Had tempoh jawatan PM pastikan sentiasa dalam orbit amanah
Oleh Prof Madya Datuk Dr Mohamed Azam Mohamed Adil -
PADA 2 Mac lalu, negara menyaksikan satu detik penting dalam wacana reformasi institusi apabila cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal atau 10 tahun dibentangkan di Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, cadangan itu gagal diluluskan pada bacaan kedua apabila hanya memperoleh 146 undi, kurang dua undi daripada majoriti dua pertiga diperlukan mengikut Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan.
Rentetan kegagalan itu, mesyuarat Jemaah Menteri pada 4 Mac memutuskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 berhubung had tempoh jawatan Perdana Menteri dibentangkan semula dalam persidangan Dewan Rakyat pada Jun nanti.
Perkembangan ini membuka kembali perbincangan lebih luas apakah had tempoh jawatan Perdana Menteri satu keperluan institusi atau sekadar pilihan politik?
Menurut Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa prerogatif melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri.
Dalam erti kata lain, tempoh seseorang Perdana Menteri memegang jawatan bukan ditentukan masa tertentu tetapi bergantung kepada kepercayaan majoriti di Parlimen.
Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai kuasa memecat Perdana Menteri secara langsung. Sekiranya Perdana Menteri kehilangan kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka beliau hendaklah meletakkan jawatan atau memohon pembubaran Parlimen. Jika permohonan pembubaran ditolak, maka peletakan jawatan perlu dilakukan bersama seluruh anggota Jemaah Menteri.
Tak jejas kuasa prerogatif Seri Paduka
Berdasarkan kerangka ini, ada pandangan menyatakan penetapan had tempoh akan menjejaskan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong. Namun hakikatnya, kuasa prerogatif itu hanya berkaitan pelantikan Perdana Menteri, bukan tempoh jawatannya. Oleh itu, penetapan had tempoh tidak menjejaskan kedudukan prerogatif baginda.
Namun tanpa had masa jelas, sistem sedia ada membolehkan seseorang pemimpin memegang jawatan selama mana beliau mengekalkan sokongan majoriti. Keadaan ini berpotensi melemahkan mekanisme semak dan imbang serta membuka ruang kepada salah guna kuasa, ketirisan moral dan pengumpulan pengaruh yang terlalu besar pada satu individu.
Pengalaman politik negara sejak beberapa tahun kebelakangan ini turut memperlihatkan betapa pentingnya reformasi institusi. Dalam tempoh empat tahun sahaja antara 2018 hingga 2022, Malaysia menyaksikan pertukaran tiga Perdana Menteri akibat kehilangan sokongan majoriti di Parlimen.
Peristiwa ini menunjukkan walaupun sistem kepercayaan majoriti berfungsi, ia juga boleh menimbulkan ketidakstabilan politik jika tidak disertai dengan reka bentuk institusi lebih kukuh.
Konsep had tempoh bukan sesuatu yang asing dalam konteks Malaysia. Pulau Pinang misalnya memperkenalkan had dua penggal bagi jawatan Ketua Menteri sebagai langkah memperkukuhkan tadbir urus politik.
Dari sudut perbandingan antarabangsa, had tempoh jawatan adalah satu amalan semakin meluas dalam sistem demokrasi moden. Walaupun United Kingdom (UK) tidak mempunyai had tempoh rasmi, mekanisme semak dan imbang berlaku melalui kematangan parti politik yang boleh menukar pemimpin parti apabila dianggap menjadi liabiliti politik.
Dalam kerangka hukum Islam, kepemimpinan politik tidak tergolong dalam ibadah khusus bersifat ta'abbudi, beku dan statik. Sebaliknya, ia berada dalam ruang muamalat dan siyasah membenarkan ijtihad berdasarkan keperluan zaman.
Dalam konteks ini, dua prinsip utama boleh dikenal pasti. Pertama ialah prinsip tetap (thawabit) berkaitan dengan syarat asas kepemimpinan seperti keadilan, amanah dan keupayaan mentadbir. Nilai ini tidak berubah walaupun sistem politik berubah.
Kedua ialah prinsip berubah (mutaghayyirat) yang membabitkan mekanisme pelantikan, bentuk pemerintahan dan tempoh jawatan boleh disesuaikan mengikut keperluan masyarakat.
Oleh kerana tiada nas qat'i menetapkan atau melarang had tempoh kepimpinan, maka penetapannya kembali kepada prinsip 'al-ibahah al-asliyyah', iaitu hukum asal sesuatu perkara adalah harus selagi tidak terdapat dalil melarangnya.
Dari sudut usul fiqh, had tempoh boleh difahami melalui beberapa kerangka utama. Pertama ialah konsep al-'aqd atau kontrak pelantikan. Dalam sistem demokrasi berperlembagaan, Perlembagaan dan undang-undang negara boleh dianggap sebagai manifestasi kepada bai'ah moden antara rakyat dan pemimpin.
Terikat syarat kontrak dipersetujui
Apabila had tempoh ditetapkan melalui undang-undang, ia menjadi syarat dalam kontrak itu. Prinsip fiqh menyebut 'Al-muslimuna 'ala shurutihim' iaitu orang Islam terikat dengan syarat mereka persetujui. Oleh itu, pemimpin yang menerima jawatan di bawah sistem mengehadkan tempoh sebenarnya terikat untuk mematuhinya.
Kedua ialah prinsip sadd al-dhara'i, iaitu menutup pintu kepada kerosakan yang mungkin berlaku pada masa hadapan. Pemerintahan terlalu lama sering membawa kepada pemusatan kuasa, kelemahan institusi pengawasan serta kelesuan inovasi dalam pentadbiran negara.
Ketiga ialah konsep maslahah mursalah, iaitu kepentingan awam tidak dinyatakan secara khusus dalam nas tetapi selari dengan maqasid syariah. Had tempoh boleh membantu menjaga kestabilan sistem politik dan memastikan peralihan kuasa berlaku secara aman dan teratur.
Imam al-Mawardi dalam 'al-Ahkam al-Sultaniyyah' menegaskan kepemimpinan adalah kontrak antara pemimpin dan masyarakat bagi memastikan maslahat rakyat terpelihara. Oleh itu, sebarang mekanisme membantu memastikan pemimpin kekal adil dan berfungsi dengan baik boleh diterima sebagai ijtihad siyasah.
Jika amanah tidak ditunaikan dengan baik, ia boleh berubah menjadi pengkhianatan terhadap masyarakat. Dalam hal ini, had tempoh boleh dianggap sebagai mekanisme institusi untuk memotong kitaran kemerosotan itu sebelum ia merosakkan sistem negara.
Oleh itu, penetapan had tempoh jawatan bukan bertujuan mengecilkan peranan seseorang pemimpin, sebaliknya memastikan kuasa sentiasa bergerak dalam orbit amanah, bukan milik peribadi.
Hakikat ini selari dengan pemerhatian Ibn Khaldun dalam al-Muqaddimah bahawa kekuasaan terlalu lama berada di tangan sama cenderung membawa kepada kemewahan, kelalaian dan akhirnya kemerosotan sesebuah pemerintahan.
Maka, pindaan Perlembagaan Persekutuan dalam Perkara 43(2)(a) bagi mengehadkan jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal dengan syarat mendapat majoriti dua pertiga di Parlimen adalah selari dengan maqasid syariah.
Penulis adalah Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.