https://critoxium.com/shop/

Terkini

Tuduhan Dajal: Berpolitiklah secara matang


Tuduhan Dajal yang dibuat Presiden PAS, Abdul Hadi Awang melalui penulisannya di HarakahDaily yang ditujukan kepada Pakatan Harapan (PH) dan Umno merupakan tuduhan yang tidak berasas dan agak keterlaluan.

Umum mengetahui bahawa Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim bersama beberapa parti termasuk parti Umno merupakan kerajaan yang dibentuk atas titah Yang di-Pertuan Agong ke-16 Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah.

Ia dibuat selepas tidak ada parti gabungan yang berjaya mendapat kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan selepas PRU15.

Abdul Hadi juga menuduh Pakatan Harapan dan Umno menggunakan politik wang untuk mendapatkan sokongan.

Hakikatnya, kemenangan PAS di kerusi Kuala Terangganu dibatalkan oleh Mahkamah Pilihan Raya Terengganu apabila terbukti wujudnya unsur rasuah untuk membeli undi semasa PRU15 dan kerusi ini satu-satunya dibatalkan mahkamah disebabkan unsur rasuah.

Tidak ada mana-mana kerusi yang disandang oleh PH atau Umno yang pernah terbatal akibat unsur rasuah seperti kerusi yang disandang oleh PAS.

Abdul Hadi juga mendakwa bahawa Kerajaan Perpaduan menindas pembangkang dengan menafikan peruntukan kewangan kepada ahli parlimen pembangkang.

Abdul Hadi perlu ingat, semasa PAS menjadi sebahagian daripada kerajaan Perikatan Nasional selama 33 bulan bawah pemerintahan Muhyiddin Yassin, ahli parlimen pembangkang langsung tidak diberikan sebarang peruntukan.

Ia berlarutan sehingga Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik ditandatangani pembangkang bersama Ismail Sabri Yaakob semasa beliau menjadi perdana menteri.

Abdul Hadi perlu berhenti memainkan sentimen kaum dan agama serta tidak mempergunakan nama Islam untuk kepentingan politik demi menghalalkan pembohongan PAS untuk mendapat simpati rakyat.

Berpolitiklah secara matang dengan hujah yang berfakta.

MUHAMMAD AZHA SALAHUDIN ialah ketua penerangan Pemuda PKR (AMK) Wilayah Persekutuan.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.