https://critoxium.com/shop/

Terkini

Zionis lumpuh di darat Gaza, ditekan dari Lubnan serta antarabangsa


Oleh Megat Aiman Hakim Megat Shariffudin

ISRAEL sering mendakwa semakin hampir dengan kemenangan di Gaza seperti dinyatakan sendiri Perdana Menterinya, Benjamin Netanyahu beberapa kali dalam ucapannya. Namun, data lapangan di Gaza menunjukkan sesuatu cukup berbeza.

Selepas lebih 10 bulan Gaza dibom begitu teruk oleh tentera rejim Zionis, pada 3 September 2024, media Israel, Saluran 13 mendedahkan Hamas berjaya mengembalikan kekuatannya dan merekrut 3,000 pejuang baharu di utara Gaza.

Kita sudah maklum bagaimana beberapa kawasan di utara Gaza diceroboh banyak kali oleh rejim Zionis dengan menggunakan pasukan darat selepas mengebom kawasan disasarkan seteruk-teruknya.

Hal ini disokong laporan CNN dan American Enterprise Institute's Critical Threat Project (CTP), pada awal Ogos yang mendedahkan separuh kekuatan pejuang Hamas di utara dan tengah Gaza semakin bertambah.

Kekuatan dimaksudkan di sini ialah pertambahan jumlah pejuang dan kejayaan operasi ketenteraan Hamas menahan kemaraan pencerobohan serta membebaskan tawanan rejim Zionis.

Lanjutan itu, New York Times beberapa hari lalu melaporkan kenyataan bekas tentera Israel, Gadi Shamni bahawa Hamas memenangi perang itu. Shamni menegaskan tentera Israel mungkin peroleh kemenangan kecil di Gaza, tetapi Hamas berjaya menguasai semula kawasan diceroboh tentera Zionis hanya selepas 15 minit sahaja mereka beredar.

Diserang dari Yaman, selatan Lubnan

Tidak cukup rejim Zionis mengalami kekalahan ketenteraan dan strategi daripada pejuang Gaza, entiti ini juga diserang secara langsung dari Yaman dan selatan Lubnan.

Pada 16 September lalu, tentera Houthi dari Yaman menyerang Tel Aviv dengan roket balistik hipersonik menyebabkan seorang warga Israel terbunuh dan sembilan lagi cedera.

Pada hari sama juga, Hizbullah dari selatan Lubnan menyerang utara Israel dengan sekitar 40 roket dan beberapa dron. Tiada kematian dilaporkan, tetapi kerosakan infrastruktur berlaku di kawasan sasaran.

Rejim Zionis melancarkan serangan balas kepada Hizbullah di selatan Lubnan selama dua hari berturut-turut. Selain serangan roket ke Beirut, serangan dilancarkan dengan mengaktifkan bahan letupan tertanam dalam ratusan alat komunikasi alat kelui (pager) dimiliki orang awam dan anggota Hizbullah.

Setakat dilaporkan, 12 orang terbunuh dan 2,750 lagi tercedera. Ia bentuk serangan baharu terhadap ramai mangsa menggunakan keupayaan teknologi tinggi yang belum pernah berlaku dalam sejarah.

Gelombang kedua pula berlaku apabila letupan walkie-talkie membunuh sekurang-kurang 20 mangsa dan mencederakan lebih 450 lagi.

Ada penganalisis berpendapat bahan letupan ditanam dalam peranti alat kelui sebelum dihantar ke Lubnan. Ekoran itu, presiden dan pengasas syarikat Taiwan yang dikaitkan dengan letupan beribu-ribu alat kelui itu disiasat pendakwa negara berkenaan, tetapi dibebaskan kerana peranti itu dibuat syarikat lain berpangkalan di Budapest, diberi lesen untuk menggunakan jenamanya.

Ekoran itu, suhu antara rejim Zionis dengan Hizbullah semakin hangat. Hizbullah menyerang kembali dengan roket dan dron di utara Israel hingga menyebabkan sekurang-kurangnya dua tentera Israel terbunuh dan beberapa belas cedera.

Umum fasa baharu perangi Hizbullah

Kerajaan Israel juga mengumumkan fasa baharu memerangi Hizbullah di selatan Lubnan. Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant memberitahu pusat graviti berpindah ke utara, sekali gus memerlukan mereka memperuntukkan anggota, sumber dan tenaga. Aljazeera turut melaporkan Zionis memindahkan 10,000 hingga 20,000 anggota tentera ke utara Israel.

Sekiranya benar Zionis memberikan tumpuan memerangi Hizbullah di Lubnan, ini memberikan peluang meringankan tahap serangan ke atas Gaza, seterusnya membuka ruang untuk penduduk Gaza kembali ke kehidupan normal.

Dari segi ketenteraan pula, rejim Zionis tiada peluang untuk menang. Meskipun mereka mengerahkan 500,000 tentera di Gaza yang terkepung selama 17 tahun dan mengebom hampir seluruh bandar dengan menggunakan dua pertiga jumlah aset, namun rejim itu masih tidak berani mengumumkan kejayaan mereka.

Sekiranya di Gaza pun tidak berani, mustahil rejim Zionis boleh menang di selatan Lubnan.

Israel bukan sahaja tercabar dari aspek ketenteraan, bahkan resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) supaya Israel mematuhi undang-undang antarabangsa, menarik balik pasukan tenteranya, menghentikan aktiviti penempatan baharu serta-merta, memindahkan semua peneroka haram dan merobohkan tembok pemisah di Tebing Barat mencatatkan sokongan 124 dari negara berbanding 43 negara berkecuali dan 14 negara menolaknya.

Jumlah 124 negara menyokong itu sudah cukup menunjukkan jumlah majoriti dunia menyokong Palestin, sekali gus memberikan tekanan besar ke atas Zionis. Resolusi ini bukan hanya berkenaan Gaza sahaja, bahkan berkaitan seluruh Palestin yang berlangsung lebih 75 tahun.

Sekiranya Zionis masih berdegil untuk menafikan resolusi ini, ia membiarkan diri terus diboikot dan ditekan daripada seluruh penduduk dunia sama ada Islam atau bukan Islam. Ini memberi kesan kepada sokongan politik antarabangsa, ekonomi, pendidikan dan sosial.

Hakikatnya, data diberi ini bukanlah kosong, tetapi ia petunjuk membuktikan rejim Zionis semakin lumpuh dan lemah dari pelbagai sudut.

Penulis adalah Penyelidik Aqsa Syarif

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.