https://critoxium.com/shop/

Terkini

Generasi sandwic tanggung beban berganda implikasi negara menua


Oleh Dr Zulkiply Omar

Warga kerja pertengahan umur kini menjadi generasi sandwic, iaitu golongan tersepit antara tanggungjawab menjaga anak dengan ibu bapa disebabkan perubahan struktur penduduk tidak diharmonikan dengan pembangunan sosioekonomi.

Malaysia memasuki ke dalam kategori negara menua dengan 7.0 peratus penduduk adalah warga emas melebihi 65 tahun. Bukan itu sahaja, pertumbuhan warga emas meningkat dengan pantas dan dijangka mencapai negara tua dalam masa sedekad dengan bilangan golongan itu dijangka melebihi 14 peratus daripada jumlah penduduk.

Ini tentunya perkembangan positif melambangkan tahap kesihatan semakin baik dalam kalangan penduduk, diterjemahkan kepada peningkatan jangka hayat semasa lahir kini menjangkau 74.8 tahun, berbanding 58.6 tahun pada 1960. Ia menunjukkan tahap perkhidmatan kesihatan negara baik ditokok pendidikan tinggi dalam kalangan penduduk.

Transisi demografi pantas ini memerlukan perancangan sosioekonomi responsif. Warga emas kini sebenarnya adalah golongan bertanggungjawab menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara semasa di alam pekerjaan.

Mereka juga merintis transisi kehidupan ke arah pemodenan dikecapi masyarakat kini daripada kehidupan secara tradisional. Mereka penyumbang kepada dividen demografi membawa Malaysia ke tahap pembangunan sosioekonomi pesat. Transisi demografi pantas ini memerlukan perancangan perlindungan sosial baik.

Antara dimensi perlindungan sosial penting adalah memastikan setiap individu mempunyai pendapatan mencukupi sepanjang hayat mereka. Pendapatan kanak-kanak semasa di bawah 15 tahun menjadi tanggungjawab ibu bapa kerana mereka belum memasuki alam pekerjaan.

Satu lagi peringkat kitaran hidup individu memerlukan perlindungan adalah ketika alam persaraan, iaitu apabila seseorang menjangkau peringkat umur warga emas. Tanpa perancangan baik untuk memastikan ada pendapatan gantian mencukupi untuk menampung kehidupan, mereka akan terdedah kepada risiko kemiskinan.

Inilah dilema dihadapi golongan warga emas kini apabila ramai tidak mempunyai pendapatan persaraan. Berdasarkan kajian Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial (SWRC) melalui Malaysia Ageing and Retirement Survey (MARS), 47.5 peratus warga emas berusia 65 tahun ke atas yang bersara tidak mempunyai sebarang sumber pendapatan.

Inilah golongan mungkin mengharap sumbangan anak untuk kelangsungan hidup atau terus bekerja bagi yang masih berkeupayaan Bagi golongan bekerja, kurang 60 peratus daripada jumlah tenaga buruh dilindungi sebarang skim persaraan.

Statistik menunjukkan hanya 6.6 peratus golongan pekerja dilindungi skim pencen penjawat awam dan 51.1 peratus mencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara aktif.

Sebahagian kecil lain dilindungi skim persaraan swasta, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan sebagainya. Selebihnya, mereka tidak dilindungi sebarang skim persaraan termasuk individu bekerja sendiri serta tidak bekerja seperti suri rumah.

Dalam pada itu, sebahagian besar pencarum KWSP sudah bersara menghabiskan wang tabungan dalam masa kurang lima tahun. Maka, mereka turut termasuk dalam golongan pesara tanpa pendapatan selepas itu, manakala sebahagian pesara penjawat awam mempunyai jumlah pencen kecil di bawah gaji minimum.

Anak tanggung beban sara ibu bapa

Maka, beban menyara warga emas tanpa pendapatan kebanyakan ditanggung anak mereka daripada generasi sandwic, sama ada sebahagian atau sepenuhnya. Nisbah kebergantungan warga tua negara kini adalah 10.9 peratus berbanding dengan 6.4 peratus pada 1957.

Keadaan ini memberi tekanan berat terhadap generasi sandwic kerana turut menanggung kos tinggi untuk membesarkan anak pada masa kini. Kos sara hidup juga turut meningkat bersesuaian masyarakat Malaysia menempuh transisi ke arah negara maju dengan pantas.

Jadi bagaimanakah untuk merungkai permasalahan ini? Kaedah terbaik adalah menyelesaikan masalah semasa untuk jangka pendek sambil melaksanakan perancangan jangka panjang bagi perlindungan sosial masa hadapan.

Penyelesaian masalah semasa adalah dengan meringankan beban ditanggung warga emas tanpa pendapatan mencukupi sambil turut meringankan beban generasi sandwic seperti bantuan sosial, iaitu dengan pemberian tunai oleh kerajaan secara langsung kepada golongan terbabit, iaitu warga emas.

Kaedah paling baik adalah melalui pencen sosial seperti diperkenalkan di beberapa negara. Setiap warga emas berhak menerima pencen sosial dengan jumlah ditetapkan, kecuali golongan dikecualikan jika perlu.

Pencen sosial ini menggantikan bantuan warga emas (BWE) sedia ada yang berdasarkan kelayakan pendapatan. Sumbangan tunai secara langsung ini adalah terus daripada tabung kerajaan, sama ada hasil cukai atau pinjaman.

Bagi mengelakkan hutang berlebihan, kerajaan perlu meningkatkan hasil cukai, termasuk melalui peluasan dasar, iaitu penambahan jenis cukai dan peningkatan kecekapan pungutan cukai.

Kini, Malaysia antara negara mempunyai pungutan cukai terendah di dunia berbanding tahap pembangunan ekonomi sebagai negara hampir mencapai taraf negara berpendapatan tinggi.

Pungutan cukai negara kini adalah sekitar 12 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di bawah purata dunia 15 peratus dan purata negara Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) sebanyak 34 peratus.

Antara lain, Malaysia boleh memperkenalkan semula cukai tambah nilai penggunaan umpama Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dimansuhkan. Segala cukai dikenakan mestilah tidak membebankan masyarakat.

Pemberian tunai secara langsung seperti pencen sosial dan bantuan termasuk pemberian barangan diberi kepada mereka berhak akan meringankan beban berkaitan cukai penggunaan. Ini adalah di samping pengecualian cukai terhadap barangan tertentu dikenal pasti seperti dilakukan semasa GST.

Perancangan masa hadapan adalah membabitkan generasi berada dalam tenaga kerja sekarang, melalui simpanan hari tua lebih efisien. Kaedah paling baik adalah secara pay-as-you-go (PAYG) umpama KWSP, iaitu menabung mengikut pendapatan semasa bekerja.

Penambahbaikan perlu adalah dengan meluaskan dasar caruman dan memperkenalkan anuiti wajib apabila seseorang bersara untuk pengeluaran bulanan semasa bersara.

Peluasan dasar caruman adalah dengan memaksimumkan pekerja mencarum. Semua pekerja perlu diwajibkan mencarum termasuk pekerja sendiri. Kaedah lebih baik perlu difikirkan untuk mengoptimumkan caruman sukarela kini termasuk usaha meningkatkan celik kewangan masyarakat bermula daripada bangku sekolah.

Kerajaan juga perlu menghapuskan pertindihan, iaitu tiada skim persaraan lain melainkan KWSP termasuk skim pencen penjawat awam sekarang.

Perbelanjaan untuk perlindungan sosial adalah pemangkin pertumbuhan ekonomi. Jadi perlindungan sosial bukan perbelanjaan tetapi adalah pelaburan. Kesejahteraan masyarakat mendapat perlindungan sosial baik akan meningkatkan produktiviti ekonomi. Ini akan menjana pertumbuhan masa hadapan dengan mampan.

Di samping itu, simpanan hari tua dijana mampu meningkatkan pelaburan masih perlu ditingkatkan untuk meningkatkan pengeluaran potensi negara, terutama dalam kalangan perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS).

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.