Nak senang, mereka main isu kaum
MUKADIMAH
SEBELUM ini, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok menggesa kerajaan menjadikan perkhidmatan awam lebih seimbang dari segi kaum selari dengan semangat Keluarga Malaysia.
Menurut Teresa, perkhidmatan awam didominasi orang Melayu sejak pengenalan Dasar Ekonomi Baru pada 1970, selain faktor struktur gaji yang rendah dan kurangnya peluang untuk kemajuan kerjaya antara faktor utama bukan bumiputera menyertai sektor swasta.
Namun, ia disanggah oleh Pengerusi Biro Publisiti MCA yang juga bekas calon Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) Parlimen Seputeh, CHAN QUIN ER yang tidak sependapat dengan Teresa berhubung perkara ini.
Dalam temu bual bersama wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID, Quin Er yang juga seorang peguam percaya isu perkauman dimainkan Teresa merupakan satu-satunya cara DAP untuk memenangi hati kaum Cina dalam PRU15 nanti.
Namun, Quin Er percaya rakyat semakin bijak menilai yang mana kaca, yang mana permata.
UTUSAN: Benarkah kerajaan tidak adil dengan mengutamakan kaum Melayu dalam sektor kerajaan seperti dinyatakan Teresa?
QUIN ER: Anda boleh lihat video yang di muat naik di TikTok berhubung
perkara ini. Dalam video tersebut, saya menyatakan secara terperinci
bersandarkan fakta dan data yang jelas. Teresa bangkitkan isu komposisi
kaum dalam perkhidmatan awam seolah-olah berlaku sentimen perkauman.
Tetapi peratusan orang Cina yang diterima masuk lebih tinggi iaitu
sebanyak 4.72 peratus.
Tengok peratusan Turus dan JUSA (Jawatan Utama Sektor Awam), iaitu pegawai awam pangkat tertinggi. Biarpun bilangan Cina dan India dalam sektor awam tidak tinggi, tapi peratusan dalam kalangan Cina dan India menggalakkan. Jadi, bagi saya tidak adil jika orang serkap jarang menyatakan berlaku perbezaan kaum ketara dalam sektor kerajaan.
Isu perkauman sebegini tidak sewajarnya berlaku dalam negara berbilang kaum. Ia tidak mendatangkan faedah bukan sahaja kepada rakyat, malah tidak membantu meningkatkan hala tuju negara. Kenyataan-kenyataan seperti inilah antara punca timbulnya perbalahan antara kaum.
Kenapa agaknya Teresa terdesak bermain isu ini?
Pada pandangan saya, mereka tiada modal yang lebih konkrit untuk
dibangkitkan selain daripada isu perkauman. Masih ada segelintir wakil
rakyat yang cuba memainkan isu perkauman ini kerana jelas tiada modal
untuk meraih simpati rakyat.
Saya faham jika sentimen perkauman disebut-sebut, ia akan menarik sokongan rakyat. Jika pembangkang nak main isu lain, mereka perlu kerja keras sikit. Jadi, sebagai jalan singkat untuk dapatkan sokongan rakyat, mereka gunakan isu perkauman. Tindakan ini pastinya amat mengecewakan kerana mampu memberi kesan kepada perpaduan dalam kalangan rakyat yang telah lama dipupuk.
Masih lagikah rakyat percaya dengan isu seperti ini?
Tidak dinafikan persepsi isu perkauman sedikit sebanyak memberi kesan
kepada masyarakat. Persepsi ini menjadi barah kerana adanya ahli politik
gunakan untuk kelangsungan politik mereka.
Banyak lagi isu boleh diketengahkan untuk mendapatkan sokongan dan undian. Kenapa mesti pilih isu yang boleh memecah belahkan kaum?
Adakah isu ini dibangkitkan kerana PRU15 tidak lama lagi?
Kalau mereka rasakan hanya itu satu-satunya cara untuk memenangi hati
kaum Cina pada PRU, saya pasti rakyat semakin bijak menilai.
Pengundi di Kuala Lumpur juga penyumbang kepada peningkatan ekonomi bandar dan negara. Mereka inilah yang menjadi teras kepada pembangunan dan hala tuju di Kuala Lumpur.
Oleh sebab itu, amatlah penting untuk mereka memperoleh seorang wakil rakyat yang berwibawa, berpandangan jauh dan yang memahami kebajikan serta aspirasi rakyat.
MCA walaupun berasaskan kaum Cina, tetapi kami membela dan memperjuangkan nasib semua kaum. Kami tidak sesekali menggunakan politik ekstrem untuk meraih undi kerana tidak mahu lihat masyarakat berpecah-belah dengan sentimen perkauman yang pastinya merugikan negara.
Kami di MCA bersama UMNO, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dalam Barisan Nasional (BN) konsisten dengan perjuangan untuk rakyat sejak dahulu lagi. BN yang berdiri teguh bersandarkan prinsip Perlembagaan Persekutuan dan nilai-nilai murni inilah yang menjadi asas kekuatan kita seiring kepelbagaian dalam negara majmuk.
Seperti menang sorak kampung tergadai, apa gunanya kita menang dengan cara tidak sihat menggunakan sentimen perkauman dan politik ekstremis tetapi masyarakat bergaduh dan negara menjadi tidak harmoni?
Adakah sokongan penduduk di Parlimen Seputeh masih berpihak kepada Teresa/DAP?
Lebih baik kita tunggu PRU akan datang sebab kita juga tak pasti beliau
masih berminat untuk bertanding atau tidak di Seputeh. Politik ini
sesuatu yang sukar untuk dijangka. Kita memerlukan sebuah kerajaan yang
stabil, efektif, efisien dan yang mengangkat integriti serta ketelusan.
Rakyat jemu dan muak dengan drama politik yang tiada berkesudahan. Mereka memerlukan seorang wakil rakyat yang layak dan berprestasi tinggi.
Anda akan kembali bertanding di Seputeh?
Jika diberi lagi kepercayaan sebagai calon, saya akan lakukan yang
terbaik tidak kira di kawasan mana pun. Namun, soal calon ini ditentukan
pucuk pimpinan parti dan ia masih belum dimuktamadkan.
Apa yang penting sekarang, dalam negara sedang beralih fasa ke endemik, kita perlu beri lebih perhatian untuk membangunkan semula ekonomi. Kurangkan berpolitik dengan tindakan tidak konkrit yang jelas tidak memberi apa-apa manfaat kepada rakyat dan negara.
Menjelang PRU15, semestinya saya mengharapkan rakyat dapat
mengembalikan semula mandat kepada BN untuk mentadbir negara. Sejarah
membuktikan BN mempunyai rekod pentadbiran yang sangat baik. BNlebih
realistik, sesuai dengan sifat politiknya yang dinamik. – UTUSAN
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.