https://critoxium.com/shop/

Terkini

Syria dalam liku-liku tipu helah Israel dan Amerika


Oleh MOHD MIZAN ASLAM

Dunia dikejutkan dengan kejatuhan rejim Bashar Al-Assad pada 8 Disember. Kejatuhan yang sudah lama dirancang oleh Israel, Amerika dan Turki atas kepentingan masing-masing.

Tanpa menafikan rejim dari keluarga Bashar al-Assad dan parti Baath yang sudah berkuasa sejak 1971 juga terlibat dalam banyak perkara yang menjadikan rakyat Syria membenci kepimpinannya, dalam masa yang sama harus juga difikirkan siapakah yang membenarkan semua ini terjadi.

Rancangan menjatuhkan Assad bermula sejak 2011 apabila kebangkitan Arab Spring yang direncanakan Israel terhenti di Mesir, Libya dan Tunisia. Bashar al-Assad bersama sekutunya dari Rusia

Syria yang merupakan antara sasaran utama Israel gagal ditumbangkan oleh kerana bantuan yang Rusia dan Iran.

Akhirnya, apabila Israel terpaksa memulakan rentak kedua pada 7 Oktober 2023 dengan menyerang Palestin diikuti Iraq, Yaman, Lubnan, Mesir dan juga Syria.

Usaha keras Israel untuk membawa Asia Barat ke dalam kancah peperangan masih belum terhasil, tetapi dengan menumbangkan Presiden Assad, bermakna usaha mereka sudah berhasil.

Inilah nasib yang menimpa siapa sahaja di Asia Barat dan negara di sekitar Israel. Apabila mereka tidak tunduk kepada Israel, maka mereka akan digulingkan dan negara mereka akan dihancurkan sebagaimana yang berlaku ke atas Saddam Hussein, Muammar Gaddafi, Ismail Haniyeh, Hassan Nasrallah, Ebrahim Issi dan Yahya Sinwar.

Seronok sementara

Hari ini, rata-rata masyarakat di Syria meraikan kejatuhan Assad dengan menari, dan bernyanyi kegembiraan.

Patung Assad dihancurkan, gambar-gambar Assad dirosakkan, kediaman rasmi dicerobohi dan sebagainya. Akan tetapi sebenarnya tanpa disedari malapetaka lain sedang menanti Syria.

Lihatlah apa yang berlaku Iraq dan Afghanistan. Apabila kerajaan sedia ada ditumbangkan, masyarakat akan hidup dalam kekacauan akibat dari kecelaruan politik, aktiviti jenayah dan terorisme.

Malah yang lebih parah lagi hingga boleh mencetuskan perang saudara. Penulis di Syria semasa pentabiran Al-Assad

Dalam pengalaman saya berada di Iraq baru-baru ini, jelas sekali negara tersebut tidak berada dalam keadaan yang baik, semua aspek legal dan pentadbiran hinggakan peraturan jalan raya juga tidak dipatuhi lagi.

Kumpulan-kumpulan pemberontak kecil yang dibiayai oleh kartel penyeludupan serta didanai oleh Barat terus melakukan serangan ke atas pasukan keselamatan demi menguasai telaga-telaga minyak bagi pasaran gelap.

Keadaan ini juga sudah lama berlaku apabila kumpulan PKK/YPG yang didanai oleh Amerika menguasai kawasan minyak di Hasakeh dengan nilai jualan mencecah AS$2.5 billion.

Keadaan yang sama dilihat akan berlaku apabila kekayaan hasil bumi Syria akan terus dikuasai oleh kumpulan teroris ciptaan Barat ini.

Rakyat Syria juga bakal berdepan dengan perebutan kuasa antara kumpulan-kumpulan pemberontak yang ingin menduduki tampuk pemerintahan.

Muhammad Jawlani @ Jolani adalah pimpinan utama HTS (Hai’at Tahrir As-Syami), kumpulan pemberontak/teroris utama di Syria yang dijangka akan menjadi presiden baru menggantikan Assad.

Siapakah beliau? Adakah beliau seorang pemimpin yang berkemampuan untuk menyatukan pelbagai kabilah dan fahaman di Syria?

Dan yang paling penting beliau perlu mampu mendapatkan sokongan dari pimpinan Ahrar As-Syami, Syrian Islamic Liberation Front, Islamic Front dan YPG.

Tanpa sokongan dan laba bagi kumpulan ini, politik Syria bakal berada dalam kekacauan. Inilah yang dihasratkan oleh Israel dan musuh-musuh Syria yang mengingini negara tersebut berada dalam keadaan huru-hara agar kepentingan mereka tidak terganggu.

Inilah sebahagian dari dasar pecah dan perintah yang mana ideologinya dibawa sejak era kolonial hingga sekarang.

Mana-mana negara yang tidak menjaga kepentingan Israel dan Amerika pasti akan ipecah-pecahkan dan seterusnya dicipta konflik bagi mereka terus menguasai segala kepentingan di negara tersebut.

Penjajahan Israel

Dalam masa yang sangat-sangat cepat, memang sepertinya sudah dirancang, tiba-tiba sahaja Israel masuk ke sempadan di sebelah Bukit Golan dan menguasai kawasan Quneitfa dan sekitar 115km ke ara Damsyik.

Jelas penaklukan ini memberikan kelebihan yang tiada taranya bagi Israel untuk membedil Damsyik pada masa-masa yang akan datang.

Rata-rata media naratif Barat meletakkan tajuk Israel menguasai Bukit Golan dan membina buffer zone di sempadan Israel/Syria.

Perjanjian tahun 1974 yang memboleh Syria mengambil semula Bukit Golan telah dibatalkan oleh Netanyahu dengan kejatuhan Assad.

Lihat betapa liciknya Israel untuk meneruskan penjajahan di Asia Barat melalui Syria.

Walaupun media Barat mengatakannya sebagai penguasaan sempadan, tetapi hakikatnya ini adalah penjajahan.

Sebagaimana istilah occupied land yang disebar luaskan ke seluruh alam maya ini, tapi hakikatnya adalah penjajahan oleh Israel ke atas Palestin dan Lubnan.

Malah yang lebih menyakitkan hati lagi ialah apabila sekurang-kurangnya 50 buah pangkalan tentera Syria yang berada di pelbagai kawasan di negara tersebut diserang oleh pesawat Israel.

Jelas ini adalah usaha untuk melumpuhkan sistem pertahanan Syria dan menjadikan negara tersebut hanya memiliki senjata asas yang tidak mampu menggugat langsung Israel.

Lubnan dan Palestin yang berada di sempadan terus dengan Israel tidak dibenarkan memiliki pesawat pejuang, akan tetapi Syria terkecuali.

Tetapi selepas ini saya percaya pelbagai sekatan akan dikenakan ke atas Syria agar mereka tidak mampu memiliki system pertahanan udara yang boleh mengancam Israel. Jelas permainan Israel sangat licik.

Teroris kuasai Syria

HTS adalah kumpulan teroris yang dimasukkan dalam senarai Pentagon dan CIA. Tetapi hari ini kumpulan ini dipuja dan dijulang. Once terrorist always terrorist (sekali pengganas sentiasa pengganas) itu yang sepatutnya. Tetapi tidak bagi Amerika dan sekutunya, ikut sedap mereka nak mengkategorikan sesuatu kumpulan atau seseorang itu dalam kumpulan teroris atau tidak.

Pemimpin utama HTS, Jolani bernilai AS$10juta, tetapi hari ini beliau diiktiraf pejuang pembebasan rakyat Syria.

Malah naratif media Barat tidak lagi menggelar Jolani sebagai teroris, beliau disebut extremis. Licik permainan Amerika/Barat/Israel demi kelangsungan empayar colonial supremacy mereka.

Selepas ini beberapa kumpulan teroris akan didanai oleh Amerika dan sekutunya bagi mengucar-ngacirkan situasi di Syria sebagaimana di Iraq dan Afghanistan.

Negara ini akan dibiarkan bertelagah sesama sendiri, berbunuhan sesama sendiri. Akan tetapi pada masa yang sama Israel akan terus melakukan penjajahan dan penguasaan ke atas Syria dan akan berkembang ke kawasan lainnya di Asia Barat.

Amerika sebagai proksi Israel pula akan masuk menguasai kekayaan sumber alam Syria termasuk minyak.

Jalan terakhir untuk keamanan di Syria ini adalah dengan berdamai secara menormalisasikan hubungan diplomatic dengan Israel.

Membenarkan ekonomi mereka dijarah oleh Amerika dan jangan berkata ‘tidak’ terhadap apa sahaja yang diminta oleh Israel dan Amerika.

Saya pernah masuk ke Syria melalui laluan yang dikuasai HTS mahupun rejim Assad, jelas sekali mereka perlu persetankan kedaulatan, lupakan segala prinsip, jadilah ‘barua’ kepada Israel.

Itulah jalan untuk Syria hidup aman dan damai sebagaimana UAE dan Saudi Arabia.

Inilah kononnya harga sebuah kemerdekaan, dibuai dengan keseronokan sementara tetapi penderitaan berpanjangan menanti.

MOHD MIZAN ASLAM berkhidmat sebagai profesor pengajian strategi, keselamatan dan pertahanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.