“Siapa Sebenarnya Tolak Perpaduan Melayu?
Amanah berpendapat sikap keras yang ditunjukkan Abdul Hadi Awang terhadap gagasan Rumah Bangsa dibawa Umno sebenarnya mengundang persoalan lebih daripada label “bisikan syaitan” diutarakan Presiden PAS itu.
Naib Presiden Amanah, Mahfuz Omar, berkata pendirian yang dizahirkan Abdul Hadi adalah keterlaluan dan membongkar sikap PAS terhadap sebarang usaha menyatukan kekuatan politik orang Melayu.
Kata Mahfuz, idea Rumah Bangsa yang dikemukakan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, adalah ruang untuk berdialog bagi meredakan perpecahan politik Melayu yang kian meruncing.
Namun, katanya, PAS memilih untuk menutup pintu tersebut walaupun perbincangan belum bermula.
Mahfuz yang juga bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata, PAS sering mendakwa kekuatan politik orang Melayu Islam di negara ini semakin terancam tetapi sikap yang diambil parti itu menimbulkan tanda tanya.
“Persoalannya ialah, apabila Yang di-Pertuan Agong menyeru kepada perpaduan (selepas PRU 2022), PAS (bersama PN) menolak.
“Apabila usaha dialog politik Melayu dibuka melalui gagasan Rumah Bangsa, PAS sekali lagi menolak. Namun pada masa yang sama, PAS terus melaungkan bahawa Melayu dan Islam sedang terancam.
“Jika benar Melayu Islam terancam, maka perpaduan sepatutnya menjadi kewajipan.
“Tetapi apabila setiap usaha perpaduan ditolak, rakyat berhak bertanya adakah naratif ancaman tersebut hanyalah propaganda politik PAS untuk mengekalkan sokongan?” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rakyat nilai sendiri
Pada 12 Mac lalu Abdul Hadi menegaskan sikap PAS yang enggan bekerjasama dengan Umno melalui gagasan Rumah Bangsa kerana mendakwa ahli parti itu mengalami penyakit waswas hasil “bisikan syaitan.”
Ahli Parlimen Marang itu turut menganggap Umno “berwalak kepada DAP” malah dapat mendakwa dapat membaca segala yang tersirat di sebalik gagasan tersebut walaupun pertemuan dianjurkan Umno tidak dihadiri wakil DAP.
Menurut Mahfuz mengikut sejarah, PAS sendiri pernah menjalin kerjasama dengan DAP selama bertahun-tahun dan tidak kedengaran pada sepanjang tempoh itu gelaran “syaitan” dibuat.
Justeru Mahfuz menegaskan bahawa politik yang dibina di atas dasar ketakutan yang dicipta serta perpecahan tidak dapat menguatkan orang Melayu atau memartabatkan Islam.
Bahkan, tambahnya, taktik sebegitu hanya melemahkan masyarakat dan merosakkan masa depan negara.
“Apabila perpaduan ditolak, dialog ditutup dan perpecahan terus dipelihara, rakyat berhak menilai sendiri siapa sebenarnya yang menjadi ancaman kepada perpaduan Melayu dan keharmonian umat Islam di negara ini,” katanya.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.