Pengurusan hutang negara teratur pelihara kedaulatan ekonomi
Oleh Dr Abu Sufian Abu Bakar
HUTANG negara sering menjadi topik perbincangan hangat dalam kalangan masyarakat Malaysia. Bagi kebanyakan rakyat biasa, konsep hutang negara mungkin kelihatan abstrak dan sukar difahami.
Ada melihatnya sebagai ancaman kepada kestabilan ekonomi, manakala yang lain menganggapnya alat penting pembangunan negara.
Ramai bimbang hutang negara akan membebankan generasi akan datang, sementara ada pula melihatnya sebagai pelaburan untuk masa depan. Apa yang penting, kesedaran dan pemahaman tepat mengenai isu ini membentuk persepsi awam bermaklumat dan menyokong dasar ekonomi bertanggungjawab.
Hutang negara adalah instrumen kewangan penting dalam pengurusan ekonomi, merujuk kepada wang dipinjam kerajaan untuk membiayai pelbagai projek pembangunan dan perbelanjaan negara.
Di Malaysia, hutang ini digunakan untuk membina infrastruktur penting seperti jalan raya, sekolah, hospital dan projek berskala besar seperti Transit Aliran Massa (MRT) di Lembah Klang yang menelan belanja lebih RM30 bilion.
Penggunaan hutang bijak boleh memacu pertumbuhan ekonomi, seperti diharapkan daripada projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bernilai RM50 bilion dijangka menjana pelbagai peluang pekerjaan dan perniagaan. Namun, tahap hutang berlebihan boleh membawa risiko seperti inflasi tinggi dan pengurangan pelaburan swasta.
Berdasarkan data dan analisis terkini, hutang negara tidak berada pada tahap kritikal, namun ia memerlukan pengurusan lebih berhemat. Bagi mengukur tahap hutang negara, nisbah hutang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sering digunakan sebagai penanda aras.
Pada akhir 2023, nisbah ini bagi Malaysia mencecah sekitar 62 peratus, bermakna bagi setiap RM100 dihasilkan ekonomi negara, kerajaan berhutang RM62. Had statutori ditetapkan kerajaan ialah 65 peratus.
Sementara itu, kos perkhidmatan hutang, iaitu jumlah perlu dibayar untuk hutang dan faedahnya, juga faktor penting. Pada 2023, Malaysia membelanjakan kira-kira RM43.1 bilion untuk tujuan ini, mewakili sekitar 16 peratus daripada hasil kerajaan. Ini bermaksud daripada setiap RM100 dikutip, RM16 digunakan membayar hutang.
Kerajaan Malaysia mengambil pelbagai langkah menguruskan hutang dengan lebih cekap, termasuk meningkatkan kutipan cukai, mengurangkan pembaziran dan mempelbagaikan sumber pembiayaan.
Menerusi Belanjawan 2024 misalnya, kerajaan menyasarkan pengurangan defisit belanjawan kepada 4.3 peratus daripada KDNK, berbanding 5 peratus pada tahun sebelumnya. Pertumbuhan ini, jika direalisasikan akan membantu meningkatkan hasil kerajaan dan mengurangkan kebergantungan pada hutang.
Buat keputusan ekonomi secara bebas
Sementara itu, kedaulatan ekonomi adalah aspek penting dalam pengurusan hutang negara, terutama bagi negara membangun seperti Malaysia.
Ia merujuk kepada keupayaan sesebuah negara membuat keputusan ekonomi secara bebas, tanpa tekanan atau pengaruh berlebihan pihak luar. Dalam konteks hutang negara, kedaulatan ekonomi berkait rapat dengan sumber dan komposisi hutang terbabit.
Pada akhir 2023, struktur hutang Malaysia menunjukkan lebih 95 peratus daripada hutang kerajaan adalah hutang domestik, manakala 5.0 peratus adalah hutang luar negara.
Peratusan hutang domestik lebih tinggi ini perkembangan positif, kerana ia mengurangkan risiko berkaitan turun naik mata wang asing dan mengekalkan kawalan lebih besar terhadap dasar ekonomi negara.
Bagaimanapun, 5.0 peratus hutang luar negara masih jumlah signifikan dan boleh memberi kesan kepada autonomi dalam membuat keputusan ekonomi.
Sebagai contoh, jika sebahagian besar hutang luar negara ini dipegang sebuah negara atau institusi kewangan tertentu, ia boleh memberi leverage atau kuasa kepada pemiutang mempengaruhi dasar Malaysia.
Ini boleh dilihat dalam kes projek infrastruktur besar dibiayai pinjaman luar negara, yang mana syarat pinjaman mungkin, termasuk penggunaan kontraktor atau teknologi dari negara pemberi pinjaman.
Bagaimanapun, Malaysia perlu terus berwaspada dalam menguruskan hutangnya untuk memastikan kedaulatan ekonomi terpelihara dan mengelakkan kebergantungan berlebihan pada pembiayaan asing.
Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan komitmen mendaulatkan ekonomi negara melalui beberapa inisiatif, salah satunya memperkukuhkan pasaran modal domestik.
Ini termasuk menggalakkan lebih banyak syarikat tempatan tersenarai di Bursa Malaysia dan mempromosikan instrumen pelaburan menarik kepada pelabur tempatan. Langkah ini bertujuan meningkatkan keupayaan Malaysia membiayai pembangunannya menerusi sumber domestik, seterusnya mengurangkan kebergantungan pada pembiayaan asing.
Selain itu, kerajaan juga memberi tumpuan kepada mempelbagaikan ekonomi termasuk menggalakkan pertumbuhan dalam sektor bernilai tinggi seperti ekonomi digital, teknologi hijau dan industri aeroangkasa.
Dengan mempelbagaikan sumber pertumbuhan ekonomi, Malaysia boleh mengurangkan kebergantungan pada sektor tradisional yang mungkin lebih terdedah kepada tekanan luar.
Kerajaan juga mengambil langkah meningkatkan ketelusan dalam urusan dengan pelabur dan pemiutang asing. Ini termasuk penerbitan laporan fiskal lebih terperinci dan berkala serta pembabitan aktif dengan agensi penarafan antarabangsa.
Langkah ini bertujuan membina kepercayaan dan mengurangkan persepsi risiko, seterusnya membolehkan Malaysia mendapatkan syarat pembiayaan lebih baik.
Satu lagi inisiatif penting adalah usaha meningkatkan produktiviti dan daya saing ekonomi Malaysia. Ini termasuk pelaburan dalam pendidikan dan latihan kemahiran, sokongan kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Setakat ini, langkah diambil kerajaan menunjukkan pendekatan pragmatik dan bertanggungjawab dalam menguruskan hutang negara serta ekonomi secara keseluruhan serta mengekalkan kedaulatan ekonominya.
Berpandukan strategi tepat dan pelaksanaan berkesan, Malaysia berada di landasan betul untuk mencapai pertumbuhan ekonomi mampan sambil mengekalkan tahap hutang terurus, sekali gus membantu mencapai tahap kedaulatan ekonomi lebih tinggi dalam jangka panjang.
Penulis adalah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Wang dan Bank, Universiti Utara Malaysia UUM)
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.