https://critoxium.com/shop/

Terkini

Feri Pasir Gudang-Changi mampu atasi kesesakan di Tambak Johor


Oleh Mohamed Ismail Pakir Mohamed -

TAMBAK Johor adalah laluan utama menghubungkan Singapura dengan Malaysia, sekali gus nadi penghubung penting sektor ekonomi dan pelancongan kedua-dua negara hingga tidak hairanlah ia antara lintasan sempadan darat paling sibuk di dunia.

Kesesakan lalu lintas ini hasil pergerakan kebanyakan rakyat Malaysia bekerja di Singapura menggunakan kereta, motosikal dan berjalan kaki, berulang alik melintasi Tambak Johor setiap hari. Paling ketara ialah waktu puncak, iaitu rakyat kita masuk ke Singapura pada jam 8 hingga 10 pagi dan petang kembali ke Johor Bahru jam 6 hingga 8 petang.

Kesesakan juga berlaku pada hujung minggu dan cuti umum di Singapura menyaksikan rakyat negara itu berpusu-pusu melintas sempadan untuk melancong dan membeli-belah di Johor. Kesannya, boleh menyebabkan kehilangan produktiviti, peningkatan pencemaran udara, stres kepada pengguna dan menjejaskan ekonomi kedua-dua pihak.

Kedudukan nilai mata wang Singapura lebih tinggi menarik minat ramai rakyat Malaysia bekerja di Singapura. Kebanyakan menggunakan motosikal, pengangkutan awam seperti bas dan kereta api, selain menggunakan kereta.

Ramai rakyat Singapura menggunakan kenderaan persendirian seperti kereta dan motosikal kerana memudahkan pergerakan di negara ini. Ada juga menggunakan kereta api dan bas. Namun, laluan terhad dan kekerapan perkhidmatan tidak menentu di Johor Baharu menyebabkan ia tidak menjadi pilihan utama warga Singapura.

Kedua-dua kerajaan mengambil inisiatif mengurangkan tekanan dan kesesakan di Tambak Johor dengan menyediakan laluan rentas sempadan alternatif, iaitu Link Kedua.

Kewujudan Link Kedua, jambatan menghubungkan Tanjung Kupang di Johor ke Tuas di Singapura, sepatutnya mengurangkan kesesakan di Tambak Johor, namun ia mengalami nasib sama, iaitu kesesakan pada waktu puncak sama.

Ada juga mencadangkan untuk membina Link Ketiga menghubungkan Punggol, Pasir Ris atau Changi di Singapura ke Pasir Gudang, selain cadangan pembinaan terowong bawah Selat Tebrau melalui laluan sama dengan syor laluan Link Ketiga. Namun ia hanya kekal sebagai cadangan sahaja.

Cadangan menjadi kenyataan adalah pembinaan infrastruktur baharu, Projek Rapid Transit System Link (RTS Link) menyediakan khidmat kereta api Transit Aliran Ringan (LRT) menjelang 2026 menghubungkan stesen RTS Bukit Chagar di Johor Bahru ke Stesen RTS Link di Woodlands North di Singapura.

RTS dijangka mengurangkan kesesakan pengguna pengangkutan awam, namun tidak menjamin pengurangan kesesakan kenderaan persendirian di Tambak Johor.

Permintaan rentas sempadan meningkat

Baru-baru ini, Malaysia dan Singapura mengumumkan pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) membabitkan enam daerah di Johor, iaitu Johor Baharu, Iskandar Puteri, Kulai, Pontian, Kota Tinggi dan Pasir Gudang. Permintaan merentas sempadan kedua-dua negara dijangka meningkat dengan pelaksanaan zon itu.

Keadaan kesesakan di Tambak Johor semakin kronik menuntut kedua-dua pihak meneroka laluan alternatif baharu. Laluan belum diterokai secara serius adalah laluan air.

Penggunaan laluan air menggunakan feri merentas Selat Tebrau, menjadi sempadan pemisah semula jadi antara Malaysia dan Singapura, boleh memberi penyelesaian kepada kemelut ini.

Ini kerana kesinambungan pengangkutan merentas sempadan berperanan penting dalam perniagaan antarabangsa kerana akan memudahkan urusan perniagaan, mesyuarat dan aktiviti komersial.

Oleh itu, mewujudkan perkhidmatan feri antara Terminal Feri Pasir Gudang dengan Terminal Feri Changi merentas Selat Tebrau menjadi alternatif wajar dipertimbangkan.

Pasir Gudang menjadi pilihan kerana ia antara daerah di bawah JS-SEZ dan ia juga pernah disebut-sebut laluan pilihan jambatan Link Ketiga. Walaupun Tambak Johor dan Link Kedua kekal sebagai laluan darat dominan, perkhidmatan feri boleh menawarkan penyelesaian menarik.

Perkhidmatan boleh ditawarkan ialah feri penumpang dan motosikal ala feri Pulau Pinang yang boleh menampung 150 penumpang dan 50 motosikal setiap perjalanan.

Ia menawarkan laluan alternatif kepada pengguna berulang alik antara pulau dengan tanah besar di Pulau Pinang dengan menghubungkan Pangkalan Raja Tun Uda, Butterworth ke Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH), Georgetown.

Perkhidmatan feri merentas Selat Tebrau berpotensi mengurangkan tekanan kesesakan Tambak Johor. Pengguna boleh memintas kesesakan di Tambak Johor dan ini akan mengurangkan masa perjalanan dengan ketara terutama waktu puncak dan cuti.

Laluan ini memberi kelebihan kepada penduduk berdekatan Pasir Gudang bekerja di Singapura untuk memintas Tambak Johor bagi tujuan ke Singapura. Rakyat Singapura terutama pengguna motosikal berhasrat ke Desaru boleh menggunakannya kerana kedudukan Pasir Gudang mempunyai laluan terus ke Lebuhraya Senai-Desaru di Johor.

Tingkat khidmat pelancongan

Perkhidmatan ini akan menjadi 'novelty' pilihan pelancong gemar menggunakan perkhidmatan unik untuk merentas sempadan. Syarikat pelancongan pula boleh menawarkan perkhidmatan membawa pelancong Singapura ke Desaru dari jeti feri Pasir Gudang. Ahli perniagaan terbabit dalam inisiatif JS-SEZ terutama di Pasir Gudang dan Kota Tinggi juga boleh berulang alik.

Bagi menjadikan perkhidmatan ini satu realiti, beberapa faktor kritikal perlu dipertimbangkan.

Pertama, perancangan teliti mengambil kira pelaburan infrastruktur, kos operasi dan kelulusan kawal selia perlu dilaksanakan untuk menjamin perkhidmatan akan memberi manfaat untuk pengguna kedua-dua negara. Juga kerjasama antara kerajaan, pengusaha feri, pengendali jeti dan pelabuhan serta pihak berkepentingan amat penting.

Kedua, usaha meningkatkan kesedaran dan mendidik pengguna terhadap manfaat serta kemudahan perkhidmatan feri perlu diadakan. Apabila ada kesedaran, makin ramai akan berminat menggunakan perkhidmatan ini.

Ketiga, menaik taraf khidmat sokongan seperti penambahan lorong kastam dan imigresen, melaksanakan e-gate serta memperkemas proses imigresen perlu dilaksanakan.

Keempat, integrasi dengan rangkaian pengangkutan awam sedia ada di kedua-dua negara adalah penting untuk kesinambungan perjalanan pengguna perkhidmatan ini. Meningkatkan kekerapan dan keselesaan penumpang akan menjadikan perkhidmatan ini mesra pengguna. Dengan ada kesinambungan efisien, lebih ramai akan menggunakan pengangkutan awam ini.

Realitinya, usaha mengurangkan kesesakan lalu lintas merentas sempadan adalah proses berterusan. Justeru, Singapura dan Malaysia sentiasa bekerjasama melancarkan dan memudahkan proses ini.

Oleh itu, tiba masanya untuk kedua-dua pihak meneroka alternatif inovatif berpotensi memberi manfaat kepada rakyat. Penggunaan laluan air ini masih belum diterokai sepenuhnya dan potensi perkhidmatan feri penumpang ala Pulau Pinang antara Pasir Gudang dan Changi adalah luas.

Dengan menangani cabaran dan memanfaatkan peluang, laluan air dapat merevolusikan perjalanan rentas sempadan, menawarkan pengalaman lebih lancar, efisien dan bebas stres untuk mereka merentas sempadan setiap hari.

Mengimbangi manfaat ekonomi dengan keperluan merentas sempadan cekap menjadi kunci kepada penyelesaian mampan dengan perkhidmatan feri menjadi penyelesaian alternatif dinanti-nantikan.

Penulis adalah Ketua Focus Group Manufacturing Technology Management, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)


Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.