https://critoxium.com/shop/

Terkini

Pas bimbang guna logo biru tua Perikatan Nasional


PERBAHASAN Muktamar Pas Ke-68 di Alor Setar Kedah menyaksikan sejumlah besar perwakilan bimbang dengan lambang yang bakal digunakan parti itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Isu itu mula dibangkitkan oleh Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor pada Muktamar Pemuda apabila menyifatkan ramai pengundi dan penyokong akar umbi alah kepada warna biru tua kerana lambang Perikatan Nasional (PN) hampir sama dengan lambang Barisan Nasional (BN).

Gesaan itu diteruskan oleh perwakilan Kedah, Kelantan, Selangor dan Pahang pada muktamar kali ini, dengan rata-rata meminta supaya lambang bulan diketengahkan oleh pucuk pimpinan parti.

Wakil Kedah menyifatkan lambang Pas menjadi faktor kemenangan parti pada PRU14 manakala wakil Selangor meng­anggap logo Pas boleh diterima oleh semua pihak termasuk penyokong Pakatan Harapan (PH) jika dibandingkan dengan lambang Perikatan Nasional (PN).

Wakil Pahang pula menca­da­ng­kan agar parti-parti dalam komponen PN seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggunakan lambang Pas.

Ini jelas menunjukkan bahawa akar umbi parti tidak boleh menerima penggunaan lambang PN sehingga memaksa Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mempertimbang semula penggunaan logo tersebut.

Dalam pada itu, hanya dua perwakilan menyentuh isu Muafakat Nasional (MN) iaitu kerjasama politik antara Pas dan UMNO sepanjang perbahasan Ucapan Dasar Presiden yang berlangsung dua hari.

Wakil Selangor meminta pu­cuk pimpinan parti itu berun­ding dalam MN bagi menyelesaikan pembahagian kerusi supaya Pas dapat bertanding satu lawan satu.

Wakil Pulau Pinang pula menggesa pimpinan parti mencari jalan bagi menyatukan parti itu dengan UMNO dan Bersatu bagi mengelak­kan kemenangan berpihak kepada Pakatan Harapan (PH).

Ini bermakna, rata-rata akar umbi Pas tidak begitu bimbang dengan isu MN sebaliknya bersedia dengan pertembungan lebih satu lawan satu walaupun perlu berdepan dengan UMNO pada PRU15. – UTUSAN

 

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.