Pas Enggan Lepas Kerusi Parlimen Jasin, Hasrat Akmal Saleh ke Parlimen PRU16 Tersekat
Hasrat Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh untuk beralih ke kerusi Parlimen Jasin pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dikatakan berdepan jalan buntu selepas Pas didakwa enggan melepaskan kerusi berkenaan kepada Umno.
Sumber dalaman yang mengetahui perkembangan rundingan kerusi itu berkata, pendirian Pas mempertahankan Parlimen Jasin menyebabkan Akmal kekal bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau kali ini.
Menurut sumber itu, kerusi Parlimen Jasin menjadi antara perkara yang berpotensi mencetuskan pertembungan kepentingan antara Umno dengan Pas, khususnya dalam usaha kedua-dua parti menentukan pembahagian kerusi sekiranya kerjasama politik mereka diteruskan pada PRU16.
Parlimen Jasin kini disandang wakil Pas, Zulkifli Ismail, manakala Akmal merupakan ADUN Merlimau dan Ketua Pemuda Umno.
Keengganan Pas memberikan laluan kepada Umno di Jasin, jika berterusan, dilihat mengehadkan pilihan Akmal untuk beralih ke Parlimen.
Untuk rekod, Umno gagal memenangi sebarang kerusi parlimen di Melaka.
Dilaporkan status Akmal sebagai Ketua Pemuda Umno sepatutnya menjadi Ahli Parlimen bagi memberi ruang kepadanya menjuarai isu-isu nasional.
Perkembangan itu juga meletakkan persoalan mengenai sejauh mana Umno dan Pas mampu mencapai persefahaman dalam pembahagian kerusi, terutama di kawasan yang menjadi kepentingan strategik kedua-dua parti.
Bagaimanapun, setakat ini belum ada pengesahan terbuka daripada Akmal, kepimpinan Umno atau Pas bahawa keputusan muktamad berkenaan status kerusi Parlimen Jasin pada PRU16.
Melihat kepada situasi di mana Akmal kekal bertanding di Dun Merlimau, ia memberi petunjuk bahawa rundingan pertukaran kerusi antara Umno dan Pas bertemu jalan buntu.
Parlimen Jasin merupakan satu-satunya di menangi Pas pada pilihan raya umum yang lalu. - Harapandaily




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.