https://critoxium.com/shop/

Terkini

Ulasan netizen jahil Islam ganggu keutuhan masyarakat Madani


Oleh Dr Wan Zulkifli Wan Hassan -

 MEDIA sosial menjadi sebahagian keperluan dalam kehidupan seharian manusia, membolehkan komunikasi tanpa sempadan dan penyebaran maklumat pantas.

Namun, platform ini juga membuka ruang kepada netizen jahil dan tidak bertanggungjawab untuk menyebarkan maklumat salah atau pandangan mengelirukan mengenai pelbagai isu, termasuk agama Islam.

Fenomena ini bukan sahaja membahayakan keharmonian masyarakat, tetapi boleh menggugat pembentukan masyarakat madani sejahtera.

Antara isu mendapat perhatian meluas di media sosial yang turut diulas mereka tidak bertanggungjawab ialah penggunaan kalimah 'Allah' oleh bukan Islam.

Terdapat perbincangan di media sosial oleh netizen kurang memahami konteks dan sejarah penggunaan kalimah ini. Justeru, perbincangan tidak berasas ini menimbulkan ketegangan antara masyarakat Muslim dan bukan Islam di Malaysia.

Selain itu, mereka juga tanpa segan silu mengeluarkan kritikan terhadap fatwa ulama atau mufti secara terbuka di media sosial. Fatwa dikeluarkan mufti atau ulama sering menjadi sasaran kritikan netizen tidak mempunyai pengetahuan mendalam akidah dan syariah.

Contohnya, fatwa mengenai larangan sambutan Hari Valentine atau penggunaan rokok elektronik (vape). Kritikan tanpa asas ini boleh mengelirukan masyarakat dan menghakis ketokohan ulama.

Antara contoh lain adalah perbincangan mengenai aurat dan pakaian wanita Islam sering menjadi topik hangat di media sosial. Netizen tidak berpengetahuan mendalam mengenai syariat sering memberikan pendapat tidak berasas atau ekstrem, boleh mencetuskan perdebatan hangat dan perpecahan kalangan umat Islam.

Apa yang lebih parah lagi ada netizen menggunakan hadis palsu atau tidak sahih untuk menyokong pandangan mereka mengenai isu agama. Penyebaran hadis tidak sahih boleh membawa kepada pemahaman salah ajaran Islam dan menjejaskan amalan keagamaan umat Islam.

Kejahilan isu toleransi antara agama juga agak serius. Hal ini kerana ada sebahagian netizen tidak memahami prinsip akidah dan syariat sering kali membuat kenyataan mengelirukan mengenai toleransi antara agama.

Contohnya, kenyataan semua agama adalah sama atau tidak perlu mengikuti syariat Islam dalam kehidupan seharian. Kenyataan seperti ini boleh menimbulkan kekeliruan dan menghakis identiti keagamaan umat Islam, tidak selari dengan nilai masyarakat madani sebenarnya.

Keadaan seumpama ini amat bahaya kerana ia menyebabkan berlakunya penyebaran maklumat salah dan boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan orang awam dan merosakkan imej Islam.

Apabila maklumat salah atau tidak tepat disebarkan, ia boleh menyebabkan penurunan kepercayaan terhadap pihak arif dalam bidang agama. Orang ramai mungkin sukar membezakan maklumat sahih dan tidak, mengakibatkan hilangnya kepercayaan terhadap ulama dan institusi agama negara.

Ia juga boleh menimbulkan provokasi dan kebencian akibat pandangan ekstrem atau provokatif mengenai agama Islam, sekali gus boleh mencetuskan perasaan marah dan benci antara pelbagai kaum serta agama.

Ini boleh menyebabkan konflik dan perpecahan dalam masyarakat serta memberi peluang dan ruang kepada netizen tidak bertanggungjawab menyebarkan fitnah atau hasutan terhadap individu atau kumpulan tertentu atas dasar agama.

Tindakan ini boleh merosakkan reputasi dan menimbulkan ketegangan sosial. Kebebasan mengeluarkan pandangan tanpa ilmu dan batasan akan membawa kepada penyebaran ideologi ekstrem melalui media sosial dan boleh menarik golongan muda yang mudah terpengaruh serta tidak mempunyai pemahaman mendalam mengenai Islam.

Ia juga boleh membawa kepada radikalisasi dan tindakan ekstremis membahayakan keselamatan negara. Kesan daripada sikap sedemikian, akan mengakibatkan pembentukan masyarakat madani terjejas.

Pergiatkan dialog antara agama

Perbincangan tidak bertanggungjawab mengenai agama Islam boleh menyebabkan berlaku perpecahan dalam kalangan masyarakat sehingga menimbulkan ketegangan antara kaum dan agama, merosakkan integrasi sosial serta mewujudkan suasana tidak harmoni dalam masyarakat.

Penyebaran maklumat salah dan fitnah boleh menghakis kepercayaan rakyat terhadap media sosial sebagai sumber maklumat boleh dipercayai. Ini boleh mengakibatkan masyarakat menjadi lebih skeptikal dan sukar mempercayai maklumat sahih.

Selain itu, ia mengakibatkan berlakunya penghakisan nilai masyarakat madani seperti toleransi, hormat-menghormati dan perpaduan. Netizen jahil menyebarkan kebencian dan perpecahan boleh menghakis nilai ini, menghalang pembangunan masyarakat inklusif dan harmoni.

Dalam pada itu, ketegangan sosial berpunca daripada perbincangan agama tidak bertanggungjawab boleh membawa kepada ketidakstabilan politik. Pemerintah mungkin menghadapi kesukaran menguruskan konflik masyarakat yang timbul, mengganggu proses pembangunan negara.

Justeru, semua pihak terutama berwajib perlu mengambil langkah sewajarnya untuk mengatasi permasalahan ini, antaranya pendidikan media. Pendidikan mengenai penggunaan media sosial bijak dan bertanggungjawab perlu dipertingkatkan, termasuk mendidik pengguna pentingnya mengesahkan maklumat sebelum berkongsi dan kesan buruk menyebarkan maklumat salah.

Ia selari seruan Allah SWT menerusi firman-Nya bermaksud: "Wahai orang beriman. Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidiki (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini akibat kejahilan kamu (mengenainya) sehingga kamu menyesal apa kamu lakukan". (Surah al-Hujurat, ayat 6)

Selain itu penguatkuasaan undang-undang terhadap penyebaran fitnah dan hasutan di media sosial perlu diperketatkan. Tindakan tegas perlu diambil terhadap individu menyalahgunakan platform ini untuk menyebarkan kebatilan dan kebencian.

Sementara itu, dialog antara agama dan usaha mempromosikan kefahaman lebih mendalam mengenai agama Islam perlu dipergiatkan. Ini dapat membantu mengurangkan salah faham dan meningkatkan toleransi antara pelbagai kumpulan masyarakat.

Institusi keagamaan juga perlu memainkan peranan aktif memberikan penjelasan tepat mengenai isu agama dibincangkan di media sosial bagi membendung penyebaran maklumat salah dan mengelakkan kekeliruan.

Oleh itu, fenomena netizen jahil mengulas isu agama Islam secara tidak bertanggungjawab di media sosial adalah ancaman serius terhadap keharmonian dan pembentukan masyarakat madani.

Usaha bersepadu daripada semua pihak, termasuk kerajaan, institusi keagamaan dan masyarakat sangat diperlukan untuk mengatasi isu ini serta memastikan media sosial digunakan sebagai alat mempromosikan maklumat tepat, kefahaman sahih, toleransi dan perpaduan masyarakat.

Penulis adalah Felo Bersekutu Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.