PSSC semak dakwaan naik harga kerana syarikat insurans rugi
Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) mengenai kesihatan mahu membuat semakan silang terhadap dakwaan syarikat insurans bahawa mereka mengalami kerugian beberapa tahun kebelakangan ini.
Pengerusi jawatankuasa itu Suhaizan Kaiat berkata demikian ketika menjawab soalan media berkaitan “percanggahan” antara dakwaan syarikat menanggung kesan inflasi, sedangkan prestasi kewangan industri menunjukkan pertumbuhan positif.
"Saya kira kita kena ada cross check (buat semakan silang) dengan beberapa syarikat ini untuk melihat maklumat itu sebab yang dibentangkan kepada kita itu ada kerugian yang agak serius,” katanya.
“Kalau setiap tahun mengalami keadaan yang seperti itu, tentulah ia sesuatu yang buruk.
“Saya kira mampu menjejaskan industri ini,” katanya dalam sidang media di bangunan parlimen di Kuala Lumpur hari ini.
Bagi syarikat insurans yang berprestasi baik, Suhaizan berkata kerajaan sedang bekerjasama melalui inisiatif Rakan KKM untuk memastikan mereka memainkan peranan aktif menyokong pelan transformasi kesihatan negara.
Prestasi kewangan syarikat insurans mengundang penelitian selepas laporan bahawa premium insurans perubatan mungkin naik antara 40 ke 70 peratus pada tahun depan.
Isnin lalu, beberapa anggota parlimen PKR mendesak Kementerian Kesihatan menubuhkan pasukan petugas bagi mencari penyelesaian terbaik bagi semua pihak, termasuk hospital swasta, syarikat insurans, dan orang awam.
Orang ramai diminta berkongsi maklum balas mereka melalui e-mel aduan.pkr.hospital.insurans@gmail.com.
Terdahulu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Bank Negara dan Kementerian Kesihatan masih berunding dengan syarikat insurans mengenai usaha untuk memastikan kenaikan premium yang munasabah.
Anwar berkata Kementerian Kesihatan juga sedang mengkaji cara untuk mengurangkan kos ubat dan perkhidmatan, yang dijadikan alasan oleh syarikat insurans untuk menaikkan harga premium.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.