Gubal RUU kawal selia AI lindungi data peribadi, hak manusia
Oleh Dr Mahyuddin Daud
Namun, penggubalan atau pembangunan suatu kerangka undang-undang tidak boleh dilakukan secara terburu-buru tanpa memahami konteks dan tujuan sesuatu teknologi itu dicipta dan apakah kemampuannya.
Dalam hal ini, masih tidak terlewat bagi Malaysia untuk menggubal rang undang-undang (RUU) bagi mengawal selia atau membatasi penggunaan AI.
Walaupun terdapat beberapa model undang-undang dibangunkan di negara lain seperti di Kesatuan Eropah (EU) dan Brazil, perkara ini masih baharu dan dunia masih meneroka bagaimana cara terbaik untuk mengawal selia AI.
RUU untuk mengawal selia AI penting atas beberapa sebab utama antaranya menimbulkan pelbagai persoalan dan dilema dari segi etika dan moral. AI boleh digunakan untuk tujuan bermanfaat dan juga sebaliknya.
Sebagai contoh, penggunaan AI dalam sistem persenjataan dan pengawasan boleh menimbulkan risiko besar kepada hak asasi manusia dan keselamatan global, sekiranya tidak berpandukan lunas undang-undang.
Kerangka undang-undang perlu berfungsi untuk memastikan AI dibangunkan dan digunakan secara beretika, melindungi hak asasi dan kehidupan manusia serta data peribadi, termasuk keselamatan dokumen rasmi.
Apabila sistem AI dibangunkan dengan ciri lebih kompleks dan berautonomi, terdapat keperluan untuk memastikan penggunaannya selamat dan terjamin bagi meminimumkan risiko kemalangan atau penggunaan AI berniat jahat.
Hal ini amat penting dalam sektor kritikal seperti penjagaan kesihatan, pengangkutan dan kewangan yang mana kegagalan AI boleh membawa akibat amat buruk kepada individu, masyarakat dan negara.
Pada masa sama, terdapat kegusaran dari aspek perlindungan data peribadi dan privasi. Teknologi AI sangat bergantung kepada analisis data dan pemprosesan maklumat peribadi.
Kerangka undang-undang boleh menguatkuasakan perlindungan data dan privasi, memastikan sistem AI menghormati hak individu dan mematuhi undang-undang perlindungan data peribadi seperti Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.
Situasi berat sebelah, diskriminasi
Algoritma AI secara tidak sengaja boleh menimbulkan situasi berat sebelah dan diskriminasi jika tidak direka dan dipantau dengan sewajarnya.
Sebagai contoh, mahkamah membangunkan suatu aplikasi AI untuk menentukan hukuman wajar disabitkan ke atas penjenayah. Sekiranya algoritma AI ditetapkan tidak berpandukan kepada prinsip undang-undang dan keadilan, AI mungkin menetapkan hukuman sama bagi dua kes berbeza meritnya.
Pada masa ini, mahkamah sudah memulakan usaha menggunakan aplikasi AI dalam mempertimbangkan hukuman. Namun, penggunaannya tidak diwajibkan dan ia tidak mengambil alih fungsi dan peranan hakim.
Oleh itu, prinsip asas dalam mana-mana kerangka perundangan AI perlu mewajibkan penilaian algoritma AI dibangunkan berdasarkan prinsip keadilan dan ketelusan, terutama dalam aplikasi AI digunakan dalam sektor kritikal seperti penjagaan kesihatan dan keadilan.
Selain itu, kawal seliaan juga boleh memupuk landskap AI kompetitif dan inovatif. Dengan menetapkan peraturan dan piawaian jelas, syarikat mikro boleh mengambil bahagian dalam pasaran tanpa sebarang halangan.
Dalam konteks produk dan perkhidmatan dipacu AI, RUU boleh melindungi pengguna daripada amalan mengelirukan atau berbahaya. Ia boleh menetapkan piawaian untuk ketelusan dalam kandungan dijana AI dan memerlukan ketelusan jelas apabila berinteraksi dengan sistem AI.
Peningkatan automasi AI juga mampu memberi implikasi ketara kepada tenaga kerja. Hal ini turut menjadi kebimbangan banyak pihak, terutama jenis pekerjaan mudah untuk diautomasi AI.
Kawal selia seharusnya melihat kepada aspek latihan semula dan perlindungan pekerja dalam menghadapi perubahan didorong AI dalam industri.
Selain itu, RUU ini penting untuk memastikan akauntabiliti dan liabiliti jelas apabila penggunaan sistem AI mendatangkan bahaya atau kesilapan. Ini menyediakan mekanisme perundangan jelas bagi sebarang tuntutan ganti rugi dan pampasan sekiranya berlaku insiden berkaitan AI.
Perundangan berkaitan AI kurang jelas
Oleh kerana sifat perundangan berkaitan AI masih kurang jelas dari aspek kawal selia, terdapat kegusaran, sama ada adakah ia suatu tindakan tepat untuk dilakukan atau sebaliknya. Sebagai contoh, terdapat undang-undang berkuat kuasa berkaitan kontrak dan perlindungan pengguna di Malaysia.
Bermakna, pihak berwajib perlu memastikan pembangunan RUU berkaitan AI tidak menimbulkan percanggahan dengan undang-undang sedia ada. Hal ini memastikan sebarang perundangan baharu diperkenalkan bersifat praktikal dan mudah difahami merentas disiplin ilmu dan industri.
Pada masa sama, kerangka perundangan AI perlu bersifat kalis masa (future proof) dan neutral teknologi dengan mengambil kira kelajuan perubahan dan perkembangan teknologi.
Secara dasarnya, kajian secara mendalam perlu dilakukan bagi mengenalpasti aspek perlu dikawal selia di bawah kerangka undang-undang berkaitan AI. Pertimbangan mendalam perlu dilakukan supaya sebarang usaha mengawal selia tidak menghalang usaha inovasi dan pengkomersilan sesuatu teknologi baharu.
Secara keseluruhannya, rangka kerja undang-undang sesuai untuk AI adalah penting bagi memanfaatkan teknologi AI sambil meminimumkan risiko dan cabarannya.
Ia menyediakan pendekatan berstruktur untuk memandu penggunaan AI, memastikan masyarakat mendapat kelebihannya secara bertanggungjawab dan beretika.
Penulis adalah Pensyarah Kanan, Jabatan Undang-Undang Sivil, Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.