Banjir: Hikmah di sebalik bencana
Oleh Siti Nurhidayu Abu Bakar
Banjir sering kali dianggap sebagai bencana alam yang membinasakan, tetapi di sebalik kemusnahan terdapat beberapa aspek positif yang tidak boleh diabaikan.
Tidak dapat dinafikan bahawa setiap kali banjir melanda pasti akan meninggalkan kesan negatif seperti kerosakan harta benda dan infrastruktur malah kehilangan nyawa, namun dengan memahami fenomena ini boleh mengubah persepsi kita terhadap bencana ini yang juga berperanan membawa manfaat kepada masyarakat dan alam sekitar.
Diantara aspek positif kejadian banjir ialah sumbangannya terhadap pengisian semula air bawah tanah melalui genangan di dataran banjir melalui tanahnya yang berpori (batu longgar dan sedimen). Simpanan semulajadi ini memberi manfaat kepada masyarakat yang bergantung kepada air bawah tanah untuk keperluan harian dan pertanian.
Penyelidikan membuktikan banjir berupaya meningkatkan kesuburan tanah. Ketika air sungai melimpah sewaktu banjir, ia membawa bersama-sama sedimen yang kaya dengan nutrien dari kawasan hulu.
Apabila air surut, sedimen ini meninggalkan lapisan subur di dataran banjir yang mengayakan tanah. Disebabkan oleh proses ini, dataran banjir antara kawasan pertanian yang paling produktif. Contohnya orang Mesir kuno merujuk kejadian banjir berkala di Sungai Nil sebagai ‘Hadiah dari Nil’.
Petani sering kali bergantung kepada banjir sebagai sumber kesuburan, terutama di kawasan yang mempunyai sistem pengairan yang kurang sistematik. Sawah padi sengaja ditenggelami untuk memanfaatkan proses pengumpulan nutrien semula jadi ini.
Namun tidak dinafikan banjir yang berlaku baru-baru ini mendatangkan kerugian yang besar kepada para pesawah padi disebabkan oleh masa banjir berlaku sebelum penuaian dijalankan serta skala banjir berkenaan.
Kajian juga menunjukkan tempoh banjir yang terlalu lama juga memindahkan nutrien yang sedia ada di kawasan pertanian ke hilir dan menyebabkan tanah kehilangan nutrien semulajadi.
Selain itu, tenaga dan halaju air banjir yang mengalir dapat menggerakkan sisa-sisa organik seperti dahan, kayu balak, dan batu yang sering menghalang aliran air sungai dan muara. Halangan ini juga boleh menyebabkan kekurangan air di kawasan hilir sungai.
Pada musim banjir, saliran air dipenuhi air dan membersihkannya secara semula jadi. Aliran permukaan dan banjir juga dapat membantu mencuci bahan pencemar dan kontaminan yang disimpan di tanah akibat penggunaan racun perosak dan aktiviti pembajaan yang intensif.
Air banjir berperanan membersihkan bahan organik terkumpul yang dibawa oleh air saliran yang tidak dirawat dari ladang, tempat penyimpanan ternakan, kilang dan penggunaan domestik, serta memulihkan kesihatan ekologi sungai dan aliran yang tersumbat dengan membersihkan saliran secara semulajadi.
Ekosistem sungai merupakan habitat yang penting untuk ikan, hidupan liar dan burung air. Variabiliti bermusim dan rejim sedimen serta aliran yang berubah-ubah membantu mengekalkan kepelbagaian biologi di sungai dan dataran banjir. Tanah lembap atau paya yang terletak di dataran banjir berfungsi sebagai zon penampan semula jadi untuk aliran banjir yang berlebihan dan menjadi habitat kepada banyak burung, ikan dan tumbuhan.
Selain itu, banjir memainkan peranan penting dalam mengekalkan habitat ekosistem. Dataran banjir dan tanah lembap yang dihasilkan daripada banjir menyediakan habitat untuk pelbagai spesies flora dan fauna.
Kawasan ini menjadi tempat perlindungan bagi banyak haiwan, termasuk burung, ikan, dan serangga, yang bergantung kepada habitat ini untuk bertelur dan mencari makanan. Banjir juga membantu membersihkan tumbuhan dan haiwan invasif, yang memberi manfaat kepada spesies tempatan.
Permulaan kitaran pembiakan banyak spesies bergantung kepada banjir. Dengan cara ini, banjir membantu menyokong kepelbagaian biologi, yang merupakan aspek penting dalam memastikan keseimbangan ekosistem.
Dalam konteks sosial dan budaya, terdapat masyarakat yang mengadaptasi diri kepada kitaran banjir. Konsep
"living with flood"
merujuk kepada pendekatan yang menerima bahawa banjir fenomena semula jadi yang tidak dapat dihindari di banyak kawasan dan mungkin akan berulang di masa depan.
Pendekatan ini termasuk menekankan aspek ketahanan dan adaptasi masyarakat dan keseluruhan ekosistem dalam menghadapi banjir. Ini termasuk merancang infrastruktur dan sistem perkhidmatan yang boleh bertahan dan berfungsi walaupun dalam keadaan kecemasan dan bencana banjir.
Misalnya, membina rumah di kawasan yang lebih tinggi atau membina tiang yang tinggi sehingga beberapa meter dari permukaan tanah untuk persediaan menghadapi banjir seperti yang dibina di Pahang, menggunakan bahan bangunan yang tahan air, dan merancang jalan dan sistem saliran yang membolehkan air mengalir dengan lebih lancar.
Contohnya sejak kejadian banjir yang melanda negara pada 2022 yang melibatkan bandar-bandar besar, semakin ramai penduduk yang membeli bot sebagai persediaan menghadapi banjir. Terdapat juga inovasi oleh warga emas di Pahang yang membina rumah yang boleh terapung apabila banjir berlaku dengan menggunakan tong plastik.
Banjir juga dijadikan sebahagian daripada tradisi dan kebudayaan, di mana penduduk mengadakan festival untuk meraikan datangnya musim hujan. Tradisi ini membantu masyarakat untuk berhubung dengan alam semula jadi dan memahami pentingnya kitaran alam.
Pengalaman bencana juga dapat mengukur semangat kerjasama di antara jiran dan masyarakat setempat untuk membantu antara satu sama lain, menghilangkan rasa mementingkan diri sendiri dan sanggup bersusah-payah dan sentiasa mengambil berat antara satu sama lain.
Semangat kesukarelawan juga dapat dilihat melalui badan-badan kebajikan dan orang perseorangan yang turut turun padang membantu mangsa banjir. Semangat Malaysia Madani juga dapat dilihat apabila bantuan disalurkan tanpa mengira agama dan bangsa sewaktu bencana berlaku.
"Living with flood"
merupakan pendekatan yang boleh diamalkan di kawasan-kawasan yang terlibat dengan banjir kerana ia melibatkan pengurusan sumber air secara berpanjangan. Salah satu aspek positif lain tentang banjir adalah bahawa lebihan air yang dihasilkan boleh dimanfaatkan untuk pertanian, penghasilan semula air bawah tanah, dan penyimpanan air untuk kegunaan masa depan terutama di dalam tempoh kurang hujan jika disimpan dengan baik.
Air banjir, yang sering kali melimpah mempunyai potensi besar sebagai sumber air tawar, terutama di kawasan yang mengalami masalah kekurangan air. Dengan teknologi dan pengurusan yang sesuai, air ini boleh dikumpulkan dan disimpan untuk kegunaan masa depan.
Kolam takungan semula jadi boleh dibina supaya dapat menyerap lebihan air semasa banjir, serta mengekalkan kawasan tanah lembap yang berfungsi sebagai penampan semula jadi. Sistem takungan air boleh dibangunkan untuk mengumpulkan air banjir ke dalam kolam atau takungan yang dirawat. Air terkumpul ini berpotensi digunakan untuk pelbagai keperluan, pengairan, dan bahkan sebagai sumber air untuk kegunaan domestik.
Dengan menyalurkan air ke kawasan pertanian atau tanah lembap yang memerlukan, ia membantu mengekalkan keseimbangan ekosistem dan menyokong pertumbuhan tanaman. Ini bukan sahaja berupaya meningkatkan produktiviti pertanian, malah berpotensi untuk menyokong biodiversiti setempat.
Dengan memanfaatkan lebihan air dari kawasan banjir, kita bukan sahaja dapat mengurangkan kerugian yang disebabkan oleh bencana banjir, tetapi juga mencipta peluang untuk pembangunan yang lebih mampan. Ini satu contoh bagaimana kita boleh melihat banjir dari sudut yang lebih positif dan menggunakan sumber semula jadi dengan bijak.
Dengan pendekatan ini, masyarakat bukan sahaja dapat memanfaatkan sumber air yang biasanya terbuang, tetapi juga membantu mengurangkan tekanan terhadap sumber air yang sedia ada, menjadikan pengurusan air lebih berkesan dan lestari.
Bagaimanapun, proses rawatan sangat penting untuk memastikan kualiti air yang disimpan. Dengan teknologi pembersihan yang sesuai, air banjir boleh ditapis dan dirawat untuk menghilangkan bahan pencemar supaya selamat untuk digunakan. Penggunaan air yang dirawat ini bukan sahaja meningkatkan ketahanan terhadap kemarau, tetapi juga membantu dalam pengurusan sumber air secara mampan.
Di sebalik manfaat tersebut, risiko besar yang dibawa oleh banjir tidak boleh diabaikan terutamanya apabila ia berlaku dalam skala besar dan dalam tempoh yang lama. Masyarakat perlu diberikan pendedahan yang mendalam mengenai risiko banjir dan langkah-langkah persiapan yang perlu diambil.
Melalui pendidikan mengenai pengurusan risiko banjir dan pelaksanaan langkah-langkah pencegahan yang berkesan, masyarakat akan menjadi lebih bersedia dalam menghadapi cabaran ini. Ini merangkumi pemahaman tentang kitaran dan ramalan banjir, tindakan yang tepat semasa menghadapi bencana, ‘dos and don’ts’ serta kepentingan kerjasama dalam mempersiapkan diri dan keluarga.
Dengan meningkatkan kesedaran ini, kita dapat mengurangkan rasa panik dan mempertimbangkan respons serta tindakan yang perlu dilakukan ketika bencana banjir melanda. Kesedaran dan persediaan rapi adalah kunci untuk mengurangkan impak banjir yang mungkin timbul.
Secara keseluruhannya, walaupun banjir sering kali dilihat sebagai bencana, ia juga mempunyai aspek positif yang perlu kita hargai. Dengan memahami peranan penting yang dimainkan oleh banjir dalam masyarakat dan ekosistem, kita boleh memahami hikmah yang tersembunyi di sebalik bencana dan dapat merancang untuk menghadapi fenomena ini dengan cara yang lebih berdaya tahan dan berkesan.
Siti Nurhidayu Abu Bakar adalah pensyarah kanan di Jabatan Sains Perhutanan dan Biodiversiti di Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia, dengan kepakaran dalam bidang hidrologi hutan.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.