Tengok gaya kita terpedaya
Oleh Ronasina
Sejak kebelakangan ini di media sosial, ia semakin menjadi-jadi. Penipu, pembelit dan kaki ambil kesempatan mencari peluang membina pengaruh untuk jadi masyhur. Dengan menggunakan kemahiran bercakap serta penampilan yang mengagumkan mereka mampu membuat keuntungan gila-gila. Mereka menjual ayat-ayat manis. Modalnya agama, nasihat-nasihat motivasi dan cakap-cakap politik bagi tujuan memukau khalayak. Yang terpesona akan menjadi peminat dan pengikut setia sampai naik taasub.
Memang manusia lumrahnya begitu. Mudah terpesona dengan penampilan zahir seseorang sebab itulah kaki scam, pencuri atau penipu boleh menyusup masuk untuk mencari keuntungan. Bela janggut sikit dan pakai ketayap orang dah panggil ustaz. Hafal dua tiga ayat maka jadilah warak. Rupanya kaki cabul. Astaghfirullahaladzim! Nak cakap pun takut tapi ini kenyataan, bro!
Bukan agama yang salah. Bukan pusat tahfiz dan sekolah agama yang berdosa. Dan jangan sesekali beranggapan bahawa semua agamawan yang berniaga itu sebagai penunggang agama. Yang menunggang dan yang ‘menjalang’ itu adalah si bangsat yang menyamar masuk ke situ. Sedih juga apabila orang terus mengaitkan kerja-kerja sumbang ini dengan agama. Disebabkan beberapa manusia celaka, agama terpalit. Kita harus jernihkan semua ini sebelum kita sendiri fobia melihat orang berkostum warak itu jahat.
Bukan pakaian, bukan zahir yang dilihat. Bukan agama atau keseluruhan institusi atau jabatan yang teruk tapi kerana manusia durjana yang duduk di situ mempergunakan kemudahan untuk melaksanakan modus operandinya itulah yang perlu dibanteras.
Kita sering dengar dahulu kisah ramai mak cik kampung ditipu jurujual. Dengan berpakaian kemas, berdasi dan bermulut manis, para scammers masuk ke ruang tamu rumah sambil menunjuk katalog. Mak cik-mak cik terpesona dengan penampilan dan budi bahasa mereka lalu senang-senang sahaja bayar duit cengkeram dengan wang tunai. Akibatnya, orangnya lesap — barang tak dapat — duit pun lebur! Cuba jurujual itu datang dengan berpakaian ala pemborong besi buruk, percayakah mak cik dan pak cik untuk bagi duit selamba begitu? Huh! Anak sendiri pun kalau nak pinjam buat modal mula niaga belum tentu dia bagi. Sebab apa? Sebab penampilan dan perawakan si kaki klepet tadi itu kelihatan meyakinkan.
Lumrah manusia sukakan yang cantik. Mak saya pernah berpesan sewaktu saya kanak-kanak dahulu, ‘putih-putih hampas kelapa akhirnya dibuang, hitam-hitam kuali orang gantung kat dinding, macam orang gantung gambar dan piala. Mak mengajar saya makin manis dan menunduk seseorang itu makin harus kita berwaspada dengan mereka.
Saya sendiri pernah mengalami pengalaman buruk apabila tindakan saya melawan dan memarahi seorang kawan saya telah ditentang oleh kawan-kawan lain. Kata mereka saya memberi reaksi yang melampau.
“Kau ni overreact! Kesian dia.” kata mereka sehingga ada yang bertindak memulaukan saya. Mereka bersimpati dengan kawan yang saya marah itu walhal kawan saya itu terang-terang telah mencuri barang saya demi keuntungan dia. Dia sendiri mengaku tetapi disebabkan kawan saya itu sering berpakaian kemas dan mulutnya tak henti-henti memulakan ucapan dengan selawat, manakala saya ini berambut panjang dan kutu maka sayalah yang teruk. Dengan air mata, dengan play victim dia menang. Yang tersudut, saya sehinggalah beberapa tahun kemudiannya segalanya terbukti. Tapi apa nak buat, lambat sangat manusia sedar.
Begini, mari kita selesaikan. Bukanlah asal berpakaian kutu itu maka dia itu baik atau yang memakai lawa dan alim itu terus kita cop jahat. Tidak. Ada juga sebaliknya.
"Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada jasad dan rupa bentuk kamu, tidak kepada keturunan dan harta kekayaan kamu, sebaliknya Allah memandang kepada hati kamu. Maka sesiapa memiliki hati suci bersih, nescaya Allah amat mencintai orang tersebut. Ketahuilah! Wahai Anak Adam bahawa orang yang paling dicintai Allah ialah orang yang paling bertakwa di kalangan kamu."
(HR Muslim dan Tabrani).
Pada saya maksud ‘jasad dan rupa bentuk kamu’ itu bukan muka tak kacak, kulit hitam atau bermata juling yang Allah tak pandang sebab ciri tersebut adalah pemberian Dia juga kepada makhluknya. Dia tetap memandang tidak kira putih atau hitam, cantik atau buruk wajah kita. Bukan rupa itu tetapi rupa munafik dan wajah penganiaya yang kita pakai. Solekan, topeng, tudung, serban, kot dan dasi atau seluar koyak dan seksi adalah kostum yang menyokong menjayakan perwatakan. Itu maksudnya. Sebab itu di Tanah Haram kita memakai pakaian ihram dan apabila mati kita dikafankan dengan kain putih sebagaimana kita lahir dari rahim ibu dahulu — disambut selimut putih. Ia adalah lambang keputihan hati dan kejernihan peribadi. Itulah pakaian asli untuk dinilai. Bukan pada kereta, rumah, harta dan paras rupa.
Sama ada kita guru, ketua kampung, peguam atau pak menteri, itu hanya jawatan yang disandang sedang peribadi manusia itu sendiri adalah misteri. Dia boleh mengambil kesempatan di kedudukannya itu. Kita harus sentiasa peka dan berjaga-jaga.
Akhirnya apa? Kita sendirilah harus ada ilmu sebab itu menuntut ilmu itu hukumnya fardu. Supaya apabila datangnya macam-macam perkara di hadapan pancaindera kita, kita mampu menilai mana yang betul mana yang palsu. Kita sendirilah akhirnya yang kena pilih dan buat keputusan. Kalau kita sentiasa bergantung hidup kepada orang lain sehingga hendak buat apa pun nak kena tanya pempengaruh media sosial, apa nak jadi? Dengan adanya ilmu, kita automatik akan dapat melihat mana kata-kata atau ceramah yang bagus dan mana pula yang cap ayam nak cari makan! Kalau kita malas mengaji, malas mencari ilmu senang-senanglah kita digoreng malaon berpakaian cantik tetapi berperangai puaka.
Ingatlah pesan Buya Hamka, "kalau hidup sekadar hidup, babi di hutan juga hidup. Kalau bekerja sekadar bekerja, kera juga bekerja" .
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.