https://critoxium.com/shop/

Terkini

PRU15 lebih mencabar – Nurul Izzah

 


KANGAR: Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menyifatkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dijangka lebih mencabar dan situasi tersebut berbeza dengan pilihan raya lalu yang mencetuskan gelombang sehingga berjaya menamatkan pemerintahan lebih 60 tahun kerajaan Barisan Nasional (BN).

Justeru, Nurul Izzah menegaskan bahawa barisan kepemimpinan parti tidak boleh mengambil mudah mengenainya sebaliknya terus fokus dalam kembali memenangi hati rakyat.

Katanya, PKR mengambil kira semangat lebih tawaduk dalam menghadapi PRU15 selain perlu membuktikan bahawa pemimpin terus komited dan serius menjaga kebajikan rakyat.

“Saya berharap kita boleh kembali semangat, PKR telah bertapak agak lama dan kita perlu berusaha mempertahan kredibiliti kita. Pengundi akan melihat rekod perkhidmatan kita.

“Pilihan raya akan datang amat mencabar di mana pimpinan tidak boleh ambil mudah,” katanya merangkap Pengerusi PKR negeri ketika ditemui pada majlis perasmian pejabat Ayuh Malaysia Perlis di sini hari ini.

Hadir sama, Naib Pengerusi PKR negeri, Amran Kamarudin; Gan Ay Ling dan Asrul Nizan Abd. Jalil serta Ketua Penerangan PKR negeri, Nor Azam Karap.

Ditanya mengenai kerjasama Pakatan Harapan (PH) dengan parti-parti lain seperti Gerakan Tanah Air (GTA) yang diterajui bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Nurul Izzah berkata, fokus mereka ketika ini adalah mengukuhkan PH.

“Saya rasa kenyataan dikeluarkan Rafizi Ramli (Timbalan Presiden PKR) dan kepemimpinan PH sebelum ini adalah fokus memperkukuh PH.

“Banyak perkara perlu kita putuskan seperti soal logo, perkemas teras-teras utama. PRU15 dijangka dalam masa terdekat, kita ada banyak kerja lagi perlu dilakukan.

“Apa yang lebih penting kita nak pastikan kepercayaan rakyat dan memenangi semula hati mereka. Saya harap kita dapat lakukan yang terbaik,” kata Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

Dalam pada itu, ditanya adakah beliau akan kekal bertanding di Permatang Pauh dalam PRU15, Nurul Izzah berkata, keputusan tersebut terserah kepada pucuk pimpinan parti.

“Kalau ikutkan hati Permatang Pauh dihatilah, tetapi terserah kepada kepemimpinan, kita kena hormati dan akur dengan keputusan,” katanya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.