allah yang mendapat keistimewaan dan kedudukan paling mulia di sisi Allah taala di alam ini. Allah tegaskan hal ini dalam surah al Isra' ayat 70 yang bermaksud: Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka daripada benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.
Sehubungan itu, Ahmad Sonhadji Mohamad dalam buku tafsirnya Abrul Athir menafsirkan ayat tersebut bahawa Allah menjelaskan tentang kemuliaan yang dikurniakan kepada manusia iaitu seperti kata Ibnu Abbas: Mereka makan menggunakan tangan sedangkan makhluk lain makan dengan mulut yang dihadapkan ke tanah ataupun manusia itu dimuliakan dengan sebab mereka dibekalkan akal, diberikan kebolehan bertutur kata, tahu memilih baik dan buruk, tahu menulis dan melukis, seterusnya dikurniakan kefahaman.
Di samping itu, kemuliaan itu mungkin bersandarkan wajah cantik dan bentuk tubuh yang tegap atau kerana manusia dapat menguasai apa yang ada di muka bumi dan menggunakannya untuk maslahah hidup manusia itu sendiri atau dengan dikurniakan kepandaian dan kebijaksanaan untuk mentadbir dengan baik.
Tambah Ustaz Ahmad Sonhadji lagi, Allah taala kurniakan kepada mereka bermacam-macam kenderaan yang boleh mengangkut mereka di darat, di laut dan di udara seperti unta, kuda, keldai dan lain-lain lagi daripada jenis binatang. Juga daripada berjenis-jenis kenderaan yang berjentera seperti kereta, kapal laut dan kapal terbang. Makanan dan minuman yang lazat sama ada daripada tumbuh-tumbuhan dan haiwan. Di antara yang baik lagi sedap rasanya ialah yang sudah dimasak dan ditambah lagi dengan pelbagai ramuan rempah pula atau yang sudah masak ranum dengan izin Allah di pokoknya boleh dimakan begitu sahaja.
Jelas daripada mafhum ayat di atas bahawa di permulaan ayat ini, Allah menyebut tentang kemuliaan dan di akhir ayat pula tentang kelebihan yang dikurniakan kepada manusia. Ringkasnya, maksud kemuliaan manusia ialah Allah menjadikan manusia lebih mulia daripada haiwan kerana diberi akal, boleh bertutur kata, pandai menulis dan melukis serta bagus pula rupa dan bentuk tubuh badannya. Dan maksud kelebihan pula ialah Allah menjadikan manusia berkelebihan kerana dengan akal dan kefahamannya, dapatlah dia memperbaiki kepercayaan atau iktikadnya dengan betul serta memperbaiki budi pekertinya menjadi mulia. Natijahnya, dia akan berada di atas landasan lurus dengan naungan hidayah dan taufik Ilahi.
Demikianlah kemuliaan dan kelebihan yang Allah kurniakan kepada manusia sehingga mengangkat mereka sebagai makhluk paling mulia di sisi-Nya dan seterusnya diamanahkan mentadbir alam semesta ini sekali gus sebagai hamba Allah yang menjunjung segala titah perintah-Nya. Namun, timbul persoalan apakah setiap manusia dapat menjaga kemuliaanya itu sehingga tidak terjebak dalam kancah kehinaan yang terlarang. Ini kerana jika manusia tidak menjaga dan memelihara kemuliaan yang dianugerahkan Allah taala, sudah pasti darjat manusia akan jatuh menjunam ke darjat paling rendah, bahkan lebih rendah daripada haiwan.
Dalam hal ini, Allah berfirman yang bermaksud: Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak daripada jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat). Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai. (Surah al A'raf, ayat 179)
Justeru, untuk memelihara kemuliaannya di pentas kehidupan ini, manusia perlu menginsafi hakikat kejadian dirinya dan matlamat hidupnya yang sebenar. Dari sini, barulah manusia menginsafi apakah yang sewajibnya dilakukan sewaktu menelusuri pentas hidup di alam maya ini. Berdasarkan mafhum ayat 179 daripada surah al A'raf, dapatlah disimpulkan bahawa kemuliaan manusia boleh dicapai dengan syarat manusia ikut peraturan hidup yang ditetapkan Allah taala dan begitulah juga sebaliknya. Oleh sebab itulah, Allah taala telah mewartakan secara rasmi bahawa Islam sebagai pedoman hidup manusia sejagat. Islam telah mengatur hubungan manusia dengan Tuhannya dan hubungan antara sesama manusia. Peraturan yang tercipta ini sekiranya dipatuhi dan diikuti sekalian manusia, sudah pasti keharmoniaan dan kesejahteraan akan mewarnai alam dan pentas kehidupan ini.
Secara umum, kemuliaan dan kesempurnaan manusia dapat diperolehi apabila manusia memberikan perhatian serius kepada tiga aspek iaitu jasmaniah atau fizikal, spiritual atau kejiwaan dan hubungan luaran (external).
Ciri kemuliaan pertama iaitu aspek jasmaniah atau fizikal membawa maksud bahawa kemuliaan manusia yang sebenarnya sehingga darjatnya lebih tinggi berbanding makhluk lain ialah terletak pada aspek fizikalnya antara lain bentuk kejadiannya yang bagus seperti rupa wajahnya, bentuk badannya, pancaindera yang sempurna dan sebagainya. Begitu juga, kesihatan yang baik di samping umur yang panjang dapat menjamin kelangsungan hidup manusia sehingga dapat menempa kemuliaan yang dijanjikan Allah taala tersebut.
Dalam konteks ini, Allah taala memerintahkan manusia agar memelihara kesihatan, menjaga makanan dan minuman yang halal lagi bersih, menjaga kebersihan diri dan alam sekitarnya agar tidak dijangkiti penyakit berbahaya, sentiasa bersuci daripada kekotoran, melakukan riadah yang boleh memberikan kecergasan tubuh dan sebagainya. Dalam masa sama, manusia diberi peringatan oleh Allah supaya tidak melakukan larangan Allah dan apa-apa juga amalan yang bercanggah dengan syarak dan nilai-nilai hidup yang murni.
Manakala ciri kemuliaan kedua ialah aspek spiritual atau kejiwaan. Aspek kejiwaan manusia akan menjadi mulia dan sempurna apabila ia didasari keharmonian empat faktor utama yang bertakhta di jiwa manusia iaitu iman, ilmu, amal dan akhlak. Bila ketiga-tiga faktor tersebut menghiasi jiwa seseorang dan kemudiannya mewarnai perhiasan peribadinya dalam realiti hidup, bermakna dia telah mencapai kemuliaan dalam hidupnya.
Rasulullah SAW bersabda maksudnya: Bukanlah kaya itu kerana banyaknya harta, sebaliknya kekayaan yang sebenarnya itu ialah kaya hati. (Riwayat Bukhari & Muslim). Jelas daripada mafhum hadis tersebut bahawa kemuliaan seseorang bukan dinilai dari segi harta, kedudukan, pangkat atau sebagainya, sebaliknya kemuliaan dalam hidup diukur melalui hatinya yang mengharum mekar dengan iman, ilmu, amal dan akhlak .
Dengan iman yang bertapak kukuh dalam jiwa, seseorang akan patuh dan tunduk dengan penuh tulus dan kudus dalam melaksanakan segala perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya. Dengan ini, barulah dia dapat mempertingkatkan dirinya sebagai hamba Allah yang bertakwa. Manakala ilmu pula bertindak sebagai penyuluh yang akan menyinari setiap detik dan langkah hidup manusia ke arah jalan yang benar dan lurus. Ilmu juga berfungsi sebagai neraca piawaian yang membezakan antara yang hak dan batil, yang benar dan yang palsu dan seterusnya memimpin manusia ke arah kebahagiaan sejati dan keredaan ilahi di akhirat kelak.
Akhirnya akhlak memainkan peranan sebagai penyeri peribadi manusia sejagat bagi mencipta keharmonian dan ketenteraman hidup yang menjadi dambaan seluruh umat manusia di samping merealiasikan agenda utama perutusan baginda Rasulullah SAW kepada sekalian alam sebagaimana sabdanya: Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak yang terpuji. (Riwayat Ahmad)
Ciri kemuliaan manusia ketiga ialah aspek hubungan luaran. Maksudnya ialah lingkungan persekitaran yang baik dan sesuai kepada aspek fizikal dan kejiwaan manusia dalam melangsungkan hidup dengan bahagia dan sejahtera. Persekitaran yang baik biasanya dihidupkan oleh kelompok keluarga terdiri daripada anak dan isteri, jiran tetangga dan masyarakat. Tanpa persekitaran yang baik, kemuliaan fizikal dan kejiwaan manusia tidak akan tercapai dan tidak ada maknanya terutamanya dalam menyumbang ke arah kepentingan dan maslahah ummah sejagat.
Inilah yang dianjurkan Allah kepada orang beriman yang dikasihi-Nya agar sentiasa memohon dikurniakan kemampuan atau kekuatan membangunkan keluarga bahagia dalam persekitaran yang harmoni.
Penulis Dekan Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Zainal Abidin (UniSZA)
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.