https://critoxium.com/shop/

Terkini

Pertingkat kefahaman tauhid benteng terpengaruh relativisme


Oleh Dr Halimi Mohd Khalid

KESIBUKAN dan keghairahan melalui kehidupan dunia tidak bertunjangkan kepada rasa ketauhidan kukuh kepada Yang Maha Esa menyebabkan kehidupan manusia kian menderita.

Meskipun dilimpahi dengan pelbagai bentuk kesenangan dan kemewahan, namun ketiadaan hala tuju jelas menyebabkan manusia terkapai-kapai kelemasan dalam arus kehidupan semakin mencabar dan kompleks.

Arus pemikiran pasca modenisme membawa bersama budaya pemikiran relativisme menjadikan fitrah asal kejadian manusia menyimpang daripada matlamat asal seperti ditetapkan Allah SWT. Nilai ketaatan dan rasa tawaduk hamba kepada Maha Mencipta semakin menipis.

Relativisme adalah aliran pemikiran mengangkat logik akal dalam menentukan kebenaran. Relativisme antara aliran pemikiran menafikan dakwaan terhadap objektiviti dalam domain tertentu dan menegaskan penilaian dalam domain itu adalah relatif kepada perspektif seseorang pemerhati atau mengikut konteks ia dinilai

Oleh kerana itu tiada kebenaran mutlak bagi pemegang fahaman ini kerana piawaian digunakan untuk mengukur kebenaran berpandukan pandangan dan pertimbangan akal semata-mata.

Aliran pemikiran berasaskan relativisme bermula sekitar abad ke-19 di Eropah berikutan timbul begitu banyak pemikiran berkaitan politik, ekonomi, falsafah, kebudayaan dan kemasyarakatan.

Berpandangan tiada fahaman ada kebenaran mutlak

Fenomena ini menyebabkan beberapa ahli falsafah berpengaruh ketika itu mengatakan tidak ada satu pun fahaman mengandungi kebenaran secara mutlak.

Setiap satu mempunyai pelbagai kekurangan dan kelemahan tersendiri. Relativisme digunakan sebagai 'senjata' melawan sistem pemerintahan dan ideologi bersifat absolutisme.

Golongan ini berpegang kepada pendirian berasaskan pandangan bersahaja asalkan dapat memenuhi cita-cita dan keinginan diimpikan.

Mereka tidak mahu menerima kepercayaan dan pandangan hidup sukar dilaksanakan walaupun pandangan itu mempunyai asas kukuh, mengandungi kebenaran termasuk aspek etika, moral dan keagamaan.

Relativisme membenihkan rasa kekeliruan dan kecelaruan manusia dalam menentukan kebenaran. Asas ilmu menjadi rapuh. Manusia cenderung berpegang kepada kekuatan rasional akal untuk membuat keputusan berasaskan pengakuan individu berbanding berusaha mencari hujah tepat bagi menentukan kebenaran.

Akibatnya kebenaran akan ditutupi dengan kepalsuan. Manusia akan berasa lelah dan bosan kerana tenggelam dalam situasi tidak berpijak pada sandaran kukuh. Daya gerak untuk mencari hujah semakin luntur.

Maka manusia mula mencipta pemikiran masing masing apabila mendepani sesuatu isu dan membuat kenyataan mengikut selera dan kecenderungan sendiri.

Dua fungsi akal, renung alam

Akal adalah anugerah teristimewa daripada Pencipta kepada makhluk bergelar insan. Akal sifatnya diciptakan dan bukan menciptakan.

Oleh itu, ia tertakluk kepada peraturan Penciptanya. Allah SWT menjadikan bersama akal pelbagai peranan dan fungsi.

Antaranya sebagaimana firman Allah SWT pada Surah al-Imran ayat 190-191 bermaksud: "Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, silih berganti malam dan siang terdapat tanda bagi orang berakal, iaitu orang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha suci Engkau. Peliharalah kami daripada azab neraka."

Berdasarkan mafhum ayat di atas dapat difahami terdapat dua tahap fungsi akal. Pada peringkat pertama, akal berperanan merenung, memikir dan mengkaji alam semesta. Seterusnya akal akan pergi ke peringkat kedua iaitu memikirkan siapa menciptakan alam ini.

Namun begitu, implikasi tersebar luasnya ideologi sekularisme, maka boleh dikatakan majoriti peranan akal itu terhenti di peringkat pertama sahaja.

Manusia berusaha keras untuk mengkaji alam semesta seperti daratan, lautan mahupun angkasa lepas untuk memenuhi keperluan kehidupan namun usaha dilakukan serta ilmu pengetahuan diperoleh tidak sama sekali dikaitkan dengan aspek ketuhanan.

Memahami maksud tercatat dalam Surah ar-Rum, ayat 41 bermaksud: "Timbul pelbagai kerosakan dan bencana di darat dan di laut dengan sebab apa dilakukan tangan manusia; (timbulnya demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian balasan perbuatan buruk mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)."

Akal perlu panduan agama, elak turuti nafsu

Ini membuatkan kita menyedari akal dibiarkan berfikir melampaui hadnya dan beroperasi sendirian tanpa dibimbing panduan agama akan menjadi akal menuruti hawa nafsu, boleh membawa manusia kepada kehancuran dan kebinasaan.

Mengembalikan peranan akal kepada fitrah asal kejadiannya adalah antara perkara mampu mengembalikan keharmonian dalam ekosistem kehidupan manusia dari segi jasmani, emosi, rohani dan daya keintelektualan.

Kegagalan manusia berasimilasi dengan kehidupan bertunjangkan tauhid menjadikan manusia tewas menguruskan kehidupan sama ada ketika berhadapan ujian atau dugaan.

Menyedari hakikat ini maka aliran pemikiran relativisme yang semakin kuat mencengkam pemikiran manusia pada masa kini perlu dicairkan sedikit demi sedikit dengan kaedah membina daya pemikiran mempunyai elemen keseimbangan.

Nilai agama dan rasa bertuhan perlu disuburkan dalam melaksanakan fungsi akal supaya ia selari dengan tuntutan digariskan Maha Menciptakan.

Penulis adalah Pensyarah Jabatan Pengajian Islam, Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.