https://critoxium.com/shop/

Terkini

Dilema kerusi Khaled, Hasni


Oleh Luqman Haziq 
Abdullah

 PILIHAN Raya Umum Ke-15 (PRU15) semakin dekat. Kini ramai ahli politik, khususnya para pemimpin tertinggi parti sedang mencongak di mana kerusi yang akan ditandingi, sama ada mempertahankan kerusi yang dimenangi pada PRU14 atau mencuba nasib di kawasan lain.

Dan yang paling utama, mampu memenanginya dalam usaha meneruskan karier politik masing-masing sama ada di peringkat negeri atau Parlimen.

Di Johor, di kerusi manakah dua pemimpin utama Barisan Nasional (BN), iaitu Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad bakal bertanding sering menjadi buah mulut ahli akar umbi.

Ads by Kiosked

Mohamed Khaled yang mengetuai UMNO Bahagian Pasir Gudang ‘dikaitkan’ dengan beberapa kerusi Parlimen.

Antaranya, sama ada kekal di kerusi Parlimen Pasir Gudang untuk merampas semula kerusi tersebut daripada PKR atau ‘berkelana’ ke tempat lain.

Jika bertanding semula di Pasir Gudang, Mohamed Khaled yang juga bekas Menteri Besar Johor pasti menghadapi pertandingan sengit untuk menewaskan Hassan Abdul Karim yang menewaskannya dengan majoriti 24,726 undi pada PRU14.

Andai bukan di Pasir Gudang, di mana beliau akan bertanding? Ada kedengaran ‘cakap-cakap politik’ Mohamed Khaled mungkin bertanding di kerusi Parlimen Johor Bahru atau Kota Tinggi.

Jika di Johor Bahru, beliau turut berdepan saingan sengit kerana menentang penyandang, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir yang menewaskan Tan Sri Shahrir Samad dengan majoriti besar iaitu 19,782 undi.

Namun, jika mencuba nasib di Kota Tinggi, Mohamed Khaled mungkin sedikit ‘lega’ kerana kerusi berkenaan pada masa ini disandang calon BN iaitu Datuk Halimah Mohamed Sadique. Tetapi, itu bukan jaminan beliau mampu memenangi dengan mudah kerana dikatakan bakal menghadapi saingan daripada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain yang ‘mengintai’ kerusi berkenaan pada PRU15.

Ads by Kiosked

Kelebihan yang ada pada Mohamed Khaled ialah beliau mungkin boleh ‘meminta’ untuk bertanding di kerusi yang diingini atas ‘lesen’ sebagai Naib Presiden UMNO.
Seperti Mohamed Khaled, Hasni turut ‘meneropong’ di mana kerusi Parlimen yang boleh ditandinginya kerana telah diberi ‘lampu hijau’ untuk bertanding di peringkat Parlimen setelah tidak dilantik semula sebagai Menteri Besar Johor walaupun cemerlang memimpin BN Johor menang besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Mac lalu.

Walaupun sebagai Ketua UMNO Bahagian Pontian, kerusi Parlimen Pontian ‘sudah dicop’ oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang juga timbalannya.

Kerusi tersebut boleh dikatakan ‘selamat’ dan siapa antara mereka yang bertanding di situ mampu memberi kemenangan kepada BN. Jika terus memberi peluang kepada Ahmad untuk bertanding di Pontian, Hasni dikatakan mungkin bertanding di kerusi ‘jirannya’ iaitu Parlimen Tanjung Piai.

Utusan Malaysia dimaklumkan, UMNO Bahagian Tanjung Piai memang mengalu-alukan kedatangan Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut ke kawasan tersebut dan bertekad memastikan beliau menang besar pada PRU15.

Namun, hanya ada satu halangan, UMNO harus mengadakan perbincangan dengan rakan sekutunya dalam BN iaitu MCA kerana kerusi Parlimen Tanjung Piai diwakili oleh Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng yang memenanginya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 2019.

Mungkin UMNO boleh mencadangkan supaya MCA diberi kerusi Simpang Renggam yang sebelum ini ditandingi oleh Gerakan yang kini tidak lagi bersama-sama BN.

Jika bukan di Pontian dan Tanjung Piai, mungkin Hasni boleh mencuba nasib di Parlimen Mersing dan pertembungan dengan penyandang, Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad pasti menjadi tumpuan ramai.

Apa pun, Mohamed Khaled dan Hasni kini pasti terus memantau kerusi yang bakal ditandingi pada PRU15. – UTUSAN

Keputusan PRU14 Parlimen Pasir Gudang
Hassan Abdul Karim (PKR) – 61,615 undi
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (BN) – 36,889 undi
Ab. Aziz Abdullah (Pas) – 6,278 undi
Chee Jock (Bebas) – 227 undi
Majoriti: 24,726 undi –

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.