https://critoxium.com/shop/

Terkini

RCI Batu Puteh jadi peringatan kewajipan pertahan tanah air


Oleh Nazmi Yaakub -

KEHILANGAN kedaulatan wilayah, walaupun sekadar pulau kecil atau batuan, tidak boleh dianggap remeh. Ia meninggalkan kesan mendalam kepada sesebuah negara, baik dari segi geopolitik mahupun psikologi rakyatnya.

Malah, bukan sedikit kita menyaksikan perebutan pulau antara dua negara atau mungkin kuasa besar dan negara dunia ketiga.

Antara paling keras tentu sekali perebutan Pulau Falklands antara Argentina dan United Kingdom (UK) yang bukan sahaja membawa kepada konflik panjang, bahkan mencetuskan Perang Falklands berlanjutan 10 minggu pada 1982.

Perang itu berakhir bukan sahaja selepas mengorbankan 649 tentera Argentina dan 255 askar British serta tiga orang awam, bahkan Argentina melalui episod pahit apabila terpaksa menyerahkannya kepada penguasaan UK.

Malaysia turut mengalami peristiwa sebegitu meskipun tidak membawa kepada pertikaian bersenjata, tetapi kehilangan kedaulatan Batu Puteh kepada Singapura tetap menjadi episod pahit kepada negara.

Walaupun Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 23 Mei 2008 memutuskan hak kedaulatan Batu Puteh diberikan kepada Singapura, manakala Batuan Tengah dan Tubir Selatan kepada Malaysia, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Kabinetnya bersetuju untuk Malaysia memfailkan Permohonan Semakan berdasarkan penemuan tiga fakta (dokumen baharu) penting.

Malangnya apabila kerajaan berubah selepas Pilihan Raya Ke-14 (PRU14), kita tidak mempertahankannya hingga ke garisan penamat kerana bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menerusi surat bertarikh 21 Mei 2018 kepada Peguam Cara Negara, Datuk Engku Nor Faizah mengemukakan pendapat beliau usaha berkaitan Permohonan Semakan dan Permohonan Tafsiran tidak perlu diteruskan.

Ya, sesiapa sahaja boleh mengemukakan pandangan bahawa hujah kita sebenarnya tidak kuat, tetapi hakikatnya ia tidak diperdebat terlebih dahulu di pentas sepatutnya, iaitu di hadapan panel hakim ICJ. Ini bermakna, kita sudah mengangkat bendera putih meskipun kita masih ada 'peluru' yang boleh digunakan.

Justeru, tindakan kerajaan di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menubuhkan Pasukan Petugas Khas Semakan Undang-Undang Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan adalah tepat.

Ismail Sabri memaklumkan terdapat kemungkinan kecuaian dan kekhilafan Dr Mahathir apabila Malaysia terlepas peluang untuk memfailkan permohonan semakan.

Susulan itu, kerajaan baharu di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Untuk Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Hasilnya, laporan RCI yang turut dibentangkan di Parlimen menimbulkan persoalan penting mengenai proses membuat keputusan berkaitan isu sebesar kedaulatan negara.

Antara perkara mencuri perhatian ialah keputusan menarik balik semakan dan tafsiran penghakiman ICJ dibuat Dr Mahathir dimaklumkan kepada Singapura sebelum Mesyuarat Jemaah Menteri berlangsung. Ia mencetuskan tanda tanya besar: mengapa keputusan sepenting ini dibuat tanpa melalui proses perbincangan rasmi dalam Jemaah Menteri?

Timbul persoalan kewajaran keputusan Tun M

Ia menimbulkan persoalan apakah wajar Dr Mahathir 'mengambil' tanggungjawab itu secara sendirian tanpa berbincang dengan anggota Kabinet yang antara lain mempunyai menteri berpengalaman dalam hal berkaitan undang-undang dan hubungan antarabangsa supaya ia menatijahkan pertimbangan teliti.

Apatah lagi, proses membuat keputusan yang lebih telus dan kolektif pasti dapat mengukuhkan asas keputusan berkenaan, sekali gus mengelakkan rasa sangsi dan salah faham, lebih penting kedudukan Batu Puteh yang strategik terlepas buat selama-lamanya.

Hakikatnya, apa berlaku dengan Batu Puteh menjadi peringatan penting mengenai betapa seriusnya isu kedaulatan. Anwar sendiri pada Ogos lalu pernah menyatakan kehilangan wilayah, walaupun sekecil mana, adalah sesuatu tidak boleh diterima.

Ia bukan sahaja boleh membayangkan kelalaian, tetapi juga melemahkan keyakinan rakyat terhadap kemampuan negara mempertahankan haknya.

Justeru, adalah wajar kerajaan menimbang cadangan RCI termasuk siasatan lanjut. Ini bukan soal mencari salah, tetapi usaha memastikan ketelusan dan akauntabiliti dalam proses pentadbiran. Jika ada unsur kelemahan atau kecuaian perlu diperbetulkan supaya tidak berulang, manakala jika ada unsur tidak sepatutnya, keadilan perlu ditegakkan.

Namun, proses ini perlu berjalan tanpa dipengaruhi emosi atau tekanan politik. Sebagai negara berpegang kepada prinsip kedaulatan undang-undang, sebarang tindakan mesti dilakukan secara profesional, berdasarkan fakta dan bukti kukuh. Hanya dengan cara ini, kepercayaan rakyat terhadap institusi negara dapat diperkukuhkan.

Realitinya, episod kehilangan Batu Puteh ini perlu menjadi pengajaran penting kepada kerajaan dalam menguruskan isu kedaulatan pada masa hadapan. Malaysia masih berdepan tuntutan bertindih di beberapa kawasan lain dan setiap langkah diambil perlu lebih berhati-hati.

Batu Puteh bukan sekadar isu kedaulatan, ia mencerminkan maruah dan hak negara. Kehilangan ini mesti menjadi peringatan kepada kita semua tidak kira pemimpin mahupun rakyat terhadap kepentingan mempertahankan setiap inci tanah air dengan penuh tanggungjawab.

Episod ini, meskipun pahit, adalah peluang memperbaiki kelemahan. Kita tidak mampu lagi mengulangi kesilapan sama, apatah lagi dalam dunia semakin kompleks dan mencabar.

Penulis adalah Pengarang Berita (Rencana) BH

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.