https://critoxium.com/shop/

Terkini

Kematian Hassan Nasrallah sukarkan usaha tamat konflik di Asia Barat


Oleh Shahidah Abdul Razak -

Selepas hampir setahun rakyat Palestin 'dibantai' tentera rejim Zionis, kini peperangan berskala besar merebak ke Lubnan yang dikenali sebagai kubu kuat Hizbullah.

Israel terus mengganas mengebom sasaran awam Palestin dan baru-baru ini, Setiausaha Agung Hizbullah, Hassan Nasrallah terkorban akibat serangan rejim itu.

Pembunuhan rentas sempadan berlaku beberapa minggu selepas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dilaporkan akan membuat pembaharuan kepada badan dunia ini bagi memberikan nafas baharu dan berfungsi sepenuhnya tanpa prejudis kepada mana-mana negara.

Namun, dalam beberapa hari, tentera Israel bukan hanya menyerang penduduk di Gaza dan Tebing Barat, malah menceroboh kedaulatan Lubnan, berkemungkinan Iran juga akan terbabit dalam peperangan ini bagi membantu negara sekutu kuatnya.

Serangan demi serangan dilakukan tentera zionis tanpa rasa bersalah tetapi dunia masih membisu. Justeru, keadaan ini melorongkan jalan bagi rejim Zionis menyerang orang awam Palestin dan sasaran strategiknya atas alasan mahu mempertahankan 'kedaulatan negara' sedangkan ia sekadar satu bentuk penipuan bagi mengaburi mata dunia.

Terkini, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dan Naib Presiden, Kamala Harris bersatu nada di sebalik pembunuhan Hassan serta menyatakan kematian pemimpin itu adalah satu keadilan bagi pembunuhan ratusan rakyat AS selama lebih 40 tahun.

Bagaimanapun sifat kepura-puraan itu jelas terpampang kerana AS tetap menyalurkan segala bentuk kewangan, bantuan ketenteraan dan lain-lain lagi ke Israel walaupun berkempen mahu meredakan pergolakan di Asia Barat.

Apakah persamaan Hamas di Palestin dan Hizbullah di Lubnan? Kedua-dua gerakan ini dilabel sebagai kumpulan pengganas oleh AS dan pastinya, kematian Hassan sesuatu ditunggu-tunggu AS. Sehingga kini, Lubnan masih menjadi sasaran tentera Zionis dengan alasan bagi menghapuskan kumpulan Hizbullah.

Jelas di sini, undang-undang antarabangsa tidak terpakai di Asia Barat apabila ia membabitkan kepentingan AS yang menjadi proksi Israel. AS juga negara menentang keahlian Palestin di dalam PBB.

Walaupun Palestin diberikan status sebagai bukan ahli penuh dalam PBB, namun ia tidak memberikan apa-apa perubahan kepada perkembangan di Asia Barat selagi tiada tindakan tegas diambil badan dunia itu.

Peperangan di Asia Barat berkemungkinan akan merebak ke negara lain di rantau itu, selain Lubnan kini menjadi mangsa kepada hipokrasi Barat kononnya bertekad menangani konflik di Asia Barat.

Sebaliknya, perkembangan terbaharu ini menjadi peluang kepada Israel untuk meluaskan jajahan dan cengkaman mereka di Palestin serta Asia Barat dengan memberikan alasan cuba mempertahankan 'wilayah haram' dikuasai mereka dan 'memerangi keganasan' terhadap kumpulan dilabel sebagai pengganas oleh AS.

Berdasarkan perkembangan berlaku ini, tindakan tegas perlu diambil masyarakat dunia bagi menghentikan 'pengganas' sebenar, Israel yang jelas melanggar undang-undang antarabangsa dan segala macam konvensyen diputuskan PBB.

Atas faktor ini, amat bertepatan jika wujud cadangan untuk melakukan reformasi terhadap PBB terutama menambah baik fungsi badan dunia itu seperti memansuhkan kuasa veto tunggal lima kuasa besar dalam Majlis Keselamatan PBB (UNSC) dan menambah negara dalam PBB terdiri daripada beberapa benua.

Ketika ini, terdapat dua peperangan menjadi fokus kepada PBB iaitu di Palestin dan Ukraine. Cadangan penambahbaikan PBB ini dilaporkan akan dilaksanakan dalam masa setahun.

Namun, ia menjadi persoalan baharu, mampukah Palestin terus bertahan dalam keadaan terdesak ini menghadapi keganasan Israel dan peperangan pada skala lebih besar dijangka akan tercetus lagi selepas ini.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Seremban

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.