Konflik Muhyiddin-Hamzah jadi beban kepada PN
Oleh Suzalina Halid -
HUBUNGAN PAS dan BERSATU dilihat seperti kembali 'harmoni' selepas Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN), bulan lalu bersetuju melantik Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi PN.
Namun kini hubungan PAS dan BERSATU kembali 'panas' apabila kedua-dua pemimpin daripada parti komponen gabungan itu bertikam lidah berhubung isu calon Perdana Menteri.
Pada masa sama, timbul pula kenyataan daripada bekas Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengakui sedang berunding dengan entiti politik dikenali sebagai Parti Keluarga Malaysia.
Hubungan baik antara Ketua Pembangkang itu bersama beberapa pemimpin tinggi PAS, bukan lagi rahsia. Malah, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga sebelum ini mengakui Hamzah adalah rakan kepada Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Apabila Hamzah dijangka menggerakkan parti baharu, timbul naratif beliau akan menyertai PN, apatah lagi dengan hubungan baiknya dengan PAS kini memimpin gabungan terbabit.
Naratif itu semakin kuat apabila penganalisis politik sebelum ini melihat rumah baharu pimpinan Hamzah tidak akan mampu bertahan pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) sekiranya bergerak solo.
Walaupun Muhyiddin sebelum ini menyatakan tidak akan membenarkan parti baharu mahu dipimpin Ahli Parlimen Larut itu menyertai PN, namun ia bukan jaminan perkara itu tidak boleh berlaku.
Ini kerana, berdasarkan Fasal 13 Perlembagaan PN, keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) hendaklah dibuat secara majoriti ahli MT yang mana setiap ahli masing-masing mempunyai satu undi dengan Pengerusi tidak dikehendaki untuk mengundi. Jika keputusan dibuat didapati seri, maka Pengerusi mempunyai satu undi pemutus.
Serentak itu, Hamzah turut mempersoalkan 'siapa Muhyiddin' untuk menentukan sama ada beliau boleh menyertai PN atau tidak.
Ia sekali gus menunjukkan wujudnya minat bagi Hamzah menyertai PN yang dilihat sebagai platform penting bagi menguatkan survival parti baharu beliau nanti. Apatah lagi ketika 'sumber kewangan' PN itu dilaporkan enggan kembali ke pangkuan UMNO.
Melihat kepada situasi ini, PAS tentunya berada dalam posisi paling strategik, apatah lagi pemimpin parti itu kini mengetuai PN. PAS tentu sahaja boleh memilih sama ada kekal bersama BERSATU secara rasmi atau mengambil pendekatan taktikal dengan menjalinkan kerjasama bersama parti baharu Hamzah yang dalam proses rayuan dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Ketika ditanya mengenai kemungkinan perkembangan itu, pemimpin PAS yang dihubungi positif bayangan PN disertai PAS, BERSATU dan parti baharu Hamzah boleh direalisasikan.
PAS terbuka terima pihak mahu bersama PN
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata parti itu terbuka menerima mana-mana pihak yang ingin bersama PN dan akan dipertimbangkan dalam mesyuarat MT.
Beliau berkata, PAS melihat jika lawan politik pada PRU lalu boleh diterima, maka seharusnya tiada sebab menolak terus 'rakan lama'.
"Bagi PAS, jika kita boleh menerima parti pernah menjadi lawan politik PRU lalu, maka kita boleh menimbang permohonan mereka yang pernah bersama sebelum ini. Tiada masalah peribadi dan perlu jiwa besar mencari seramai mungkin dalam gabungan PN," kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.
Mengenai kemungkinan untuk mengharmonikan semula hubungan antara Muhyiddin dan Hamzah, Tuan Ibrahim berkata, perkara itu boleh diurus, tetapi perlukan sedikit masa untuk bertenang.
Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Nur Ayuni Mohd Isa melihat PAS akan cuba berusaha meletakkan BERSATU dan parti baharu Hamzah ke dalam PN.
Jelas Nur Ayuni, perkara itu boleh berlaku namun ia memerlukan sedikit tempoh bertenang kerana keadaan sekarang masih agak tegang antara dua pemimpin politik berkenaan.
"Cabaran utama Ahmad Samsuri ialah memastikan keharmonian antara parti komponen, khususnya membabitkan Muhyiddin dan Hamzah yang dikatakan bakal mempunyai 'rumah' baharu.
"Kenyataan Muhyiddin sebarang kemasukan ke dalam PN perlu mendapat persetujuan semua parti komponen menunjukkan isu ini sensitif dan memerlukan rundingan serta kepercayaan rakan gabungan PN bagi mengelakkan konflik berpanjangan," katanya.
Beliau bagaimanapun berkata, kemungkinan perubahan penjajaran politik boleh berlaku, sama ada membabitkan Muhyiddin atau Hamzah, bergantung kepada perkembangan hubungan politik dan strategi parti pada masa akan datang.
Polemik dihadapi Hamzah kini ibarat 'gantung tidak bertali'. Hendak bersama PN, tetapi tiada parti, kemudian ditentang pula Muhyiddin.
PAS pula sedar PN tidak boleh kehilangan pemimpin seperti Hamzah yang menjadi 'banker' kepada kelangsungan aktiviti pakatan pembangkang itu. PAS dan BERSATU perlu menepuk dada, tanya iman atau selera sama ada mahu Hamzah dan rakan-rakannya menyertai PN atau biarkan hanyut tanpa bahtera.
PRU16 bakal menjelma dan PN yang kini didominasi PAS pasti enggan menjadikan pakatan itu berkubur hanya disebabkan tersilap memutus kata.
Penulis adalah Wartawan BH




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.