Jangan Pertahan Papan Tanda Perpaduan, Tetapi Runtuhkan Bangunan Perpaduan
1.Kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bahawa pentadbiran negara mesti terus dirujuk sebagai Kerajaan Perpaduan Malaysia, bukan Kerajaan MADANI, menimbulkan satu persoalan mudah:
2.Selama hampir empat tahun ini, UMNO Pi mana?.Tidur ka?.
Sepanjang tempoh ini, istilah Kerajaan Perpaduan dan Kerajaan MADANI digunakan silih berganti dalam ucapan, kenyataan rasmi dan program kerajaan.
Kerajaan tetap berjalan. Kabinet tetap bermesyuarat. Menteri-menteri dari semua parti komponen tetap menjalankan tugas.
Rakyat pula tidak pernah bangun pagi bertanya:
“Hari ini kerajaan dipanggil Kerajaan Perpaduan atau Kerajaan MADANI?”
Rakyat lebih sibuk bertanya:
Harga barang bagaimana? Ekonomi bagaimana? Pekerjaan bagaimana? Subsidi sampai kepada siapa? Sekolah, hospital, jalan raya dan kebajikan rakyat bagaimana?.
3.Jadi janganlah kita menjadikan jenama kerajaan sebagai isu negara, sedangkan rakyat sedang menunggu hasil dan penyelesaian masalah kehidupan mereka.Ini yang sedang di usahakan oleh PMX untuk memperkukuhkan ekonomi,menarik pelaburan dan menyediakan peluang pekerjaan.
Kalau benar UMNO sayangkan Kerajaan Perpaduan, jangan robek perpaduannya
Saya lebih hairan apabila UMNO begitu bersungguh mempertahankan nama panggilan Kerajaan Perpaduan, tetapi pada masa yang sama pemimpin UMNO sendiri tampil menyerang kerajaan yang mereka sendiri menjadi sebahagian daripadanya.
Pagi duduk dalam Kabinet, petang pertahankan kerajaan, malam naik pentas parti untuk menyindir dan memperlekeh kerajaan sendiri.
Itu mahu dipanggil apa?
4.Jangan sibuk mengeja perkataan PERPADUAN kalau dalam masa yang sama kita sendiri sedang mengoyakkan kain perpaduan.
Kalau benar mahu menjaga semangat Kerajaan Perpaduan, maka yang perlu dijaga bukan sekadar nama, tetapi semangat, tanggungjawab dan kesepakatan dalam membuat keputusan.
5.Kalau tidak bersetuju dengan sesuatu dasar kerajaan, bincang dalam Kabinet.
Kalau ada cadangan lebih baik, kemukakan dalam Kabinet.
Kalau keputusan sudah dibuat , pikul tanggungjawab bersama.
6.Jangan apabila keputusan itu berjaya, semua mahu berkongsi kredit; apabila keputusan itu sukar atau tidak popular, Perdana Menteri seorang pula dijadikan sasaran.
Jangan jadi seperti orang yang pecahkan kendi, kemudian sibuk bergaduh tentang warna kendi.
7.UMNO tidak perlu terlalu sensitif tentang istilah Kerajaan MADANI. MADANI bukan nama parti. MADANI ialah gagasan dan pendekatan pemerintahan yang diperkenalkan untuk membawa nilai seperti kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan dalam pentadbiran negara.
Kerajaan Perpaduan ialah wadah politik. MADANI ialah kerangka dan gagasan pentadbiran.
Kedua-duanya tidak perlu Dipertentangkan.
8.Kalau mahu menyebut Kerajaan Perpaduan MADANI, sebutlah.
Kalau mahu menyebut Kerajaan MADANI, sebutlah.
Yang penting rakyat mendapat kerajaan yang bekerja.
Rakyat tidak makan jenama
Rakyat tidak makan nama kerajaan. Rakyat makan hasil kerajaan.
Rakyat tidak membayar bil dengan perkataan “Perpaduan”.
Rakyat tidak membeli barang dapur dengan perkataan “MADANI”.
Rakyat mahu pendapatan meningkat, kos hidup terkawal, ekonomi berkembang, rasuah dibanteras dan masa depan anak-anak mereka terjamin.
Itulah ukuran sebenar kerajaan.
9.Sebab itu saya melihat perbahasan mengenai nama kerajaan ini sebagai perkara kecil yang dibesarkan, sedangkan perkara besar yang rakyat mahu kita bincangkan ialah bagaimana kerajaan boleh terus memberikan hasil yang lebih baik.
Kerajaan ini bukan kerajaan satu parti.
Tetapi kerana ia kerajaan banyak parti, maka semua parti yang berada di dalamnya mempunyai tanggungjawab bersama.Termasuk UMNO.
10.Maka saya ingin bertanya kepada UMNO:
Kalau benar mahu mempertahankan Kerajaan Perpaduan, mengapa menyerang kerajaan sendiri?
Kalau benar mahu menjaga perpaduan, mengapa setiap perkara remeh dijadikan modal politik parti?.
Kalau benar mahu menghormati perjanjian, mengapa semangat bekerjasama pula dipersoalkan setiap kali masuk musim politik pilihanraya?.
11.Jangan pertahankan papan tanda tetapi robohkan bangunannya.
Itulah yang rakyat akan lihat sebagai tidak konsisten.
Akhirnya, saya ingin mengingatkan UMNO: “Perpaduan bukan pada apa yang tertulis di papan tanda. Perpaduan terlihat pada bagaimana kita duduk semeja, membuat keputusan dan memikul tanggungjawab bersama.”
12.Kalau benar mahu Kerajaan Perpaduan, jangan hanya pertahankan namanya. Pertahankan perpaduannya.
Jangan hanya sebut “Kerajaan Perpaduan” dengan lidah, tetapi dengan tangan sendiri pula merobek perpaduan tersebut.
Rakyat sudah matang. Mereka tidak mahu pemimpin bergaduh tentang nama kerajaan. Mereka mahu pemimpin bekerja untuk kehidupan mereka.
MAHFUZ OMAR NAIB PRESIDEN PARTI AMANAH NEGARA AHAD 13 SEPT 2026 BANDARAYA ALOR SETAR KEDAH DARULAMAN.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.