Sultan Selangor gesa hentikan perbuatan keluarkan fatwa secara tidak bertanggungjawab
Baru-baru ini kedengaran segolongan masyarakat di Negara ini telah menyuarakan rungutan dan kebimbangan mereka terhadap perpecahan di dalam perpaduan dan keharmonian kaum yang selama ini dikecapi oleh rakyat di negara ini. Mereka menggesa agar tindakan segera diambil untuk menangani isu yang telah membuahkan bibit-bibit perpecahan yang semakin ketara sejak kebelakangan ini. Malah ada yang berani menyatakan segolongan pemimpin-pemimpin politik adalah menjadi punca kepada perpecahan ini. Berikutan dengan itu terdapat golongan yang telah memohon agar Raja-Raja Melayu bertindak untuk campur tangan menerusi apa jua ruang yang sah di sisi undang-undang untuk memayungi keamanan dan kedamaian demi kesejahteraan hidup rakyat.
Lantaran itu Beta selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Ugama Islam mengambil inisiatif untuk mengeluarkan kenyataan ini bagi menasihati semua pihak terutama orang-orang politik termasuk pemimpin-pemimpin politik untuk sama-sama memikirkan langkah bagi mengharmonikan dan menyatupadukan rakyat kerana mereka mempunyai pengikut yang ramai yang mana jika diberi message yang salah dan tidak tepat akan mengakibatkan perpecahan dalam masyarakat.
Dalam usaha kita untuk memperolehi kuasa dan kedudukan, kita tidak seharusnya lupa bahawa perpaduan adalah teras kepada kejayaan sesebuah negara. Negara akan mundur dalam segala aspek kehidupan sekiranya pemimpin politik cenderung kepada memupuk polarisasi kaum dan mengapi-apikan perasaan rakyat atas nama bangsa dan agama. Rakyat yang terpengaruh dengan hasutan sesetengah pemimpin yang mempromosikan politik perkauman dan keagamaan akan berpotensi mencetuskan perasaan curiga, perbalahan, perselisihan dan perpecahan. Polarisasi yang melampau akan membawa kepada implikasi melahirkan unsur radikalisme dan ekstremisme di dalam masyarakat sehingga boleh mengancam keselamatan negara. Pemimpin dan orang-orang politik seharusnya memupuk semangat perpaduan yang tinggi di dalam kehidupan pelbagai kaum oleh kerana semua kaum di negara ini memainkan peranan penting di dalam pembangunan budaya dan ekonomi negara. Sebarang batas pemisah dan perbezaan antara kaum dan agama seharusnya diatasi dengan usaha-usaha mengadakan pelbagai program bagi merapatkan jurang pemisah demi mengelakkan sebarang parasangka buruk yang telah sedia ada. Generasi muda pewaris bangsa seharusnya ditanam dengan semangat untuk bertolak-ansur dan memahami budaya dan agama pelbagai kaum yang diamalkan di negara kita.
Suka Beta mengingatkan kita semua kepada sejarah, kerana dengan melihat sejarah kita akan sedar bahawa sejarah telah membuktikan seandainya berlaku pertikaian dan perpecahan kaum serta perbalahan agama di dalam sesebuah negara, kesannya akan membuahkan kebencian yang mendalam sehingga mencetuskan perang saudara (civil war) yang berlarutan yang mengakibatkan negara akan lumpuh dan hancur. Adakah ini yang kita mahu lihat setelah negara mencapai kemerdekaan selama tempoh 66 tahun ini. Mahukah kita melihat pembangunan ekonomi yang pesat dan perpaduan yang yang erat di kalangan pelbagai kaum dan agama yang telah kita bina selama ini hancur begitu sahaja oleh kerana sikap sesetengah pemimpin politik yang hanya memikirkan kepentingan diri atau kepentingan sekelompok masyarakat semata-mata.
Jika kita melihat kepada sejarah pembentukan Negara sebelum dan di ambang kemerdekaan dahulu, kerajaan British dan pemimpin negara yang diketuai oleh Perdana Menteri pada ketika itu Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj telah melakarkan satu sistem pemerintahan yang berpaksikan kepada Demokrasi Berparlimen Raja Berperlembagaan. Konsep pemerintahan yang dilahirkan ini meletakkan kuasa eksekutif Raja-Raja Melayu diperturunkan kepada Kerajaan yang dipilih oleh rakyat yang diketuai oleh seorang Perdana Menteri di peringkat Persekutuan dan Menteri Besar di peringkat Negeri. Lantaran itu Kerajaan dan pemimpin politik seharusnya menyedari bahawa kuasa yang mereka sandang dan perolehi itu asal-usulnya terletak hak kepada Raja-Raja Melayu dan kemudian diamanahkan kepada pihak Kerajaan yang dianggotai oleh Kabinet di peringkat Persekutuan dan Exco di peringkat Negeri untuk memerintah dengan penuh adil dan bertanggungjawab kepada semua rakyat Malaysia. Semua ini telah sedia termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri-negeri di Malaysia.
Di dalam pada itu satu perjanjian kontrak sosial telah termeteri di antara pemimpin pelbagai kaum di negara ini ketika negara mencapai kemerdekaan. Kontrak sosial ini dilahirkan bagi menjamin kedudukan, hak warganegara dan hak semua kaum di negara ini terpelihara dengan mengambil pelbagai pertimbangan dari pelbagai sudut. Malah bagi memastikan kontrak sosial ini dilaksanakan seperti yang dipersetujui ianya telah diterjemahkan dalam bentuk peruntukan-peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu rakyat tidak perlu lagi dihasut oleh mana-mana pihak untuk melahirkan rasa tidak puas hati dan berprasangka buruk antara satu sama lain kerana undang-undang telah menjamin hak masing-masing.
Namun apa yang berlaku di Negara kita ini amat membimbangkan terutama menjelang sesuatu pilihanraya. Isu-isu yang melibatkan kaum dan agama sentiasa dimainkan sebagai isu untuk meraih sokongan dan undi. Apa yang sepatutnya dilakukan oleh pemimpin-pemimpin politik ini adalah dengan mengusulkan pelbagai rancangan pembangunan ekonomi untuk manfaat rakyat keseluruhannya. Permasalahan yang dihadapi rakyat sepatutnya diutamakan pada setiap sesi bertemu rakyat demi meyakinkan rakyat bahawa pemimpin politik sentiasa memikirkan cara mengatasi masalah yang dihadapi oleh rakyat.
Di kesempatan ini juga Beta ingin membangkitkan isu berkaitan dengan pengeluaran fatwa secara berleluasa oleh sebahagian pemimpin-pemimpin politik sejak akhir-akhir ini yang merupakan satu trend yang amat membahayakan.
Beta ingin menegaskan di sini bahawa di negara ini, Fatwa hanya boleh dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri-negeri atau Mufti setelah mendapat perkenan dari Raja bagi setiap negeri yang mengeluarkan sesuatu Fatwa itu. Di samping itu Jawatankuasa Muzakarah Kebangsaan di bawah Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) juga bertanggungjawab di dalam mengeluarkan pandangan hukum setelah perbincangan dengan Mufti-mufti dari setiap negeri diadakan dan setelah mendapat perkenaan dari Majlis Raja-raja. Selanjutnya pandangan hukum tersebut diangkat untuk pertimbangan setiap Jawatankuasa Fatwa Negeri dan mendapat perkenan Raja bagi sesebuah Negeri untuk difatwakan. Sesuatu Fatwa yang dikeluarkan bukan semata-mata atas dasar pandangan individu seorang Mufti sahaja, bahkan ia dibuat secara kesepakatan majoriti ahli samada di dalam Jawatankuasa Muzakarah Kebangsaan MKI dan/atau Jawatankuasa Fatwa Negeri-negeri yang terdiri daripada alim ulama’ dan mereka yang pakar dalam bidang masing-masing. Ini adalah bagi memastikan fatwa yang dikeluarkan adalah tepat dan membawa kebaikan kepada umat Islam dan seluruh rakyat. Sebaliknya sekiranya Fatwa dibenarkan untuk dikeluarkan oleh orang-orang politik dan pemimpin-pemimpin politik ianya akan pasti mencetuskan perbalahan, perpecahan, keganasan di dalam masyarakat yang akhirnya meranapkan tamadun sesuatu bangsa.
Oleh itu suka Beta mengingatkan dan menggesa kepada rakyat sekelian terutama pemimpin-pemimpin politik agar segera memberhentikan perbuatan mengeluarkan Fatwa secara tidak bertanggung-jawab ini demi memelihara perpaduan rakyat di negara ini. Beta tidak sanggup melihat rakyat berpecah-belah oleh tindak-tanduk sesetengah pemimpin politik yang tidak bertanggung-jawab ini. Ingatan Beta ini tidak bermaksud menyebelahi mana-mana pihak atau golongan mana-mana parti politik. Malah Beta memilih untuk mengeluarkan kenyataan ini selepas pilihanraya negeri dan pilihanraya kecil selesai bagi mengelakkan kenyataan Beta disalahertikan sebagai memihak sesuatu kumpulan politik. Beta menyeru agar janganlah agama diperalatkan bagi meraih sokongan kerana rakyat akan menjadi mangsa kepada perbalahan orang-orang politik yang menunggang agama demi kepentingan diri.
Beta juga menyeru kepada pihak polis agar mengambil tindakan yang pro aktif di dalam menyiasat dan mengambil tindakan terhadap mereka yang membangkitkan isu-isu sensitif yang melibatkan agama, kaum dan kedudukan Raja-Raja Melayu supaya menjadi satu pengajaran dan ketakutan kepada mereka yang berhasrat melakukan perkara yang sama di masa hadapan.
Beta menegaskan di sini, Raja-Raja Melayu dan Majlis Raja-Raja mempunyai peranan di dalam memelihara hak orang-orang Melayu dan agama Islam sentiasa terjamin. Di samping itu Raja-Raja Melayu juga bertanggungjawab menjamin hak dan keselamatan kaum-kaum lain yang membentuk rakyat Malaysia. Rakyat serta pemimpin politik tidak perlu bimbang tentang pemeliharaan hak kaum masing-masing dan agama yang dianuti oleh setiap kaum di negara ini. Ini adalah kerana undang-undang negara khususnya Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan hak bagi semua kaum dan agama kepada setiap rakyat Malaysia. Manakala Raja-Raja Melayu berperanan memayungi dan menjamin semua hak yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan tersebut sentiasa dipelihara.
Sebagai mengakhiri kenyataan Beta ini, Beta merayu kepada semua pemimpin politik khususnya pemimpin politik yang senior dan veteran supaya mengelak dari memecahbelahkan rakyat di negara ini sebaliknya mengambil pendekatan bagi menanam dan memupuk semangat perpaduan yang erat di kalangan semua kaum yang berlainan agama demi menjamin kesejahteraan negara. Peliharalah negara kita dengan baik kerana inilah satu-satunya tanah tumpah darah kita yang perlu kita pertahankan kemakmuran dan kedaulatannya.
PERTAHAN DAN SETIA KEPADA AGAMA ISLAM
BERKHIDMAT KEPADA RAKYAT DAN NEGARA
Sekian.
D.Y.M.M. Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj
Sultan Selangor
Tarikh: 12 September 2023
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.