Kacau ganggu politik ekstrem di media sosial ibarat panah beracun
Oleh Prof Madya Dr Mohd Azhar Abd Hamid
PADA era norma baharu ini, tidak keterlaluan jika dikatakan media sosial adalah komponen pelengkap kepada amalan demokrasi kerana fungsinya menggalakkan kebebasan bersuara dan berpendapat. Dalam sudut positif, media sosial menggalakkan warganegara cakna terhadap pembangunan dan kemampanan negara.
Semakin luas ruang demokrasi dan pembabitan awam akan meningkatkan lagi amalan demokrasi matang, sekali gus meningkatkan keyakinan rakyat terhadap tatakelola kerajaan.
Media sosial sebagai ruang awam demokratik seharus dimanfaatkan rakyat secara beretika dan beradab. Jika ruang demokratik ini disalah guna sehingga ke tahap sedang berlaku kini, ia akan mengganggu kelancaran pentadbiran, pengurusan dan pembangunan negara.
Dalam konteks politik pembangunan, kacau ganggu politik di media sosial boleh memberi kesan positif kepada rakyat. Menerusi media sosial, kacau ganggu positif memberi tekanan kepada kerajaan mengubah dasar dan tindakannya supaya memenuhi aspirasi rakyat.
Bagaimanapun, secara literal konsep kacau ganggu membawa konotasi negatif apatah lagi dalam konteks politik. Kacau ganggu menerusi media sosial boleh mempengaruhi sistem dan struktur sedia ada, kadangkala dengan cara tidak terduga atau dramatik seperti berlakunya protes provokasi, demonstrasi dan anarki dalam negara.
Dalam konteks politik kenegaraan, kacau ganggu merujuk pada perbuatan dan tindakan dilakukan individu atau parti tertentu boleh menyebabkan perubahan mendadak atau gangguan terhadap struktur sosial atau politik.
Peristiwa 'tebuk atap' pada 2020 adalah contoh kesan akhir daripada gerakan kacau ganggu dalam negara, menyumbang terhadap perubahan struktur dan kestabilan politik negara.
Maka, pada zaman digital ini, media sosial adalah instrumen terbaik dan berkesan untuk mengumpul serta mempengaruhi pemikiran pengikut dan rakyat secara kreatif. Ia bukan sahaja murah, malah cepat dan tepat kepada kumpulan sasaran.
Media sosial mampu memainkan peranan sebagai medium berkesan dalam memacu kacau ganggu terhadap mana-mana kerajaan di dunia ini.
Celik politik dan demokrasi diamalkan di negara maju menjadikan kacau ganggu di media sosial terkawal dan tidak ekstrem.
Sebaliknya, di negara membangun seperti Malaysia, kacau ganggu di media sosial mengubah landskap politik negara dan berupaya menjatuhkan kerajaan.
Kekalutan politik antara 2018 hingga akhir 2022 lalu menyebabkan berlaku tukar ganti kerajaan dan Perdana Menteri, bukti suburnya kacau ganggu politik di media sosial.
Pusat lambakan maklumat segera
Menerusi platform media sosial, individu atau kelompok berkepentingan politik menghamburkan apa sahaja terbuku di fikiran dan sanubari tanpa sekatan. Media sosial adalah pusat lambakan maklumat segera menggamit sesiapa sahaja menikmatinya.
Maklumat benar atau salah, fakta atau auta bukan lagi menjadi pertimbangan waras segelintir individu dan parti. Amalan politik nilai tidak lagi dipedulikan dan kacau ganggu berbaur fitnah, hasutan dan kecaman di media sosial menjadi modus operandi berkesan untuk mencapai cita-cita politik peribadi dan parti.
Kacau ganggu politik di media sosial yang berlebihan dan melampau mewujudkan situasi tidak aman dan stabil kepada negara. Hal ini terjadi apabila media sosial diguna bagi mewujudkan situasi kekacauan, sekali gus menjatuhkan kerajaan secara tidak demokratik.
Sejak 2018, kacau ganggu politik di media sosial tidak pernah bernoktah. Sesiapapun menguasai kerajaan akan berdepan kacau ganggu. Apa sahaja maklumat dan data diumumkan kerajaan diherotkan pembangkang di media sosial.
Naratif kerajaan berbohong, tidak bertanggungjawab dan scammer rakyat sentiasa disumbat benak penyokong dan rakyat. Kacau ganggu ekstrem turut memburukkan peribadi dan melaknat lawan politik menerusi doa qunut nazilah.
Dalam konteks demokrasi, fenomena kacau ganggu di media sosial yang melampau dan berlebihan akan merugikan kerajaan, apatah lagi kepada rakyat kerana berlaku lambakan maklumat salah, propaganda atau berita palsu.
Justeru, Kerajaan Perpaduan berusia hampir 24 bulan ini menyedari kacau ganggu di media sosial khususnya daripada pembangkang dan pengikutnya bagaikan 'panah beracun' boleh melemahkan demokrasi dan pada masa sama memendekkan hayat kerajaan.
Situasi kacau ganggu politik di media sosial yang melampau ini bertentangan dengan etika, falsafah dan amalan demokrasi. Kacau ganggu tidak terkendali ini boleh memecahbelahkan masyarakat dengan politik kepartian ekstrem.
Namun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak lelah mengingatkan rakyat, pengikut dan parti khasnya pembangkang supaya bersama membangunkan negara dengan idea dan mengkritik secara membina.
Kerajaan Perpaduan dalam hal ini amat terbuka dan sentiasa membuka ruang dialog serta perbincangan kepada sesiapa sahaja termasuk pembangkang.
Namun kacau ganggu keterlaluan merosakkan kestabilan dan kemakmuran hidup rakyat. Kacau ganggu di media sosial tanpa had masa ini juga memburukkan lagi polarisasi politik dan sosial yang sudah sedia buruk.
Isu sensitif seperti 3R (Raja, kaum dan agama) dan apa juga isu berkepentingan negara akan sentiasa dikacau ganggu oleh individu dan parti politik tidak berintegriti demi merebut kuasa.
Atas segala kesan negatif yang timbul daripada kacau ganggu politik di media sosial ini, amat wajar kerajaan memberi perhatian dalam menguruskannya secara berhemah, tegas dan demokratik.
Kerajaan perlu berhati-hati menguruskan perbezaan pandangan politik ini. Mengelola dan mengatasi kacau ganggu politik di media sosial penting untuk menjaga kestabilan, amalan dan kelangsungan demokrasi bernegara.
Dalam hal ini, kerajaan perlu berpegang kepada enam rukun Malaysia MADANI bagi mewujudkan amalan politik berintegriti dan demokratik supaya rakyat mencapai kematangan politik seimbang.
Ini boleh dilakukan menerusi meningkatkan literasi media dan digital, memperkukuh tindakan undang-undang di platform digital, terutama media sosial.
Pemimpin pembangkang juga harus menunjukkan model dan contoh ikutan berkualiti kepada rakyat, menjauhi tindakan kacau ganggu negatif di mana-mana platform media sosial walaupun atas nama kebebasan bersuara.
Penulis adalah Penyelidik di Kumpulan Penyelidikan Kenegaraan dan Kesejahteraan Sosial, Universiti Teknologi Malaysia
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.