https://critoxium.com/shop/

Terkini

Masa untuk jeda politik, bukan layan kemaruk kuasa


Pemuda PH menggesa semua parti di Malaysia melakukan jeda politik sebagai tanda tanggungjawab kepada negara ketika Malaysia berdepan tekanan ekonomi global yang semakin mencabar.

Krisis yang tercetus susulan perang AS-Iran dijangka memberi kesan besar kepada kedudukan fiskal negara, termasuk peningkatan mendadak tanggungan subsidi hampir 290% kepada RM58.4 bilion tahun ini berbanding unjuran asal RM15 bilion.

Walaupun kerajaan Madani sebelum ini berjaya menurunkan kadar defisit negara, ketegangan di Asia Barat kini mewujudkan tekanan baru yang tidak boleh dipandang ringan.

Dalam keadaan sebegini, kestabilan politik bukan lagi pilihan, tetapi keperluan.

Pemuda PH menyambut baik dan menyokong kenyataan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri merangkap Naib Presiden Umno, Johari Abdul Ghani, bahawa sekarang bukan masanya untuk bermain politik.

Kerajaan Madani perlu diberikan ruang secukupnya untuk mengemudi negara melalui kemelut ini.

Sebarang percaturan kuasa yang hanya menambah ketidaktentuan politik akan merugikan rakyat, pelabur dan ekonomi negara.

Pemuda PH menyeru semua pemimpin politik supaya mengetepikan kemaruk kuasa buat masa ini. Mandat yang diberikan rakyat bukan lesen untuk mencetuskan ketidaktentuan, tetapi amanah untuk mempertahankan kebajikan rakyat dan kestabilan ekonomi negara.

Di peringkat kerajaan, pelbagai langkah sedang dilaksanakan bagi memastikan ekonomi negara kekal mampan.

Penyelarasan subsidi petrol telah dibuat secara bersasar tanpa membebankan rakyat marhaen dan tanpa mencetuskan tekanan inflasi yang besar.

Kerajaan juga sedang menyusun semula perbelanjaan tidak kritikal tanpa menjejaskan perkhidmatan asas seperti kesihatan dan pendidikan.

Ini bukan masa untuk mencatur kuasa. Ini masa untuk menstabilkan negara.

Salam Hari Pekerja kepada seluruh rakyat Malaysia. Keringat andalah menjadi pasak utama kekuatan ekonomi negara.

AMMAR ATAN ialah Ketua Penerangan Pemuda PH merangkap Naib Ketua Pemuda Amanah Nasional.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.